Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Tuesday, 13 December 2011

Hargai keprihatinan Yang di-Pertuan Agong


DARI UTUSAN MALAYSIA
13/12/2011



TEKS ucapan menjunjung kasih Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Majlis Jamuan Negara Sempena Tamat Tempoh Pemerintahan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-13 di Istana Negara, Jalan Duta pada 10 Disember 2011 (Sabtu) malam.

BISMILLAHIRAHMANIRRAHIM Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam 1Malaysia.

Segala puji dan Tahmid dirafakkan ke hadrat Allah SWT yang telah mencurah rahmat serta inayah-Nya kepada kita semua.

Menghadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah.

Menghadap Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah.

Ampun Tuanku beribu ampun, sembah patik mohon diampun.

Seawal-awal kata, dipersembahkan setinggi-tinggi junjungan kasih, atas limpah perkenan Tuanku berdua untuk berangkat ke Majlis Jamuan Negara Sempena Tamat Tempoh Pemerintahan selaku Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong ketiga belas.

Sayugialah difatwakan oleh para bangsawan dan rakyat yang ada, bahawa Tuanku umpama bintang bercahaya, patik sekalian menumpang terangnya.

Pada suasana malam yang indah lagi permai ini, bersama segala takzimnya, patik bagi pihak kerajaan serta seluruh rakyat jelata ingin merakamkan sebesar-besar penghargaan dan lafaz penghormatan yang tiada terperinya, Ke Bawah Duli Tuanku, justeru sepanjang tempoh pemerintahan selaku Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, telah menjalankan tugas dan amanah seperti mana yang termaktub dalam undang-undang tertinggi negara yakni Perlembagaan Persekutuan.

Sesungguhnya, patik sekalian bersyukur ke hadrat Allah SWT, lantaran tanggungjawab yang diterjemah dan dilunaskan ini, telah berlangsung dengan sempurna sehingga ia mendatangkan kemuliaan dan kepujian kepada Tuanku dan kepada negara Malaysia.

Sememangnya, Institusi Raja Berperlembagaan, Demokrasi Berparlimen dan ketertinggian Perlembagaan bertulis adalah warisan bapa-bapa pengasas negara kepada kita generasi hari ini. Ia sebenarnya adalah pilihan yang amat tepat bagi sebuah negara majmuk seperti Malaysia.

Dalam konteks ini, institusi Yang di-Pertuan Agong sebagai kepala utama negara adalah amat unik kepada Malaysia. Kebitaraannya berasaskan kepada beberapa faktor.

Pertamanya, sekalipun institusi ini merupakan satu ciptaan Perlembagaan Persekutuan yang dengan secara terperinci telah dilakarkan segala tugas serta tanggungjawabnya, ia masih tetap diasaskan kepada faktor-faktor sejarah, tradisi juga budaya bangsa Melayu.

Keduanya, sungguhpun Yang di-Pertuan Agong diberi kuasa budi bicara yang terhad untuk melantik Perdana Menteri dan membubarkan Parlimen, jelasnya institusi ini dipermuliakan dengan bersifat lampau politik atau dalam kata lain letak duduknya itu, di atas politik kepartian.

Malah, faktor ketiganya, institusi Yang di-Pertuan Agong sangatlah terpelihara kerana bukanlah dipilih oleh para pengundi, begitu juga tidak terbuka untuk ditandingi oleh mana-mana pihak.

Seterusnya, keempat, institusi ini tidak bersifat warisan, kerana ia dipilih oleh sebuah majlis daripada kalangan sembilan Raja-Raja Melayu yang sedia ada.

Dan kelimanya, begitu indah sekali bahawa, institusi ini melindungi bukan sahaja kaum Melayu dan Bumiputera malah mencakupi hak serta kepentingan yang sah kepada semua kaum di negara ini.

Di atas segalanya, sumbangan terbesar institusi ini sebagai diperbuktikan sepanjang lebih lima dekad kewujudan ialah peranannya dalam memastikan kestabilan politik negara. Kerukunan dan keharmonian tersebutlah yang telah memungkinkan berlakunya transformasi Malaysia selama ini.

Lantaran itu, pada hemah kerajaan, institusi ini perlu terus dipertahan oleh setiap rakyat Malaysia, kerana ia adalah milik semua tanpa kecuali. Oleh sebab itu, janganlah sesekali ada pihak yang cuba bermain api untuk mencabarnya.

Ketahuilah bahawa, kerajaan Tuanku ini akan sentiasa bertegas, bagi memelihara dan melindungi Perlembagaan Persekutuan bersama segala institusi yang diwujudkan serta hak-hak yang terbit darinya, dengan segala kuasa juga kekuatan seperti diperuntukan oleh undang-undang.

Perjalanan kita sebagai sebuah negara baru telah menempuh pelbagai peristiwa pahit manis. Namun, Alhamdulillah, di sebalik cabaran dan rintangan yang sesetengahnya hampir mencarik fabrik asas kenegaraan, kita telah mampu keluar daripadanya dengan penuh jaya tanpa sedikit pun mengorbankan prinsip keluhuran Perlembagaan mahupun kedaulatan undang-undang.

Lalu, dengan izin Yang Maha Esa, pertiwi yang dirahmati ini telah mampu bersaing di persada antarabangsa. Bak kata orang, boleh duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara-negara lain di dunia.

Kendatipun begitu, sebagai sebuah negara, kita sedar bahawa kejayaan terbaik kita yang sebenarnya, berada di garis-garis hadapan dan bukannya tersimpul dalam detik-detik silam. Ia terbina atas harapan, impian, imaginasi dan usaha gigih semua anak-anak Malaysia.

Patik bagi pihak kerajaan dan rakyat berasa bertuah kerana negara ini dalam tempoh naungan Tuanku, telah merentasi kejayaan demi kejayaan. Untuk itu, kerajaan Tuanku ini akan meneruskan usaha bagi mencipta hari muka yang lebih ampuh untuk Malaysia.

Sebetulnya pun, kita telah memulakan usaha islah dan pembaharuan secara menyeluruh semenjak lebih tiga puluh bulan yang lalu. Ia melibatkan usaha untuk mengukuhkan perpaduan nasional dengan meraikan kepelbagaian, menambah baik sistem penyampaian sektor awam dengan prinsip merundingi rakyat.

Seterusnya, menyambung proses merealisasikan wawasan nasional yakni sebagai sebuah negara maju berpendapatan tinggi sekali gus memastikan Malaysia tumbuh berkembang menjadi sebuah demokrasi yang berfungsi di samping mengimbangi kepentingan keselamatan nasional serta kebebasan individu.

Seperkara lagi ialah patik dan rakyat berasa bangga di atas keprihatinan Tuanku sebagai seorang Raja yang berjiwa rakyat dalam memayungi kerja-kerja amal dan kebajikan di Malaysia.

Terbukti, sifat kasih dan sayang dipamerkan oleh Tuanku apabila berangkat ke majlis-majlis rasmi mahupun temasya amat menyentuh sanubari rakyat jelata tanpa mengira kaum. Nyatanya, patik sekalian turut berasa kagum dan paling mengingati penceburan secara aktif oleh Tuanku di lapangan riadah antaranya seni mempertahankan diri, aktiviti kapal layar dan sukan berkuda.

Seperti yang ramai maklum, minat Tuanku dalam sukan berkuda bukanlah calang-calang. Baginda Tuanku dari semasa ke semasa telah secara instrumental melibatkan diri dalam pertandingan berkuda tahunan di Malaysia yang mendapat sambutan pelbagai atlet negara termasuklah dari negara-negara Eropah. Selain itu, tidak ketinggalan tentunya bidang riadah kegemaran Tuanku, yang turut diminati oleh ramai, yakni sukan golf.

Dalam kesempatan ini juga, patik bagi pihak kerajaan dan rakyat terbanyak, ingin turut menghimpun bahara kasih tiada ternilai kepada Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong yang selalu setia di sisi dan mendampingi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong terutamanya dalam menjalankan tugas-tugas rasmi negara. Pastinya, budi baik Tuanku berdua yang harum mewangi akan kekal terpahat sampai bila-bila pun jua. Kata orang, hendak daun diberi daun, dalam daun ada bidara, hendak pantun diberi pantun, dalam pantun ada bicara:

Beralun nobat, bergema watan,

Raja berangkat mencemar duli,

Budi Tuanku segunung intan,

Rakyat menyanjung, kekal abadi.

Akhir kalam, patik bagi pihak kerajaan, hamba rakyat, putera puteri negara ini serta segenap takluknya berdoa semoga Allah SWT sentiasa memelihara Tuanku berdua dalam keadaan sihat walafiat.

Menjelang keberangkatan Tuanku berdua ke negeri Terengganu Darul Iman kelak, dipanjatkan bersama harapan semoga negeri Terengganu dan rakyatnya terus sentosa lagi makmur.

No comments: