Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Wednesday, 28 December 2011

Pelajar UiTM pamer 54 rekaan


Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR

HAMIDAH Osman (depan, dua dari kanan) melihat hasil rekaan pelajar tahun akhir Diploma Seni Reka Dalaman di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar, baru-baru ini.

SERI ISKANDAR 27 Dis. - Sebanyak 54 rekaan pelajar Diploma Seni Reka Dalaman Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar di sini, sedang dipamerkan sempena Pameran Reka Bentuk Perabot Pereka Muda (FurEX2011) yang diadakan sehingga 29 Februari depan.

Ketua Unit Komunikasi Korporat dan Perhubungan Antarabangsa UiTM Perak, Dr. Salwa Ayob berkata, hasil rekaan kreatif pelajar terbabit boleh disaksikan di Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur kampus berkenaan.

"Ini pertama kali kita mendedahkan hasil rekaan pelajar kita kepada umum kerana sebelum ini bimbang berlakunya peniruan idea melibatkan hak milik cipta.

"Ciri-ciri rekaan perabot yang dihasilkan haruslah bersifat pelbagai guna selain menerapkan unsur reka bentuk kontemporari," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Majlis perasmian pameran itu disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Pelancongan, Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita, Datuk Hamidah Osman.

Pameran tersebut yang antara lain diharapkan menjadi platform penghubung kepada para ahli akademik dan industri itu turut dihadiri Rektor UiTM Perak, Prof. Ir. Dr. Zainab Mohamed.

Sementara itu, seorang pelajar tahun akhir jurusan tersebut, Azuarniza Awang berkata, dia mengaplikasikan konsep tepak sireh dalam rekaan perabotnya yang diukir dengan motif bunga.

Katanya, konsep tersebut dipilih bagi menyerlahkan simbol ketuanan dan adat Melayu sejak dari zaman Kesultanan Melayu Melaka.

"Fungsi utamanya adalah sebagai meja kopi di ruang tamu. Selain itu, ia juga sesuai untuk kegunaan di majlis-majlis korporat yang berkonsepkan tradisional," katanya.

UiTM, Pehrda meterai MoU

SERI ISKANDAR 27 Dis. - Universiti Teknologi Mara (UiTM) baru-baru ini menandatangani memorandum persefahaman (Mou) dengan Agensi Pembangunan Sumber Manusia dan Keusahawanan Perak (Pehrda) dalam melahirkan lebih ramai usahawan dalam kalangan graduannya.

Rektor UiTM Perak, Prof. Ir. Dr. Zainab Mohamed berkata, melalui MoU tersebut, para graduan yang telah tamat pengajian dalam bidang seramik akan diberikan latihan melalui sistem inkubator selain diberi elaun insurans serta bimbingan sebagai usahawan di bawah Pehrda.

"Latihan inkubator ini dijalankan secara berterusan melalui kaedah tertentu sehingga membolehkan para graduan seramik dapat membuka perniagaan sendiri pada suatu hari nanti.

"Ia melibatkan semua graduan di Jabatan Seramik, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, baik di peringkat Ijazah Sarjana Muda Kepujian mahupun di peringkat diploma," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani MoU berkenaan yang turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Pehrda, Abdul Azis Md Aris.

Dalam pada itu, Zainab berkata, melalui perjanjian itu juga, para pensyarah di Jabatan Seramik UiTM akan menyumbang khidmat perundingan sekiranya diperlukan dalam merangka pusat latihan inkubator serta kurikulum yang dicadangkan Pehrda.

"Dengan termeterainya MoU ini, kita turut mempelawa mana-mana agensi lain di bawah kerajaan negeri untuk menjalinkan kerjasama yang dapat memberi manfaat kepada kedua-dua pihak," katanya.

No comments: