Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Wednesday 17 April 2013

Najib yakin muka baharu mampu rampas Selangor






SHAH ALAM 16 April - Barisan Nasional (BN) Selangor membariskan 80 peratus calon muka baharu yang diyakini mampu merampas semula negeri ini daripada pakatan pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), 5 Mei ini.

Ketika menyampaikan amanat dalam majlis pengumuman calon parti itu di sini pagi ini, Datuk Seri Najib Tun Razak merangkap Pengerusi BN negeri berkata, calon BN negeri ini terdiri daripada profesional seperti peguam, doktor, akauntan, ahli perniagaan dan jurutera.

Beliau menyifatkan barisan calon tersebut merupakan satu keputusan yang dibuat selaras dengan harapan serta jangkaan rakyat Selangor kepada BN.

"Senarai calon BN negeri yang dikemukakan kali ini (untuk PRU-13) merupakan satu perubahan yang amat besar dalam landskap politik Selangor. "Maka sudah tentu penilaian calon kita ini mesti daripada mereka yang berkelulusan dan berwibawa selaras dengan negeri Selangor yang taraf pembangunannya adalah tinggi.

"BN sebagai sebuah parti yang tunduk kepada kuasa dan kehendak rakyat, maka kita perlu ambil keputusan yang mencerminkan keyakinan rakyat terhadap parti kita," katanya.

Pada masa sama, Najib turut menggelarkan bahawa senarai calon BN negeri ini sebagai senarai transformasi yang bukan hanya terbaik dan mampu memenuhi kehendak rakyat semata-mata, malah berupaya menjangkau lebih dari itu untuk masa depan Selangor.

Jangkaan itu, jelasnya, tidak hanya mengembalikan pentadbiran Selangor di bawah BN semata-mata tetapi untuk memastikan parti itu menubuhkan sebuah kerajaan negeri yang kuat di negeri ini.

"Setelah lima tahun apa yang diharapkan oleh rakyat Selangor telah berkesudahan dengan kekecewaan. Janji kerajaan Selangor yang sedia ada (di bawah pakatan pembangkang) tinggal sebagai janji.

"Oleh itu, bagi pihak BN Selangor, segala aku janji yang kita buat, kita akan tunaikan. Kita akan memastikan aku janji itu dilaksanakan sebaik-baik mungkin," jelasnya lagi.

Najib turut menyatakan komposisi kerusi BN di negeri ini iaitu UMNO akan bertanding sebanyak sembilan kerusi Parlimen dan 35 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala MCA di tujuh kerusi Parlimen dan 14 kerusi DUN.

Selain itu, katanya, MIC juga akan bertanding di empat kerusi Parlimen dan tiga kerusi DUN, Gerakan (satu kerusi Parlimen, tiga kerusi DUN) manakala Parti Progresif Penduduk (PPP) akan bertanding satu kerusi DUN.

Malah, Najib turut menyatakan senarai calon BN Selangor pada PRU-13 ini akan turut ditandingi calon daripada rakan BN di kawasan Parlimen Shah Alam yang diwakili seorang peguam, Datuk Zulkifli Noordin.

"Oleh itu saya harap calon kita berjaya menzahirkan bahawa mereka akan mendapatkan kepercayaan rakyat terhadap BN. Saya yakin inilah calon-calon yang akan berjaya tebus kekalahan kita dan kembalikan BN sebagai pemerintah di Selangor," ujar Najib.

Sementara itu, Najib akan bertindak mengawasi perjalanan kerajaan Barisan Nasional (BN) di Selangor sekiranya parti itu berjaya mendapat mandat daripada rakyat untuk kembali mentadbir negeri ini selepas PRU-13.

Pengerusi BN itu berkata, beliau juga akan terus memberikan bantuan bagi melaksanakan perubahan dan pembangunan lebih pesat dalam memastikan apa yang dituntut rakyat Selangor dapat ditunaikan.

"Sekiranya ada kelemahan sebelum ini, kita akan perbetulkan kelemahan itu dengan sebaik-baiknya," katanya.

Najib yang juga Pengarah Pilihan Raya BN Selangor berkata, BN akan melancarkan manifesto khas di peringkat negeri melibatkan aku janji yang akan dilaksanakan sekiranya berjaya mentadbir negeri ini kelak.

Pelancaran aku janji itu akan diadakan pada pukul 8.30 malam esok di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini.

Dalam masa sama, Najib mengharapkan senarai calon yang dikemukakan mendapat sokongan semua pihak meskipun mengakui tidak mampu memenuhi kehendak semua pihak berhubung perkara tersebut.

"Apa yang penting adalah sokongan kepada BN, sebab kalau parti menang dan berjaya sudah pasti ada harapan untuk kita terus membela rakyat," katanya.

Najib turut merakamkan terima kasih kepada rakyat kerana sokongan mereka terhadap BN yang kini semakin meningkat sekali gus memberi peluang kepada parti itu untuk memenangi pilihan raya umum akan datang dengan selesa.


No comments: