Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Tuesday 6 December 2011

SULTAN SELANGOR - Bersatu pertahankan maruah


SULTAN Sharafuddin Idris Shah menjadi tumpuan semasa sesi bergambar bersama kakitangan Kumpulan Utusan sempena lawatan baginda ke Kompleks Percetakan Sri Utusan, Bandar Baru Bangi, Selangor, semalam.

1) KUALA LUMPUR 5 Dis. - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyeru orang Melayu dan umat Islam di negara ini supaya bersatu demi mempertahankan maruah bangsa dan agama daripada dicaci dan dihina.

Baginda bertitah, perpaduan itu penting bagi membolehkan orang Melayu dan umat Islam bangkit mempertahankan kesucian dan maruah bangsa serta agama.

“Beta tidak mahu melihat orang Melayu dan umat Islam di negara ini berpecah-belah. Bukan maksud beta orang Melayu itu bersatu untuk berperang dengan bangsa lain. Bukan juga bermaksud antara UMNO dan Pas perlu ‘berkahwin’ sebab bukan hak beta untuk mencampuri urusan politik.

“Tetapi kita (orang Melayu dan umat Islam) bersatu apabila agama dan bangsa kita dicaci dan dihina,” titah baginda ketika mencemar duli berangkat melawat Kompleks Sri Utusan di Bandar Baru Bangi hari ini.

Baginda diiringi oleh Ahli Dewan Diraja Selangor, Tengku Seri Wangsa Diraja Tengku Ramli Alhaj dan Setiausaha Sulit, Datuk Mohamad Munir Bani.

Keberangkatan tiba baginda kira-kira pukul 10 pagi disambut oleh Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin; Pengarah Eksekutif Kumpulan, Datuk Mohd. Nasir Ali; Ketua Pengarang Kumpulan, Datuk Aziz Ishak dan Pengurus Besar Pengeluaran, Ahmad Khairumuzammil Abd. Rahman.

Dalam lawatan yang mengembalikan nostalgia kunjungan baginda ke Utusan Melayu semasa menjadi Raja Muda pada 9 Mei 1974, Sultan Selangor diberi penerangan ringkas perkembangan semasa Kumpulan Utusan.

Baginda yang turut beramah mesra dengan kakitangan Utusan berkenan menekan butang operasi di meja kawalan mesin cetak yang mencetak 500 naskhah akhbar khas Utusan Malaysia lapan muka surat yang memuatkan pelbagai kisah menarik mengenai baginda.

Dalam titah baginda juga, Sultan Selangor menyeru kalangan korporat Melayu yang berjaya untuk membantu dan memberi sokongan kepada akhbar Utusan Malaysia.

Titah baginda, akhbar ini memainkan peranan yang sangat penting dalam menyedarkan masyarakat Melayu khususnya ke arah perpaduan bangsa serta mempertahankan agama Islam.

“Apabila beta bercakap tentang Melayu dan disiarkan Utusan Malaysia, rakyat kata beta orang Utusan Malaysia. Tapi beta tidak ada share (saham) pun dengan Utusan Malaysia.

“Begitu juga apabila beta menegur orang Melayu dalam kes derhaka terhadap Sultan Perak (Sultan Azlah Shah), ada kata beta orang UMNO. Sebenarnya tidak, sebab UMNO itu UMNO lah.

“Tetapi apa yang menjadi perhatian beta adalah supaya agama Islam dan bangsa Melayu itu dipertahankan. Orang Melayu kita biarlah beradab dan jangan kurang ajar,” titah baginda.

Sementara itu, dalam perutusan baginda sempena lawatan berkenaan, Sultan Selangor bertitah, peranan akhbar di negara ini masih penting dan relevan walaupun mendapat saingan hebat daripada akhbar dalam talian seperti portal berita, laman blog dan medium-medium berita lain.

Titah baginda, kehadiran Internet juga menyebabkan hampir semua akhbar kini bersaing memperkenalkan versi dalam talian seiring dengan perkembangan teknologi semasa.

2) KUALA LUMPUR 5 Dis. - Kesungguhan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memartabatkan maruah orang Melayu dan membela kesucian agama Islam menjadi sumber inspirasi kepada seluruh warga kerja Kumpulan Utusan.

Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin berkata, kesungguhan baginda juga menguatkan komitmen warga kerja Kumpulan Utusan untuk terus memperjuangkan agenda bangsa dan agama termasuk mempertahankan kedaulatan raja-raja Melayu.

“Ketegasan Tuanku dalam mempertahankan agama Islam dan maruah bangsa Melayu yang kini dicabar oleh pihak-pihak tertentu amat disanjungi rakyat.

“Bahkan pandangan dan buah fikiran Tuanku dalam pelbagai perkara mencakupi politik, sosial, ekonomi, kemasyarakatan dan agama sering mendapat perhatian dan diikuti penuh minat oleh rakyat,” katanya ketika berucap menyambut keberangkatan tiba Sultan Selangor ke Kompleks Sri Utusan di Bandar Baru Bangi hari ini.

Mohamed Hashim menambah, sebagai sebuah akhbar yang lahir atas semangat dan perjuangan orang Melayu, Utusan Malaysia tidak pernah lari daripada asas membela dan mempertahankan maruah bangsa, agama dan kedaulatan raja-raja.

Kerana itu kata beliau, apabila ada pihak yang cuba mempersoalkan keistimewaan dan hak orang Melayu, mempersendakan kesucian Islam dan institusi raja Melayu, Utusan Malaysia akan tampil membela dan mempertahankannya.

Menurut Mohamed Hashim, Utusan Malaysia turut memainkan peranan penting dan menyumbang kepada kemajuan negara termasuk menyokong gagasan 1Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Harapan kami adalah ketika Utusan Malaysia berdepan cabaran dan dikecam pihak tertentu, orang Melayu terutama golongan korporat akan sentiasa memberi sokongan,” katanya.

KOMEN : ORANG MELAYU JANGANLAH JADI KUDA TUNGGANGAN KAUM LAIN... SIAPA YANG MAKAN CILI TERASALAH PEDASNYA, TERUTAMA MELAYU YANG KURANG AJAR....

No comments: