Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Monday 3 October 2011

TEMPIASNYA SAMPAI KE SINGAPURA

Serba salah pemansuhan ISA Malaysia
PENULIS ialah GeoStrategis Institut
GeoSpatial UTM dan ahli bersekutu
Majlis Profesor Negara.


SUKAR untuk menafikan hubungan di antara Malaysia dan Singapura adalah begitu unik dan berkemungkinan besar tidak wujud bentuk hubungan serupa dua negara yang lain.

Sejarah lampau sebenarnya telah banyak mempengaruhi dan mewarnai setiap peristiwa yang mengaitkan dua negara jiran terdekat sehingga hari ini.

Apabila Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dikatakan mengeluarkan ungkapan yang menggambarkan keselamatan rakyat Singapura adalah lebih terjamin jika mereka berada di Pulau Pinang berbanding Johor, mahu tidak mahu ungkapan tersebut dikaitkan pula dengan kenyataan bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew yang antara lain mendakwa bandar raya Johor Bahru tidak selamat kerana kerap berlaku kes penculikan rakyat Singapura.

Begitu juga apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan kerajaan akan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Ordinan Darurat, serta menarik balik lesen yang dikenakan ke atas media dan menyemak semula undang-undang mengenai kebebasan berhimpun, tempias bukan sahaja dirasai oleh pembangkang Malaysia tetapi juga kerajaan pemerintah Singapura.

Terdapat desakan dan perbahasan yang begitu hebat berlaku bukan sahaja dalam kalangan ahli politik Singapura malah di antara rakyat umum supaya kerajaan Singapura mengambil langkah serupa. Warga Singapura merasa agak tertekan dengan tindakan Kuala Lumpur memansuhkan ISA kerana selama ini mempunyai persepsi tebal Singapura berada di setapak hadapan dalam segala hal berbanding Malaysia.

Tiada siapa yang menduga pendekatan drastik tetapi strategik yang diambil oleh Najib kerana ISA adalah begitu sinonim dengan perjalanan Malaysia sebagai sebuah negara yang merdeka. Malah pada 3 Februari 1991 ketika Lee Hsien Loong menjadi Timbalan Perdana Menteri, beliau telah membuat kenyataan bahawa Singapura akan memansuhkan ISA jika Malaysia mengambil langkah serupa. Begitu yakinnya Hsien Loong pada ketika itu bahawa Malaysia tidak akan memansuhkan ISA.

Kini janji Hsien Loong dua dekad lalu ditagih oleh rakyat Singapura supaya dikotakan. Begitu banyak sejarah lampau dikongsi secara bersama di antara Malaysia dan Singapura dan ISA adalah salah satu daripadanya yang dianggap peninggalan pemerintahan British. Sebab itu rakyat Singapura menaruh harapan supaya kerajaan mereka mengambil pendekatan serupa seperti yang telah dilaksanakan oleh Malaysia.

Pengumuman pemansuhan ISA sempena Hari Malaysia dianggap sebagai simbolik oleh rakyat Malaysia, tetapi bagi rakyat Singapura mungkin mempunyai persepsi agak berbeza kerana Malaysia pada 1963 juga melibatkan Singapura.

Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) Singapura telah mengeluarkan kenyataan bahawa akta tersebut tetap relevan dan penting sebagai langkah terakhir dalam memelihara keselamatan negara sebagai salah satu usaha menenangkan gesaan rakyat Singapura.

MHA dalam kenyataan yang sama sebagai menidakkan pertalian sejarah kedua-dua negara telah menegaskan walaupun Singapura dan Malaysia berkongsi asas ISA ketika di bawah jajahan British, dua negara ini berkembang secara berbeza.

MHA menambah, ISA di Singapura dan Malaysia mungkin mempunyai persamaan ketika di bawah jajahan British tetapi kedua-dua negara dan fabrik masyarakat dan politik telah berubah mengikut peredaran masa. Contoh, ISA Singapura hanya membenarkan penahanan tanpa bicara selama 30 hari sedangkan Malaysia memperuntukkan tempoh lebih panjang iaitu 60 hari.

Tetapi ironisnya ISA Singapura mempunyai tahanan antara paling lama di dunia iaitu Chia Thye Poh, bekas wakil rakyat Parti Sosialis yang ditahan selama 23 tahun bermula 1966 hingga 1989, diikuti sembilan tahun tahanan rumah. Hanya Nelson Mandela mempunyai rekod tahanan yang lebih hebat.

Sememangnya pendekatan Najib berkait rapat dengan hasrat melangkah ke hadapan sebagai masyarakat terbuka dan juga niat Malaysia untuk mencapai status negara maju menjelang 2020. Senario politik tempatan juga sedikit sebanyak mempengaruhi keputusan itu. Pilihan Raya Mac 2008 menyerlahkan sikap pengundi yang lebih berani menyuarakan pendapat mereka.

Begitu juga dengan senario politik Singapura berubah dengan begitu mendadak jika diambil kira keputusan pilihan raya umum pada Mei lepas dan pemilihan Presiden baru-baru ini yang mentafsirkan bahawa rakyat Singapura mula berani memilih parti alternatif selain dari parti pemerintah PAP.

Selama mana lagi kerajaan Singapura boleh bertahan dari gesaan rakyat mereka sendiri adalah begitu menarik untuk diperhatikan. Jika faktor memerangi keganasan akibat dari peristiwa serangan September 11 2001 sering digunakan sebagai alasan betapa perlunya ISA, tetapi begitu nyata sekali selepas satu dekad pendekatan sedemikian rupa telah memburukkan lagi keadaan.

Bukan niat Kuala Lumpur meletakkan Singapura dalam keadaan serba salah, tetapi peredaran masa memaksa Malaysia melakarkan perubahan. Amerika Syarikat (AS) juga mempunyai ISA yang diperkenalkan pada 1950 untuk mengekang penularan ideologi komunis telah melalui beberapa perubahan mengikut kehendak semasa.

Akta Perisikan Pengintipan Asing (FISA) diperkenalkan pada 1978 yang mempunyai objektif untuk mengekang aktiviti perisikan yang boleh memudaratkan keselamatan AS. Tiada bezanya ISA Amerika 1950 dan FISA 1978 kerana kedua-duanya adalah undang-undang pencegahan aktiviti yang boleh memudaratkan keselamatan AS.

Undang-undang pencegahan AS boleh dikatakan kerap diubah untuk mengikut kehendak semasa kerana pada 2001 Akta Patriot diperkenalkan diikuti dengan Akta Melindungi Amerika (PAA) diperkenalkan pada 2007 untuk memberi kuasa tambahan kepada FISA sebagai menghadapi ancaman pengganas ekoran dari peristiwa 11 September 2001.

Jika negara maju seperti AS dan jiran terdekat Malaysia boleh mengolah perundangan pencegahan masing-masing, tiada sebab Singapura tidak mampu mengambil pendekatan yang serupa.

KOMEN : ADAKAH PEMERINTAH SINGAPURA BERANI MEMANSUHKAN ISA?

No comments: