Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Thursday 8 December 2011

PERSOALANNYA BUKAN NIK AZIZ TAPI UMNO...


Jihad UMNO di Kelantan
Oleh ZULKIFLEE BAKAR
pengarang@utusan.com.my



''Insya-Allah bertanding lawan UMNO'' - Itulah kata-kata Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kepada wartawan pada Isnin lalu, sekali gus mengesahkan bahawa beliau akan tetap bersaing dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13) nanti.

Mursyidul Am Pas itu sudah pasti akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka yang terletak dalam Parlimen Pengkalan Chepa yang dianggap salah satu kubu terkuat Pas di Kelantan.

Malahan bagi Nik Abdul Aziz tidak ada sebab kenapa beliau perlu berundur, biar pun sudah ada ura-ura jawatan Menteri Besar mungkin akan disandang orang lain.

Tidak kisahlah siapa yang Pas hendak aturkan untuk menjadi Menteri Besar dan tidak mengapalah kalau Nik Abdul Aziz hendak bertanding biar pun sudah 40 tahun menjadi wakil rakyat, itu hak beliau.

Tetapi soalnya sejauh manakah persiapan UMNO Kelantan dalam menghadapi 'pertempuran getir' di Kelantan dalam pilihan raya umum akan datang?

Bersediakah UMNO Kelantan untuk meyakinkan rakyat negeri itu bahawa masanya sudah tiba bagi mereka mengalih sokongan kepada Barisan Nasional (BN) memandangkan jika Pas terus memerintah, Kelantan akan terus berada di takuk sekarang, diselimuti pelbagai masalah berkaitan kesejahteraan hidup rakyat.

Sejarah sejak 1990 membuktikan Pas tidak berupaya melakukan apa-apa bagi mengubah wajah Kelantan. Di bawah pemerintahan Pas, Kelantan hanya kaya dengan slogan tetapi kesejahteraan hidup rakyat masih menjadi perdebatan.

Membiarkan rakyat Kelantan terus berada di bawah kepompong kepimpinan Pas tidak akan membawa apa-apa keuntungan kepada orang Melayu dan umat Islam di negeri berkenaan.

Sebab itulah, adalah menjadi satu jihad kepada UMNO Kelantan mengubah situasi ini kerana kita tidak mahu imej orang Melayu dan umat Islam dipandang rendah apabila mereka melihat situasi yang berlaku di Kelantan.

Pilihan raya umum akan datang adalah detik terbaik bagi UMNO melaksanakan jihad ini. Tidak usah bimbang dengan andaiannya apatah lagi 'fatwa' songsang mana-mana pihak, kononnya tindakan menjatuhkan Pas di Kelantan adalah satu dosa memandang ia kerajaan yang berada di bawah kepimpinan ulama.

Tetapi soalnya, apakah Islam membenarkan umatnya terus berada dalam pelbagai masalah kehidupan akibat kelemahan pentadbiran sesebuah kerajaan?

Sebenarnya, keputusan Nik Aziz itu adalah rahmat untuk UMNO Kelantan kerana pengaruh Mursyidul Am itu hakikatnya semakin merosot.

Pemimpin UMNO Kelantan harus ingat apa yang berlaku pada tahun 2004, keputusan pilihan raya pada tahun itu yang menyaksikan Pas terpaksa memerintah dengan kelebihan satu kerusi sahaja, sudah membuktikan Nik Aziz dan Pas Kelantan tidaklah sekuat mana.

Pada masa ini pelbagai kelemahan dan kontroversi yang melanda pentadbiran Kerajaan Pas Kelantan telah membuka mata dan minda rakyat negeri itu.

Jika dua pilihan raya kecil yang berlangsung di Kelantan baru-baru ini iaitu di DUN Manek Urai dan Galas mahu diambil kira, ia menunjukkan bahawa rakyat Kelantan mahu perubahan.

Mereka memberi kemenangan dengan majoriti yang cukup kecil kepada Pas di Manek Urai dan menghumbankan parti itu ke lembah kekalahan dengan menyebelahi BN di DUN Galas.

Seharusnya, perubahan ketara sikap pengundi ini memberikan semangat kepada pemimpin-pemimpin UMNO Kelantan untuk meneruskan momentum bagi memastikan misi merampas kembali Kelantan berjaya dalam pilihan raya umum akan datang.

