DARI UTUSAN MALAYSIA
9/12/2011
Daripada sepatutnya bertandang ke stadium bola sepak masyhur seperti Nou Camp atau Santiago Bernabeu, United sebaliknya bakal bersaing dengan kelab kerdil seperti Metalist Kharkiv dan Legia Warsaw merebut Liga Europa yang tarafnya disifatkan sebagai 'kelas kedua'.
Juara tiga kali itu tersingkir daripada saingan elit Eropah selepas tumpas mengejut 1-2 kepada kelab Switzerland, FC Basel.
Semalam, United hanya perlu seri dan mengelak kekalahan bagi memastikan mereka layak ke pusingan kalah mati buat kali ke-15 dalam 16 musim Liga Juara-Juara, sekali gus menghidupkan peluang untuk beraksi dalam final keempat dalam tempoh lima tahun.
Tonggak senior United, Rio Ferdinand mengeluh, kegagalan mengutip mata penuh di tempat sendiri menjadi punca penyingkiran memalukan United dari saingan elit kelab Eropah itu.
"Kita perlu menilai kembali perlawanan-perlawanan di Old Trafford. Kita tidak berusaha dengan secukupnya untuk memenanginya," ujar Ferdinand.
Rakan sepasukan, Patrice Evra pula menyifatkan keperluan United beraksi di Liga Europa sebagai 'memalukan'. Adalah memalukan untuk beraksi dalam Liga Europa," katanya.
Sekurang-kurangnya, United tidak perlu berdepan satu situasi memalukan kerana musuh sejiran, Manchester City juga terkandas dan bakal menemani mereka dalam Liga Europa.
City, biarpun cemerlang menundukkan Bayern Munich 2-0 di Etihad, gagal layak selepas Napoli turut melakar kemenangan 2-0 di Villarreal untuk menafikan skuad kendalian Roberto Mancini memintas di posisi naib juara kumpulan.
United tersentak seawal minit kesembilan apabila kapten Basel, Marco Streller menewaskan David de Gea dari jarak dekat.
Keadaan bertambah buruk buat United apabila ketua pasukannya, Nemanja Vidic dilihat terseliuh lututnya, dan terpaksa diusung keluar.
Meskipun melancarkan serangan bertali arus ke kubu tuan rumah, tiada apa yang dapat dihasilkan sebaliknya mengeksploitasi keasyikan menyerang lawan untuk menjadikan kedudukan 2-0 menerusi Alex Frei minit ke-84.
Phil Jones memberikan gol lewat permainan untuk United, namun segala-galanya sudah terlewat. Benfica muncul juara Kumpulan C dengan 12 mata selepas menang tipis 1-0 di Otelul Galati.
"Ia menakjubkan. Sebuah kelab dari Switzerland yang merupakan negara kecil menentang pasukan terbesar di dunia, langsung tidak masuk akal," kata penjaga gol Basel, Yann Sommer. - Agensi
KOMEN : ITULAH BOLASEPAK EROPAH, KELAB KERDIL MEMBAHAM KELAB BESAR...
No comments:
Post a Comment