Tengah pincang punca kecundang
Mereka berkata, sikap sedemikian tidak sepatutnya berlaku terutama apabila mendahului dua gol.
Ekoran kekalahan tersebut, mereka berpendapat kini hanya keajaiban sahaja yang dapat membantu Harimau Muda untuk layak Sukan Olimpik 2012.
Ini kerana dari segi matematik skuad Ong Kim Swee masih ada peluang tetapi hakikatnya amat sukar kerana perlu memenangi semua baki tiga perlawanan ke atas Jepun, Syria dan Bahrain.
Jurulatih Kuala Lumpur, Razip Ismail berkata, kekalahan kelmarin mungkin disebabkan kekurangan pemain gantian di bahagian tengah.
"Sepatutnya kita perlu mempunyai banyak pilihan pemain gantian pada bahagian tengah kerana bahagian tersebut amat penting.
"Pada babak pertama saya lihat Malaysia bermain dengan baik berbanding babak kedua yang menyaksikan Bahrain lebih agresif untuk mendapatkan kemenangan," katanya ketika dihubungi semalam.
Jurulatih Pahang, Dollah Salleh berkata, kecuaian pada saat akhir membolehkan Bahrain mendapatkan gol kemenangan dalam tempoh lima minit walaupun skuad kebangsaan beraksi dengan baik sepanjang 85 minit perlawanan.
"Kita jangan fikir perlawanan sudah berakhir apabila mendahului dengan 2-0.
"Saya tetap puji aksi yang dipamerkan oleh pemain. Kita kena faham pemain terpaksa hadapi cabaran yang sangat getir selepas penat beraksi pada Sukan SEA," kata Dollah.
Sementara itu, jurulatih Selangor, Irfan Bakti, berpendapat pertukaran pemain akibat kecederaan adalah faktor yang mengganggu rentak permainan.
"Sekiranya 11 pemain utama kekal di atas padang, sudah tentu kita mampu mendapatkan kemenangan semalam (kelmarin)," kata Irfan.
No comments:
Post a Comment