KUALA LUMPUR 9 April - Majlis Fatwa Kebangsaan
digesa supaya bermuzakarah dan mengkaji kenyataan kontroversi Mursyidul
Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kebelakangan ini seperti mendakwa
sembahyang orang UMNO tidak mendapat pahala dan pembinaan masjid oleh
kerajaan hanyalah untuk tujuan mendapat kontrak.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, nasihat,
kajian serta ketetapan majlis itu tentang kelantangan dan keceluparan
Nik Abdul Aziz amat penting bagi mengelakkan umat Islam tempatan terus
dikelirukan dan seterusnya terpesong akidah.
Katanya, beliau yakin jika Majlis Fatwa mengkaji perkara tersebut,
kesemua kenyataan Nik Abdul Aziz yang disifatkan sesetengah pihak
sebagai tokoh agama atau ulama itu akan ditolak sama sekali. Baginya, kenyataan pemimpin tertinggi Pas itu hanyalah bersifat
politik semata-mata tanpa bersandarkan kepada dalil-dalil dalam
al-Quran.
"Ini satu masalah. Kalau bukan Islam yang kata begitu mungkin kita
faham tapi ini ulama dan tokoh. Saya fikir sesuatu perkara yang
dilakukannya lebih politik daripada agama dan sebab itu saya kata Pas
itu parti ajaran sesat, ada kata parti ajaran songsang.
"Islam tidak patut dinodai hanya oleh kerana ada muslihat politik
oleh sesiapa sekalipun. UMNO tidak pernah buat begitu, tidak pernah
keluarkan fatwa," katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Anugerah
Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia 2012 di Gombak, dekat sini hari
ini.
Baru-baru ini, Nik Abdul Aziz mengeluarkan 'fatwa' sembahyang orang
UMNO tidak mendapat pahala dan usaha kerajaan membina masjid bukan
sebahagian daripada ajaran Islam kerana hanya bertujuan mendapatkan
kontrak.
Namun semalam, Nik Abdul Aziz, Pas dan pakatan pembangkang menerima
tamparan hebat apabila deklarasi Persidangan Ulama Pondok, Sekolah Agama
Rakyat dan Tahfiz memutuskan haram bagi umat Islam mengundi Pas serta
Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pilihan raya umum nanti.
Muhyiddin berkata, beliau percaya ketetapan tersebut dibuat setelah
pihak Ulama Pondok menganalisis kepincangan dan penyalahgunaan agama
oleh Pas seperti membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam.
"Mungkin itu asas-asas yang mereka gunakan sehingga mencapai
ketetapan tersebut, saya bukan pakar, itu pandangan mereka," katanya.
Sementara itu, Muhyiddin berasa hairan dengan ketidaktentuan nasib
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan
Ismail sama ada akan dicalonkan atau tidak pada pilihan raya umum kali
ini.
Menurut beliau, percanggahan kenyataan Penasihat PKR, Datuk Seri
Anwar Ibrahim bahawa Wan Azizah tidak akan dicalonkan sementara anaknya,
iaitu Naib Presiden PKR, Nurul Izzah menyatakan sebaliknya telah
menunjukkan mereka tidak selari dalam membuat keputusan.
No comments:
Post a Comment