Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Tuesday, 13 December 2011

DAULAT TUANKU

Keberangkatan balik Tuanku Mizan
YANG di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah melambaikan tangan kepada para pemimpin negara dan rakyat ketika berangkat balik di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang, semalam. – BERNAMA

KUALA LUMPUR 12 Dis. – Ketibaan Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Tuanku Nur Zahirah di Dataran Parlimen sempena Istiadat Keberangkatan Balik Seri Paduka yang tamat tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13 berlangsung dengan penuh adat istiadat diraja.

Ketibaan pasangan diraja itu disambut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman sambil diiringi tiupan nafiri oleh 20 anggota daripada Rejimen Kedua Kor Armour Diraja.

Tuanku Mizan dan Tuanku Nur Zahirah yang berpakaian rasmi kemudiannya diiringi oleh Najib dan Muhyiddin bersama isteri masing-masing ke pentas diraja dan melintasi pasukan kawalan bertombak diikuti persembahan tabik Hormat Diraja oleh kawalan kehormat dan disusuli lagu Negaraku oleh Pasukan Pancaragam dari Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja yang dipimpin oleh Mejar Ahmad Muzaimi Mohd. Ali.

Pada masa sama, panji peribadi Yang di-Pertuan Agong berwarna hijau dan kuning turut dikibarkan sambil diiringi tembakan meriam sebanyak 21 das.

Tuanku Mizan kemudiannya berkenan memeriksa barisan kawalan kehormat Batalion Pertama Regimen Askar Melayu Diraja yang terdiri daripada 103 anggota dan pegawai yang diketuai oleh Leftenan Mohd. Nor Azizan Yahya.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh kemudiannya memimpin bacaan doa selamat dan disusuli tabik Hormat Diraja serta lagu Negaraku sekali lagi.

Pasangan diraja itu kemudian bersalaman dengan barisan Jemaah Menteri, ahli-ahli Parlimen, serta wakil kedutaan asing sebelum berangkat ke Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.

Sementara itu di kiri, kanan jalan menuju ke bangunan Parlimen, rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat dan kaum berbaris panjang sambil mengibarkan bendera Malaysia untuk mengucapkan selamat berangkat balik kepada Tuanku Mizan dan Tuanku Nur Zahirah.

Tuanku Mizan ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13 pada 26 April 2007.

Malaysia diharap terus aman


Sultan Abdul Halim Mu‘adzam Shah memakaikan pingat kepada Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan, Tunku Bendahara Kedah, Datuk Seri Annuar Sultan Badlishah pada Istiadat Pelantikan Pemangku Sultan Negeri Kedah Darul Aman di Istana Anak Bukit, Kedah, semalam.

KUALA LUMPUR 12 Dis. – Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, yang dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14, berharap Malaysia akan terus aman damai dan semua kaum hidup dengan persefahaman dan bertoleransi.

Baginda melahirkan rasa gembira kerana secara keseluruhannya perpaduan rakyat adalah baik tetapi boleh ditingkatkan jika semua pihak meletakkan kepentingan negara lebih daripada kepentingan kaum atau politik.

Sultan Abdul Halim, yang pernah menjadi Yang di-Pertuan Agong kelima bagi tempoh 21 Januari 1970 hingga 20 September 1975, mengimbau kembali peristiwa pahit pada 13 Mei 1969 dan berharap ia tidak harus dibiarkan berlaku lagi.

“Kadangkala orang politik mengambil jalan mudah untuk mengekalkan populariti dengan memainkan isu agama dan perkauman.

“Inilah yang membuatkan keresahan dan kucar-kacir di dalam masyarakat yang mungkin hanya menjadi pengikut yang tidak langsung faham isu yang diapi-apikan itu,” titah baginda.

