Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Tuesday, 27 December 2011

Jangan menyusahkan Najib


Oleh ZULKIFLEE BAKAR
pengarang@utusan.com.my
27/12/2011



''SAYA berpegang teguh pada sumpah yang dilafazkan pada April 2009. Saya percaya, sumpah yang saya angkat itu, mempengaruhi saya bukan sahaja sebagai Perdana Menteri tetapi juga sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN), Presiden UMNO dan yang paling penting, sebagai seorang insan yang begitu bangga menjadi rakyat Malaysia.''

Itulah yang dicoretkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak dalam blog beliau www. 1malaysia.com.my baru-baru ini.

Sememangnya tiada siapa pun boleh menafikan, Najib seperti mana kata beliau telah melakukan yang terbaik untuk rakyat semenjak dua tahun setengah memegang jawatan Perdana Menteri.

Perlu diingat Najib menjadi pemimpin nombor satu negara bukanlah dalam situasi yang mudah, beliau melangkah masuk ke Pejabat Perdana Menteri dalam keadaan politik UMNO dan BN berada di kedudukan cukup tidak selesa.

Sementara UMNO kehilangan kuasa di Kedah, Perak (selama 11 bulan) dan Selangor serta terus gagal menawan Kelantan, BN pula kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen dan terlepas kekuasaan di Pulau Pinang.

Malahan Najib mempunyai tanggungjawab cukup berat bagi memulihkan keyakinan rakyat kepada kerajaan BN. Apa yang berlaku dalam pilihan raya umum lalu, seolah-olah satu isyarat jelas kepada BN bahawa rakyat mampu menolak parti berkenaan, biar pun mereka menyedari BN sudah banyak berjasa kepada rakyat dan negara.

Berikutan itu, siang dan malam, Najib dengan dibantu Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin memerah otak bagi memulihkan keadaan sama ada dari sokongan politik, ekonomi mahupun sosial.

Justeru muncullah satu demi satu langkah transformasi dalam semua bidang bagi membolehkan BN kembali meraih sokongan rakyat. Program Transformasi Politik (PTP), Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) dilihat lambang kesungguhan Najib dalam mentadbir negara.

Ini belum lagi mengambil kira bagaimana Najib an Muhyiddin sanggup turun ke bawah bertemu rakyat melalui program 'walkabout'. Setiap lapisan rakyat ditemui dan pelbagai kaum didekati, masalah mereka didengari serta diselesaikan.

Walaupun menghadapi pelbagai tekanan, tohmahan dan kerenah pembangkang yang semakin ghairah mencari kuasa politik, namun ia tidak mampu menggugat ketekunan Najib.

''Tak kira apa yang dikatakan oleh sesetengah pihak yang tak bertanggungjawab mengenai saya, keluarga saya atau pentadbiran saya, namun apa yang pasti saya telah berusaha pastikan setiap keputusan yang saya ambil sebagai Perdana Menteri adalah yang terbaik mungkin,'' kata Najib.

Bagaimanapun segala usaha Najib boleh tergugat jika BN dan UMNO tidak mencapai kejayaan cemerlang dalam pilihan raya umum atau paling penting mengekalkan kuasa.

Buat masa ini tidak dapat dinafikan keyakinan dan kepercayaan rakyat kepada kepimpinan Najib semakin meningkat dan imej kerajaan BN semakin melonjak.

Namun begitu, ia bergantung sejauh manakah pemimpin UMNO dan BN berusaha mengekalkan momentum sokongan berkenaan dengan memastikan ia diterjemahkan dalam bentuk undi.

Bagi pemimpin-pemimpin UMNO, mereka tidak boleh lagi bersikap hipokrit dengan mengamalkan politiking sesama sendiri. Mereka sudah berjanji dan melafazkan ikrar taat setia untuk patuh kepada apa juga keputusan pucuk pimpinan mengenai calon.

Siapa sahaja yang akan dipilih sebagai calon melalui kriteria calon boleh menang, maka mereka perlu patuh dan taat serta bekerja bersungguh-sungguh bagi memenangkan calon berkenaan.

