Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Tuesday, 27 December 2011

Misi Sahol Hamid letak UiTM di peta dunia


DARI UTUSAN MALAYSIA
27/12/2011


KUALA LUMPUR 25 Dis.- Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Datuk Sahol Hamid Abu Bakar berharap tempoh dua tahun lagi yang diamanahkan kerajaan bagi menerajui universiti itu mampu digunakan untuk meletakkan institusi tersebut di peta dunia.

Sambil melahirkan penghargaan atas kepercayaan kerajaan itu, Sahol Hamid berkata, penggal baru sebagai Naib Canselor UiTM itu juga sangat bermakna ketika beliau sudah mengatur pelbagai program mengangkat pelajar Melayu dan bumiputera di pentas antarabangsa.

''Saya sudah memulakan beberapa program untuk mengubah destinasi anak bangsa serta membawa UiTM ke peringkat yang lebih tinggi sewaktu mengambil alih universiti ini dua tahun lepas.

''Kerana itu, tempoh dua tahun akan datang begitu kritikal bagi saya dalam memastikan apa yang dirancang itu berjaya dilaksanakan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi daripada keputusan kerajaan melanjutkan lantikan beliau sebagai Naib Canselor UiTM untuk tempoh dua tahun berkuatkuasa 1 Januari ini.

Pelantikan itu yang dibuat oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin adalah selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 21 (1) Akta UiTM.

Sahol Hamid pertama kali dilantik ke jawatan itu pada 1 Januari 2010 sehingga 31 Disember 2011.

Menurut Sahol Hamid, antara keutamaan beliau pada penggal baru sebagai Naib Canselor UiTM nanti adalah untuk mengubah persepsi yang masih wujud di kalangan orang ramai bahawa UiTM adalah universiti pilihan kedua.

Sedangkan, kata beliau, UiTM hari ini tidak sama sewaktu di awal penubuhannya yang mana universiti itu ketika ini menjadi rebutan di kalangan pelajar-pelajar cemerlang.

''Ini terbukti menerusi peningkatan permohonan ke UiTM saban tahun dan kerana itu juga saya berharap dapat membuka peluang lebih luas kepada pelajar Melayu dan bumiputera menyambung pelajaran di universiti ini.

''Ketika ini UiTM mempunyai kira-kira 200,000 pelajar dan saya berharap untuk meningkatkan jumlahnya kepada kira-kira 250,000 pelajar bagi sesi pengambilan akan datang," katanya.

Berhubung program meletakkan UiTM di peta dunia, Sahol Hamid berkata, beliau akan meningkatkan lagi kerjasama dan hubungan dengan universiti-universiti terkemuka dunia seperti Universiti Oxford, Cambridge, Harvard dan beberapa universiti di Jerman.

Antara yang sedang dipertimbangkan kata beliau, pertukaran pelajar yang mana pelajar dari universiti terkemuka dunia itu diberikan peluang menduduki semester pengajian di UiTM manakala pelajar UiTM pula melanjutkan pelajaran di universiti terbabit.

''Sudah semestinya saya mahu melihat matlamat ini berjaya dicapai sebelum saya menyerahkan UiTM kepada Naib Canselor yang baharu satu hari nanti," katanya.

No comments: