KOTA KINABALU 9 April - Polis masih mengumpul bukti bagi membolehkan
dalang insiden pencerobohan kumpulan pengganas Kiram di Kampung Tanduo,
Lahad Datu dan Semporna sejak Februari lepas dibawa ke muka pengadilan.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata, siasatan menjurus
kepada penyelesaian kes itu berpandu kepada keterangan mereka yang
ditahan dan dituduh di mahkamah.
"Kami tidak kata orang ini (individu ditahan) terlibat sebagai
perancang atau pembunuh kes menembak mati pasukan keselamatan pada 2
Mac, kami ada keterangan mereka yang ditahan dan dituduh...," katanya
dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, di sini hari
ini.
Beliau bagaimanapun enggan mengesahkan apabila ditanya mengenai
kemungkinan dalang yang disyaki adalah daripada kalangan rakyat
Malaysia.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dipetik dalam
laporan akhbar tempatan hari ini sebagai berkata, pihak ketiga yang
mendalangi tindakan pencerobohan pengganas Kiram di Kampung Tanduo,
Lahad Datu dan beberapa lokasi lain di Sabah telah dikenal pasti, namun
masih memerlukan bukti untuk mengheret mereka ke muka pengadilan.
Mengenai 32 individu yang ditahan di perairan Sabah, kira-kira 12
batu nautika dari Tambisan, Lahad Datu awal pagi semalam, Hamza berkata,
kesemuanya adalah lelaki yang berumur dalam lingkungan 17 hingga 72
tahun.
"Kami tangkap kerana mereka memasuki negara ini tanpa dokumen dan
bersenjata api yang menyalahi undang-undang negara ini," katanya.
Hamza berkata, tiada pertempuran antara pengganas dan pasukan
keselamatan yang menjalankan operasi di semua daerah serta tiada laporan
mengatakan pengganas bersenjata memasuki negeri ini.
Sementara itu, beliau berkata, pasukan keselamatan masih mengesan
tiga lagi mayat anggota penganas Kiram yang ditembak mati pada
pertempuran 1 Mac lepas. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment