Titah Seri Paduka, selain itu, agama Islam sebagai agama Persekutuan juga perlu dipertahankan termasuk bahasa Persekutuan iaitu bahasa Melayu yang merupakan perkara asas dalam Perlembagaan.
''Institusi Parlimen amat bertuah kerana sepanjang 54 tahun kewujudannya, ia berdiri megah menjunjung demokrasi berparlimen sebagai sistem pilihan bagi mentadbir negara dan melalui proses pemantapan dari segi dasar dan polisi yang berterusan.
''Selaras dengan transformasi kerajaan, Parlimen sebagai institusi yang menyuarakan suara rakyat telah melaksanakan fungsi dan peranannya dengan berkesan ke arah mencapai matlamat negara maju berpendapatan tinggi sebagai bukti kepada proses evolusi dan pemantapan tersebut.
''Justeru, adalah menjadi harapan beta agar Parlimen mempertahankan keluhuran Perlembagaan Persekutuan terutamanya yang menyentuh mengenai raja-raja Melayu, agama Islam sebagai agama Persekutuan dan bahasa Melayu sebagai bahasa Persekutuan yang merupakan perkara asas dalam Perlembagaan," titah Seri Paduka.
Tuanku Mizan bertitah demikian pada Majlis Santapan Menjunjung Kasih sempena tamat tempoh pemerintahan Seri Paduka sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-13 serta Tuanku Nur Zahirah sebagai Raja Permaisuri Agong di sini malam ini.
Hadir sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.
Turut hadir, bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi; Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim; menteri dan timbalan menteri serta ahli-ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
Dalam mesyuarat khas Majlis Raja-Raja baru-baru ini, Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah telah dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-14.
Pemilihan itu berkuatkuasa 13 Disember ini untuk tempoh lima tahun bagi menggantikan Tuanku Mizan.
Titah Seri Paduka, sebagai sebuah badan perundangan mewakili rakyat di peringkat akar umbi, maka Parlimen dilihat sebagai satu landasan yang penting dalam memastikan dasar dan polisi kerajaan dilaksanakan secara efektif dan berkesan melalui mekanisme semak dan imbang.
Tuanku Mizan bertitah, mekanisme itu relevan bagi memastikan fungsi dan tugas untuk menjadikan pentadbiran negara lebih telus, bertanggungjawab, efisien dan efektif.
''Adalah sesuatu yang membanggakan apabila melihat prestasi kedua-dua Majlis Parlimen semakin matang dan bertanggungjawab dari segi perbahasan demi untuk kepentingan rakyat dan negara.
''Beta memahami, adakalanya suasana dewan menjadi begitu mencabar. Namun, beta percaya kepentingan rakyat akan sentiasa didahulukan dan prestasi akan terus diutamakan bagi memastikan kecemerlangan institusi Parlimen negara ini," titah Tuanku Mizan.
KOMEN : TERIMA KASIH TUANKU... JASA TUANKU AKAN TETAP DIKENANG... DAULAT TUANKU..
No comments:
Post a Comment