Lupakan sengketa sesama sendiri kerana hakikatnya apabila orang bercakap bahawa UMNO Kelantan kalah kerana 'cah keting' ia sebenarnya hanya mencemarkan maruah pemimpin-pemimpin parti itu.

Rakyat Kelantan sudah memberikan isyarat mereka mahu kembali kepada BN dan dalam masa yang sama di peringkat pusat pula, kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semakin terserlah dan mampu mengembalikan sokongan kepada parti itu.

Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri sudah memberi jaminan kepada rakyat Kelantan bahawa Kerajaan Pusat akan mengubah wajah negeri itu jika BN diberi peluang memerintah.

Pelbagai peruntukan dan program pembangunan akan dilaksanakan bagi memastikan segala penderitaan rakyat Kelantan sepanjang berada di bawah kepimpinan Pas berakhir.

Oleh itu, jelaslah bahawa UMNO Kelantan sudah memiliki 'azimat' bagi menarik sokongan rakyat negeri itu, apa yang penting ialah keikhlasan dalam memastikan kejayaan BN.

UMNO Kelantan perlu mengatur strategi daripada sekarang dengan mempertingkatkan sesi penerangan kepada rakyat mengenai kelemahan Nik Aziz, kepincangan Pas Kelantan dan kegagalan pentadbiran kerajaan negeri.

Apa yang perlu diingat, populariti Nik Aziz bukanlah berada di tahap cemerlang ketika ini, pelbagai kontroversi yang beliau cetuskan sama ada sebagai menteri besar mahupun Mursyidul Am Pas adalah 'senjata terbaik' untuk UMNO Kelantan mendedahkannya.

Begitu juga dengan kelemahan pentadbiran kerajaan negeri, rakyat perlu diingatkan bahawa Islam bukan sekadar slogan tetapi agama yang mahu melihat umatnya mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Oleh itu pegangan 'kawe (saya) sokong Pas kerana Isle (Islam)' perlu diubah dalam pemikiran majoriti rakyat Kelantan. Menyerahkan kepimpinan negeri kepada UMNO bukan bermakna akan terbenamnya Islam di bumi Kelantan tetapi sebaliknya akan mengangkat martabat negeri itu bagi memenuhi maksud sebenar Serambi Mekah.

Allah telah berfirman bahawa Dia tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu, selagi mereka tidak mengubahnya sendiri, maka inilah jihad UMNO Kelantan.

Mereka bertanggungjawab melaksanakan jihad ini demi membawa perubahan dan kemajuan kepada rakyat Kelantan yang majoritinya adalah orang Melayu dan umat Islam.

UMNO Kelantan dengan sokongan Kerajaan Pusat sudah pasti mampu menjadikan Kelantan sebagai negeri orang Melayu yang bermartabat, berjaya dan bermaruah, bukannya diselimuti dengan seribu satu masalah serta kemelut yang menjejaskan imej Islam itu sendiri.

Inilah perjuangan yang dipertegaskan oleh Muhyiddin pada Perhimpunan Agung UMNO lalu bahawa mengubah nasib bangsa, mengangkat dan mempertahankan martabat agama Islam serta meningkatkan maruah negara adalah satu jihad yang perlu dilaksanakan oleh UMNO termasuk di Kelantan.

Justeru pemimpin dan ahli UMNO Kelantan serta penyokong mereka perlu faham tanggungjawab dan amanah yang ada pada diri mereka.

Fahamilah pertarungan di Kelantan bukan sekadar soal merebut kuasa politik semata-mata tetapi jihad mengubah nasib dan mengangkat martabat ummah.

KOMEN : YANG GAGAL MENGAMBIL KESEMPATAN DARI KELEMAHAN MUSUH AKAN TERUS KECUNDANG...

1 comment:

Anonymous said...

ADA PIHAK DLM PAS AKAN BUAT APE SAJE ASALKN WALLY SLIPAU KEKAL BERKUASA BROO. SBB TU PERANG DALAMAN PAS SEMAKIN KETARA. SUDAH ADA PIHAK DI TUGASKAN UTK 'ANGKAT' WALLY SLIPAU KE SATU TAHAP ALA2 AYAH PIN. HMM MHUSAM KUSAM SENYAP MENIKUSS?? HUHUHU