Sultan Abdul Halim, 84, yang berkelulusan dalam bidang sains sosial dan pentadbiaran awam dari Wadham College, Oxford, United Kingdom, amat bersyukur kerana pertama kali baginda dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein merupakan Perdana Menteri pada masa itu, dan kali ini apabila dilantik bagi kedua kalinya sebagai Yang di-Pertuan Agong, anak Abdul Razak, Datuk Seri Najib, pula menjadi Perdana Menteri.

Menyentuh mengenai kemajuan dan pencapaian negara sejak 54 tahun mencapai kemerdekaan, baginda bertitah, Malaysia telah mencapai usia yang matang.

“Jadi pemimpin dan rakyat haruslah juga matang membuat sesuatu tindakan.

“Kekuatan negara kita terletak kepada kestabilan politik dan ketenteraman awam, dan untuk kemajuan masa hadapan dua perkara ini haruslah dipertahankan,” titah baginda yang pernah menyertai perkhidmatan awam negeri Kedah pada tahun 1950-an sebelum dilantik sebagai pemangku Sultan Kedah pada Mac 1957 apabila ayahandanya, Almarhum Sultan Badlishah Sultan Abdul Hamid, berangkat ke luar negara.

Baginda menaiki takhta pada 15 Julai 1958 selepas kemangkatan Sultan Badlishah dan ditabal sebagai Sultan Kedah ke-28 pada 20 Februari 1959. Pada Julai 2008, sambutan Jubli Emas pemerintahan baginda telah diadakan secara besar-besaran di Kedah.

Mengenai peranan institusi beraja, Sultan Abdul Halim bertitah bahawa raja dan rakyat tidak boleh dipisahkan.

“Raja adalah payung kepada rakyat dan rakyat adalah tunjang kepada raja.

Jadi peranan terbesar raja adalah untuk memastikan tidak berlakunya kezaliman dan kemusnahan kepada negara dan rakyat.

“Dalam sistem Raja Berperlembagaan peranan yang dimainkan oleh raja adalah sebagai penimbang tara supaya keamanan, kestabilan dan ketenteraman awam dikekalkan sentiasa,” titah baginda.

Pada setiap majlis yang dihadiri, baginda sentiasa menekankan supaya rakyat hidup bersatu padu selain meminta umat Islam supaya sentiasa patuh kepada ajaran agama.

Sultan Abdul Halim yang diputerakan pada 28 November 1927 di Istana Anak Bukit, Kedah dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Alor Merah dan Sekolah Melayu Titi Gajah sebelum menyambung pelajaran ke Kolej Sultan Abdul Hamid, mengisi masa lapang baginda dengan membaca buku, bermain golf serta meluang masa bersama keluarga.

Hasil perkahwinan baginda dengan Sultanah Bahiyah Tuanku Abdul Rahman pada 9 Mac 1956, baginda dikurniakan tiga puteri iaitu pasangan kembar Tunku Soraya dan Datuk Seri Diraja Tunku Sarina, 51, dan Datuk Seri Tunku Puteri Intan Safinaz, 45.

Puteri sulung baginda, Tunku Sarina kembali ke rahmatullah pada 31 Ogos 1991 pada usia 31 tahun di Istana Anak Bukit, Kedah. Sultanah Bahiyah pula mangkat pada 26 Ogos 2003 pada usia 73 tahun.

Sultan Abdul Halim berkahwin dengan Sultanah Haminah Hamidun pada 25 Disember 1975 yang ditabalkan sebagai Sultanah pada 9 Januari 2004.

Sultan Abdul Halim merupakan penyokong kuat pasukan bola sepak Kedah, dan semangat ini dibuktikan pada perlawanan akhir Piala FA antara Kedah dan Perlis pada 30 Jun 2007 di Stadium Batu Kawan di Pulau Pinang apabila baginda sanggup berjalan hampir dua kilometer kerana kenderaan rasmi baginda terperangkap dalam kesesakan menuju ke stadium itu. – BERNAMA

KOMEN : YANG PATAH KAN TUMBUH DAN YANG HILANG AKAN BERGANTI...

No comments: