Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Monday, 5 December 2011

Keunikan Evoque


PENGENALANNYA menandakan permulaan era baharu buat jenama ikonik British. Penciptaannya juga disifatkan sebagai langkah yang cukup berani oleh pengeluarnya. Ia mengubah tradisi lamanya. Itulah Evoque, model SUV terbaharu Range Rover.

Sebelum ini, rangkaian Range Rover disifatkan lebih ke arah pelanggan lelaki. Lihat sahaja senario pemanduan jentera ini di atas jalan raya di negara ini. Rata-ratanya pemandu lelaki. Bukan tiada pemandu wanita tetapi jarang sekali ditemui.

Senario itu bakal berubah. Bilangan pemandu wanita Range Rover di jalanan pastinya lebih kerap menerusi pengenalan Evoque. Model ini dikatakan mampu menjadi faktor pengimbang pasaran lelaki dan wanita dengan kadar nisbah 50:50.

Untuk makluman, Evoque ialah SUV paling kecil, ringan dan efisien pernah dihasilkan dalam rangkaian model Range Rover. Ia dibangunkan berdasarkan kereta konsep Range Rover LRX yang pernah dipamerkan pada North American International Auto Show pada tahun 2008.

Sewaktu Paris Auto Show tahun lalu, kereta konsep itu dizahirkan menjadi Evoque model tiga pintu (Coupe). Tahun yang sama turut menyaksikan pengenalan model lima pintu SUV Range Rover itu dalam Los Angeles Auto Show.


EVOQUE Coupe pastinya menarik perhatian umum sewaktu menyusuri jalan raya.

Awal bulan ini, kedua-dua model Evoque itu dibawa masuk ke dalam pasaran tempatan oleh Land Rover (Malaysia) Sdn. Bhd. (Land Rover Malaysia). Model yang diimport sepenuhnya itu (CBU) didatangkan dalam pilihan enjin petrol dan diesel.

Pengarah Urusan Land Rover Malaysia, Mohd. Hazem Abdul Rahman menyifatkan Evoque sebagai model paling penting dan menarik keluaran Land Rover. Katanya, Evoque merupakan agen perubah jenama Range Rover.

"Ia menterjemahkan satu segmen serba baharu dalam pasaran SUV dan direka untuk mengubah set minda. Buat pertama kalinya, kami memiliki satu produk perintis yang akan menarik minat mereka yang tidak pernah mempertimbangkan sebuah Land Rover, Range Rover atau SUV sebelum ini.

Tempahan 250 unit

"Evoque memberikan yang terbaik daripada aspek penampilan kereta konsep menakjubkan dan digabungkan dengan keselesaan, praktikaliti untuk kegunaan harian dan kemampuan 4X4 yang tiada tandingan," katanya.

Mengulas lanjut, Mohd. Hazem mengesahkan, sehingga kini, tempahan yang diterima untuk model Evoque sudah melepasi paras 250 unit. Dijangka varian lima pintu petrol akan meraih sambutan memberangsangkan.


SUSUN atur butang kawalan kemas dan mudah dicapai pemandu.

Evoque coupe dan lima pintunya masih berpegang pada nilai-nilai utama dan kemewahan premium jenama Range Rover. Ia menawarkan prestasi mengagumkan di atas semua bentuk laluan selain pengendalian yang dinamik dan sporty.

Model SUV itu didatangkan dengan pilihan enjin petrol 2.0 liter dan diesel 2.2 liter. Enjin petrol Si4 tersebut digabungkan dengan sistem pancitan terus bahan api, pengecas turbo dan pemboleh ubah pemasaan injap berkembar untuk pemanduan serta penjimatan bahan api.

Bagi model diesel pula, ia menggunakan khidmat enjin turbodiesel yang turut digunakan pada model Land Rover Freelander 2. Kedua-dua jenis enjin empat silinder sebaris itu diberi padanan transmisi automatik enam kelajuan AW F-21 G generasi baru dengan Rotary Auto Shifter.

Semua varian Evoque dipasang dengan rim aloi bersaiz 20 inci. Selain itu, ia dilengkapi sistem audio dengan 11 unit pembesar suara, skrin sentuh bersaiz lapan inci bersama sistem navigasi, paparan maklumat pemandu TFT berwarna bersaiz lima inci yang ditempatkan di antara dua dial instrumen, sistem parkir selari automatik dan pintu but berkuasa.

Tidak lupa juga sambungan teknologi seperti input USB, soket imput tambahan untuk iPod dan peranti mudah alih lain, sambungan Bluetooth untuk kegunaan telefon bebas tangan dan penstriman audio.


ROTARY Auto Shifter menggantikan penggunaan tombol gear konvensional.

Sistem Adaptive Dynamics

Bagi Evoque Coupe, ia didatangkan bersama sistem Adaptive Dynamics dan peredam MagneRide yang menawarkan keseimbangan antara keyakinan, pengendalian lincah, fleksibel serta pemanduan terkawal.

Bumbung panoramik kaca bersaiz penuh meningkatkan lagi sensasi ruang yang luas. Pada masa yang sama, ia menerangkan ruang kabin secara semula jadi dan meluaskan pemandangan untuk semua penumpang di dalamnya.

Evoque lima pintu mempunyai garis bumbung bahagian belakang yang lebih tinggi. Ia memberikan lebihan ruang dan versatiliti pada bahagian kabin. Sekali gus memastikan penumpang tempat duduk belakang tetap selesa sepanjang perjalanan.

Cerminan sebenar Evoque terletak pada penampilan luarannya. Evoque nyata lebih menyerlah menerusi aplikasi lampu utama adaptif xenon bersama satu grafik signatur penuh kuasa pada lampu hadapan menggunakan teknologi bilah lampu LED. Grafik sama diulang pada lampu belakang LED dengan reka bentuk kelopak 3D seperti sebiji batu permata.

Masuk ke dalam kabin, didapati paparan dalaman hidup menerusi urutan penghidup yang dikoreograf. Lampu ambien LED memberikan iluminasi sofistikated dan tepat ke dalam kabin. Apabila memilih mode Dynamic, skim warna merah muncul dan menerangi ruang dalaman dan gugusan paparan meter.

Fabrik yang digunakan pada bahagian dalaman membabitkan kulit premium Oxford. Ia dijahit menggunakan tangan dengan jahitan dua bilah jarum. Ia meliputi bahagian tengah papan pemuka, panel pintu dan tempat duduk.


PANEL instrumen juga memaparkan status kenderaan dan pelbagai program pilihan.

Evoque menggunakan sistem suspensi dan struktur baharu. Ia menawarkan pemanduan dinamik sama ada di laluan off-road atau sebaliknya. Struktur tubuhnya dibina menggunakan keluli ringan yang kukuh untuk memberi ketegaran terbaik.

Model itu juga sarat dengan pelbagai teknologi keselamatan seperti Dynamic Stability Control, Roll Stability Control, Traction Control System, Trailer Stability Assist, Hill Start Assist, Hill Descent Control, Gradient Release Control dan Engine Drag torque Control.

No comments: