DARI UTUSAN MALAYSIA
21/11/2011
Tiga puluh dua tahun lalu, gol tunggal Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari membantu Malaysia mencatat kemenangan paling masyhur 1-0 ke atas Indonesia untuk membawa pulang kejuaraan di Jakarta.
Biarpun kita kalah 1-0 dalam pertemuan final Sukan SEA terakhir dengan negara itu, juga di Jakarta 1987, namun moral pemain amat tinggi ketika ini selepas menumpaskan tuan rumah 1-0, Khamis lalu.
Namun, kecederaan tiga tonggak, Izzaq Faris Ramlan; sayap kanan, Wan Zaharul Nizam Wan Zakaria dan sayap kiri, Mohd. Fandi Othman sedikit merencatkan persiapan.
Izzaq cedera lutut kiri ketika bertemu Myanmar kelmarin dan terpaksa menggunakan topang.
Penjaring gol kemenangan Malaysia ketika mengalahkan Indonesia, Syahrul Azwari Ibrahim juga belum pasti dapat diturunkan.
Ong Kim Swee kini terpaksa mengatur strategi baru dengan harapan disandar kepada A. Thamil Arasu dan Yong Kuong Yong, selain Mohd. Zubir Azmi.
“Tidak banyak yang boleh saya lakukan kerana masalah ini, saya terpaksa menurunkan pemain yang ada. Mujurlah Thamil dan Yong boleh beraksi di mana-mana posisi depan.
“Thamil dan Yong saya harap dapat mengimbangi kepantasan sayap kiri Indonesia menerusi pemain mereka Octovianus dan sayap kanan mereka, Titus Bonai.
“Kita tidak boleh ambil kira perlawanan dengan Indonesia sebelum ini kerana skuad mereka esok pasti sama sekali berbeza,’’ kata Kim Swee. - Utusan
DARI UTUSAN MALAYSIA
20/11/2011
JAKARTA - Jaringan Ahmad Fakri Saarani pada minit ke-85 membawa skuad Harimau Muda ke perlawanan akhir bola sepak Sukan SEA XXVI buat kali kedua berturut-turut apabila mengalahkan Myanmar 1-0 pada aksi separuh akhir di Stadium Gelora Bung Karno, semalam.
Jaringan berharga yang memastikan Malaysia berada pada landasan untuk mempertahankan pingat emas yang dimenangi di Laos dua tahun lalu bermula dengan hantaran silang Izzaq Faris Ramlan, yang kemudiannya disudahi Ahmad Fakri menerusi rembatan yang menewaskan penjaga gol Myanmar, Thihasthu.
Malaysia akan berdepan kegilaan 100,000 penyokong tuan rumah sekali lagi pada perlawanan akhir esok selepas Indonesia menewaskan Vietnam 2-0 dalam satu lagi aksi separuh akhir hasil jaringan dua Patrich Wanggai dan Titus Bonai.
Pada perlawanan akhir Isnin ini, Malaysia yang sudah kehilangan khidmat Wan Zaharul Nizam Wan Zakaria berkemungkinan terpaksa berjuang tanpa kelibat penyerang tinggi lampai, Izzaq Faris yang terpaksa dikeluarkan pada minit terakhir perlawanan kerana kecederaan lutut.
Walaupun begitu, kem Malaysia mungkin sedikit lega kerana ketua pasukan, Baddrol Bakhtiar yang memperoleh kad kuning pada perlawanan semalam masih boleh diturunkan kerana kad kuning yang dikutip semasa bertemu Indonesia tidak diambil kira kerana melibatkan saingan peringkat kumpulan.
Mengulas kemenangan semalam, jurulatih Ong Kim Swee berkata, pemain tidak beraksi dengan baik pada babak pertama disebabkan keletihan kerana hanya berehat sehari selepas perlawanan separuh akhir menentang Indonesia Khamis lalu, yang menyaksikan Malaysia menang 1-0.
"Namun, kami bangkit pada babak kedua dan meningkatkan asakan sehingga akhirnya dapat menjaringkan gol.
"Jaringan Ahmad Fakri memang amat bermakna, bukan sahaja disebabkan ia menjadi gol kemenangan kami, tetapi saya memang sudah menduga dia mampu meledak gol pada perlawanan hari ini.
"Ini kerana dia sudah lama tidak beraksi di pentas antarabangsa dan dia pastinya mahu membuktikan sesuatu. Saya gembira kerana hari ini dia akhirnya membuktikan dia masih berbisa," kata Kim Swee pada sidang akhbar.
Selain gembira dengan kemenangan Malaysia, isu Kim Swee tidak dibenarkan menggunakan sebarang alat komunikasi untuk memberi arahan kepada pemain menerusi pembantunya, Hassan Sazali turut menghangatkan sidang akhbar semalam.
"Saya tidak dibenar menggunakan sebarang alat komunikasi untuk memberi arahan kepada pemain melalui Hassan.
''Akibatnya, saya terpaksa memberi arahan kepada Hassan dengan cara menulis arahan tersebut di atas kertas. Nota yang saya tulis itu diserahkan melalui tukang urut pasukan, Zaidi Latip kepada Hassan.
"Begitulah cara saya memberi arahan kepada pemain menerusi Hassan di sepanjang perlawanan," katanya.
Rasa marah Kim Swee semakin memuncak apabila selepas perlawanan, dia tidak dibenarkan berjumpa pemain di padang apabila langkahnya disekat oleh pengawal keselamatan bertugas.
"Saya mahukan jawapan mengapa saya diperlakukan sebegini rupa," katanya. - Utusan
KOMEN : TAHNIAH KEPADA PASUKAN HARIMAU MUDA... KEPADA FAM USAH BERDIAM DIRI DENGAN TINDAKAN PENGANJUR YANG MENGENAKAN TINDAKAN PELIK-PELIK DAN TIDAK MASUK AKAL KEPADA JULATIH DAN PASUKAN MALAYSIA... ADAKAH INDONESIA SESUAI DIJADIKAN GELANGGANG PERTANDINGAN BOLASEPAK PERINGKAT ANTARABANGSA BILA MANA NYAWA PEMAIN PASUKAN LAWAN MENJADI TARUHAN... KENAPA PERLU PEMAIN MAYASIA NAIK BARAKUDA? PERSOALANNYA KENAPA KITA YANG MENJADI MANGSA DENGAN KELEMAHAN PASUKAN KESELAMATAN INDONESIA...? BUATLAH SESUATU AGAR FIFA ATAU AFC BOLEH AMBIL TINDAKAN KEATAS INDONESIA????
No comments:
Post a Comment