LUMUT 29 April - Tentera Laut Diraja Malaysia
(TLDM) akan menyaman individu atau parti politik yang terus berdegil
menabur fitnah dalam kempen pilihan raya kononnya kapal selam yang
dibeli kerajaan tidak boleh berfungsi.
Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar juga
mencabar pihak yang masih terus mempertikaikan perkara tersebut supaya
berani membuat tuduhan berkenaan secara bertulis.
Tanpa mahu menamakan individu mahupun parti yang terlibat, Abdul Aziz
berkata, pihaknya telah mendapat maklumat mengenai perkara tersebut dan
sedang mengumpul bukti bagi tindakan selanjutnya.
''Kedua-dua kapal selam kita, KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Abdul
Razak kini beroperasi dengan baik, malah Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim
Guan Eng sendiri sudah belayar dengan kita dan beliau sendiri mengakui
keupayaan kapal selam tersebut dan berbangga dengan keupayaannya.
''Cukuplah, kita sudah terlalu berlembut dengan mereka. Ya, saya akan
saman dan saya harap Peguam Negara bersiap sedia untuk mendakwa mereka
bagi pihak kerajaan," katanya.
Abdul Aziz berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan
majlis perhimpunan warga TLDM di KD Pelandok, Pangkalan TLDM Lumut di
sini hari ini.
Beliau berkata, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengheret pihak
yang secara berterusan membuat fitnah ke mahkamah kerana telah memberi
peluang secukupnya kepada mereka untuk menghentikan perbuatan itu.
''Saya dengar banyak cerita, hanya sekarang saya nak dapatkan bukti
sahaja. Kenapalah nak memburukkan dan bangkitkan perasaan marah kepada
kerajaan dan hina TLDM seolah-olah kita tak boleh mengoperasi kapal
selam itu.
''Sedangkan saya sudah tiga kali belayar dengan kedua-dua kapal selam
tersebut dan semuanya berjalan lancar. Kita juga sudah menyelam pada
kedalaman maksimum dan melakukan tembakan yang menepati sasaran sejauh
55 kilometer dari bawah air. Jadi, mengapa masih kata ia tidak boleh
berfungsi?," soalnya.
Mengenai dakwaan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Parlimen Lumut,
Laksamana (B) Imran Abdul Hamid dihalang berkempen di pangkalan itu,
Abdul Aziz berkata, memang menjadi dasar TLDM tidak membenarkan ceramah
atau kempen politik dalam kawasan berkenaan.
Jelas beliau, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed dibenar
masuk kerana beliau tidak bercakap mengenai politik sebaliknya dijemput
bercakap tentang perpaduan manakala Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi
pula atas kapasitinya sebagai Menteri Pertahanan.
1 comment:
siapa yg sebarkan yea.. ish ish ish. nantikn TLDM buat video tembakan tepat guna kapal selam.
sokong TLDM
Post a Comment