Berbanding 2008, UMNO dikatakan jauh lebih selesa untuk menghadapi pilihan raya umum kali ini, malahan dilaporkan juga orang Melayu yang sebelum ini menolak UMNO sudah kembali kepada parti itu.

Justeru pemimpin-pemimpin UMNO di semua peringkat tidak harus menyusahkan Najib dengan mengamalkan budaya cah keting atau tikam belakang sehingga memungkinkan parti itu tewas dalam pilihan raya umum nanti.

Begitu juga dengan mereka yang sudah lama memegang jawatan dan tidak mampu lagi mengalas tanggungjawab tersebut.

Cerminlah diri, apakah benar kita calon boleh menang seperti mana ditetapkan oleh Perdana Menteri, jika tidak berundurlah dengan sukarela, jangan menyusahkan Najib sehingga beliau terpaksa menghantar wakil untuk 'majlis pujuk memujuk'.

UMNO tidak ada masa untuk semua itu, kalau merasakan pemilihan kita hanya akan menyebabkan parti akan kalah maka bersikap terbukalah dengan menyokong calon yang dipilih parti, apa yang penting parti menang.

Bagaimanapun istilah 'jangan menyusahkan Najib' ini bukan eksklusif untuk UMNO sahaja malahan komponen BN juga perlu mengamalkan sikap yang sama.

Mereka juga tidak terkecuali untuk menyenaraikan calon boleh menang dan tidak boleh beranggapan syarat berkenaan hanya untuk UMNO sahaja. Berbanding UMNO, tanggungjawab komponen BN terutamanya MCA, MIC dan Gerakan jauh lebih berat.

Mereka perlu menyakinkan pengundi-pengundi bukan Melayu untuk kembali kepada BN dan dalam soal ini mereka harus mempunyai keyakinan yang tinggi untuk menewaskan pembangkang termasuklah di Pulau Pinang.

Janganlah mengamalkan sikap menyerah kalah sebelum berperang terutamanya di Pulau Pinang yang kini dikuasai oleh DAP yang bekerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas.

Komponen BN harus berusaha memberikan penjelasan kepada golongan bukan Melayu mengenai usaha yang telah dan sedang dilaksanakan oleh Najib untuk memberikan kesejahteraan kepada rakyat.

Hakikatnya, rakyat sudah melihat kesan daripada gagasan 1Malaysia yang menyaksikan kerajaan di bawah kepimpinan Najib berusaha meringankan beban mereka dalam segala segi.

Pelbagai peruntukan dan bantuan yang disalurkan sudah jelas menunjukkan kemampuan kerajaan BN dalam memenuhi hasrat rakyat dan ia berbeza sama sekali dengan pakatan pembangkang yang pada masa ini masih belum menyelesaikan banyak janji mereka dalam pilihan raya umum lalu.

''Tiada siapapun yang mempengaruhi kita, tiada siapapun yang mendesak kita. Kerajaan ini membuat keputusan atas kehendak dan fikrah sendiri dengan memulakan proses islah dan penambahbaikan.''

Penegasan Najib ini boleh dijadikan sandaran supaya rakyat tidak terpengaruh dengan dakyah pembangkang kononnya apa yang dilakukan oleh kerajaan adalah atas desakan mereka.

Sedangkan semua orang tahu bagaimana kemampuan pakatan pembangkang apabila diberi peluang memerintah Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Kelantan dan Perak (selama 11 bulan).

Kemenangan besar BN pilihan raya umum akan datang amat penting bagi membolehkan Najib dan kerajaan melaksanakan lebih banyak agenda bagi membangunkan negara.

Oleh itu terapkan semangat jangan susahkan Najib kerana ia amat penting bagi memastikan niat murni dan ikhlas beliau memimpin negara ini tercapai.

Berilah sokongan sepenuhnya dan berusahalah dengan gigih supaya impian beliau melalui gagasan 1Malaysia yang berlandaskan slogan Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan mampu disempurnakan.

KOMEN : KEBANYAKAN MEREKA MASIH MENGAKU YANG DIRI MEREKA CALON BOLEH MENANG, WALAUPUN SEBENARNYA SUDAH DITOLAK OLEH RAKYAT... KUASA OH KUASA, TANPA KAU SIAPALAH AKU...

No comments: