Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Monday 5 December 2011

Berkorban demi kongsi kuasa


Oleh AZMAN ANUAR
rencana@utusan.com.my
3/12/2011



SUASANA Perhimpunan Agung UMNO Ke-62 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hangat dengan pembahas-pembahas membangkitkan usul, pandangan dan kritikan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13.

Persoalannya sekarang, apakah sistem pengagihan kerusi dalam kalangan anggota parti komponen Barisan Nasional (BN) pada PRU 13 ini. Kalau kita lihat keputusan PRU 12 (2008), selain UMNO, parti komponen lain tidak begitu cemerlang dalam mempertahankan kerusi mereka seperti PRU 11 (2004).

Dari sudut pandangan Pengarah Institut Kepimpinan dan Keusahawanan Management & Science University (MSU) Prof. Dr. Mohd Zainul Fithri Othman, secara logik sememangnya pengagihan kerusi ini hendaklah dilihat dari segi kemampuan sesebuah parti itu untuk menang dan ia juga diukur daripada keputusan PRU 12.

Namun demikian, oleh kerana BN telah lama mengamalkan sistem perkongsian kuasa, maka kemungkinan besar beberapa kawasan Parlimen yang majoritinya pengundi Melayu akan diserahkan kepada komponen BN yang lain.

"Sistem pengagihan yang akan dibuat adalah berdasarkan kepada calon yang diyakini boleh menjamin kemenangan atau winnable candidate maka sudah tentu keputusan dan tindakan yang dibuat oleh Pengerusi BN iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak akan berpaksikan kepada siapakah calon yang hendak dipertaruhkan dan adakah dia mempunyai kriteria yang disenangi rakyat sekali gus menjaminkan kemenangan BN.

"Keputusan ini juga mestilah dilandaskan kepada bacaan sikap pengundi kawasan mengenai calon-calon atau parti-parti yang hendak diketengahkan.

"Jika ada kawasan Melayu yang diberikan kepada MCA atau MIC, ada kemungkinan ia adalah di kawasan-kawasan yang peratusan majoriti pengundi Melayunya rendah seperti 54 hingga 58 peratus. Jika kawasan itu mempunyai peratusan yang tinggi iaitu 62 peratus ke atas, maka kawasan ini hendaklah diserahkan kepada UMNO," kata Mohd. Zainul Fithri.

Dalam perspektif lain ada juga kawasan yang ahli Parlimennya bukan Melayu tetapi majoriti pengundinya adalah Melayu, namun pengundi yang bukan Melayu tersebut tidak mahukan ahli Parlimen daripada kaum mereka sendiri sebaliknya mahukan calon daripada orang UMNO, kata Mohd. Zainul Fithri yang juga Naib Presiden Industri dan Perhubungan Organisasi, MSU.

Mereka menyatakan orang UMNO lebih diyakini untuk menjaga mereka daripada kaum mereka sendiri, maka bacaan sikap sebegini tidak boleh dipandang remeh oleh pucuk pimpinan BN. Namun demikian kebijaksanaan Najib akan menjawab persoalan ini bila tiba masanya.

Apabila tiba kepada persoalan pengorbanan tentang agihan kerusi ini, maka ini adalah pengorbanan yang dibuat oleh UMNO demi menjaga kemuafakatan dan persahabatan dalam BN.

"Begitu juga parti MCA dan MIC yang juga harus melakukan pengorbanan agar BN menang secara mutlak. Janganlah pula kerana nak sangat bertanding sampai lupa soal pengorbanan. Kerana pengorbanan ini dituntut demi memenangkan BN secara mutlak dan sekali gus diangkat semula sebagai pemerintah," jelas Mohd. Zainul Fithri.

Katanya, kepentingan individu atau kepartian hendaklah dipinggirkan. Yang penting adalah kemenangan mutlak kepada Barisan Nasional.

"Taat kepada keputusan dan tindakan yang diambil oleh Pengerusi BN hendaklah menjadi matlamat unggul oleh parti-parti komponen BN. Jika kawasan yang dulunya menjadi kawasan kita, tidak semestinya pada PRU 13 kawasan itu menjadi hak mutlak kita.

"Penentuan kawasan haruslah juga berlandaskan kepada beberapa kriteria utama yang ditetapkan oleh BN seperti kewibawaan calon yang mahu diketengahkan; berdasarkan keputusan kajian bancian sikap pengundi di sesuatu kawasan.

"Jika pengagihan kerusi ini diikat menurut fakta yang tepat, insya-Allah, BN akan memperolehi kemenangan besar dan sejarah BN menang besar seperti tahun 2004 akan berulang lagi," jelas Mohd. Zainul Fithri.

Hakikatnya, untuk menang - UMNO atau BN tidak boleh hanya bergantung kepada pengundi Melayu. Sebaliknya untuk menang dengan tenang dan besar, UMNO memerlukan pengundi daripada semua kaum. Oleh itu kemenangan ini boleh dikecapi jika peratusan pengundi Cina meningkat untuk PRU13.

Begitu juga dengan MCA dan MIC memerlukan undian penduduk Melayu jika mahu menang. Saling memerlukan ini adalah penting demi kemenangan UMNO dan BN, kata pemerhati politik dari MSU itu.

Oleh kerana keperluan yang ketara ini, maka UMNO tidak boleh melupakan pengundi Cina. Ini bukan bermakna, komponen parti yang berasaskan kaum Cina boleh menuntut apa saja yang dirasakan perlu olehnya daripda UMNO.

Tetapi segala permintaan hendaklah berlandaskan fakta yang boleh diterima. Pengharapan pengundi bukan Melayu ini bukan hanya berlaku dalam BN tetapi ia juga berlaku dalam pakatan pembangkang.

Kita harus sedar bahawa, kita memerlukan kesemua kaum sama ada Melayu, Cina atau India serta kaum bumiputera yang lain. Namun, keputusan yang bijaksana akan dilahirkan oleh Najib selaku peneraju BN.

UMNO tidak boleh mementingkan hanya orang Melayu kerana akhirnya pepatah ' menang sorak kampung tergadai' akan terjadi jika UMNO terlalu mementingkan orang Melayu. Ini kerana jika UMNO mahu berkuasa, ia juga wajib mendapat sokongan daripada kaum lain.

Felo Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu (Impak), Datuk Irmohizam Ibrahim pula melihat trend perkongsian kuasa yang dilakukan oleh UMNO merupakan satu kaedah untuk menunjukkan hanya parti UMNO sahajalah yang boleh menyatupadukan rakyat Malaysia yang berbilang kaum. Trend ini juga telah menjadi asas bagi kejayaan UMNO dan BN.

"Bagi saya trend ini perlu dikekalkan kerana dua faktor. Pertamanya sejak keputusan PRU 10 pada 1999 dan pada 2004 persempadanan baru kawasan pilihan raya telah mewujudkan pola pengundi yang berbilang kaum, dan bagi BN trend perkongsian kuasa perlu dikekalkan kerana ia akan menterjemahkan pola pengundi di sesuatu kawasan pilihan raya," kata Irmohizam yang juga Naib Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM).

Kedua, katanya pertumbuhan kawasan bandar baru dan proses urbanisasi telah menunjukkan pertambahan pengundi Cina di kawasan bandar. Pertumbuhan pesat ekonomi dan proses urbanisasi negara telah membawa minat golongan Cina untuk berhijrah ke bandar. Ini juga merupakan antara faktor, tetapi trend ini juga perlu dikekalkan.

Bagi UMNO, paling penting adalah untuk menambat hati pengundi muda berumur 21 antara 40 tahun yang mana atas kejayaan UMNO melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB) ramai golongan profesional dilahirkan. Akses kepada pendidikan telah melahirkan rakyat Malaysia yang berpendidikan serta revolusi ICT telah menjadi gaya hidup untuk anak muda mendapatkan maklumat secara pantas dan tepat.

"Faktor inilah yang sepatutnya UMNO fikirkan pendekatan untuk menguruskan kejayaan parti kerana harapan anak muda ini telah meningkat kepada kualiti hidup, pekerjaan, keselamatan, pendidikan dan sebagainya. Realiti semasa telah menunjukkan harapan rakyat begitu tinggi untuk ditunaikan oleh mana-mana parti politik yang menguasai kerajaan.

"Saya melihat pendekatan yang dibuat oleh Datuk Seri Najib Razak jelas menunjukkan bahawa UMNO ingin ke hadapan dalam landskap baru rakyat negara ini dengan program transformasi negara, politik, sosial dan sebagainya. Ini seharusnya dipasak dalam agenda perjuangan UMNO bagi pengekalan kuasa politik negara," kata Irmohizam.

Meskipun UMNO berteraskan bangsa Melayu, tetapi parti tunjang BN itu sentiasa dilihat bersedia menyesuaikan diri dan menjalin kerjasama dengan bangsa lain.

UMNO tidak akan mengorbankan prinsip asas perkongsian kuasa dan keadilan dalam usaha untuk mencapai kata sepakat dalam isu pengagihan kerusi pada PRU 13.

Ternyata benar sebagai mana kata Presiden UMNO, Najib bahawa UMNO bukan sebuah pertubuhan rasis sebaliknya sebuah parti yang mendakap demokrasi.

KOMEN : KALAU LETAK CALON MCA/MIC/GERAKAN DIKAWASAN MAJORITI ORANG MELAYU KERANA NAK MENOLONG CALON SURE KALAH DIKAWASAN BANGSA SENDIRI... BELUM TENTU MEREKA MENANG DIKAWASAN YANG UMNO SEPATUTNYA BERTANDING... KERANA KEMUNGKINAN UMNO KEHILANGAN UNDI ORANG MELAYU ADALAH TINGGI... UMNO KENA JUGA DENGAR KATA HATI ORANG MELAYU YANG DAH MUAK DENGAN PERANGAI KAUM LAIN YANG SEMAKIN HARI SEMAKIN MENCABAR KESABARAN ORANG MELAYU... TIDAK KIRA DARI PIHAK BN ATAU PUAK PEMBANGKANG... SENDIRI MAHU INGATLAH?

No comments: