Oleh Hassan Mohd. Noor
DEBARAN siapa yang bakal menjadi calon Barisan Nasional (BN) dijangka
terjawab hari ini atau selewat-lewatnya esok. Berapa ramaikah bekas
Yang Berhormat akan dikekal atau digugurkan? Siapa pula muka baru? Kita
juga akan tahu sama ada nama-nama yang meniti di bibir orang politik di
seluruh negara yang kononnya akan dicalonkan hanya sekadar spekulasi
atau kenyataan. Bagi yang dipilih semula, selamat berjuang. Kepada yang
menaruh harapan tetapi tidak terpilih diharapkan dapat sama-sama turun
padang membantu calon pilihan pucuk pimpinan. Bersabar, jangan merajuk
dan kecewa. Ingat kata-kata Perdana Menteri, Najib Tun Razak, kalau
kecewa pun, cukuplah sehari, kemudian kembali ke gelanggang. Seperti
diselak minggu lalu, ingatlah juga ikrar setia di Dewan Merdeka semasa
Perhimpunan Agung UMNO lalu. Utamakan kemenangan parti.
Berikutan banyak nama yang sudah disahkan oleh parti politik terutama
pakatan pembangkang, maka kempen tidak rasmi juga semakin panas. Gambar
calon serta pelbagai poster dan bendera sudah dinaikkan. Menjelang hari
penamaan calon hujung minggu ini, kempen semakin rancak. Sebenarnya
kempen menghadapi pilihan raya umum (PRU) ini sudah bermula sejak
kira-kira empat tahun lalu.
Sebaik sahaja PRU 2008 selesai, kempen untuk
berkuasa sudah bermula. Lihat sahajalah bagaimana pakatan DAP-Pas-PKR
mencanangkan mereka akan menubuhkan kerajaan pada 16 September 2008.
Begitu ghairah mereka berkempen untuk berkuasa tanpa menunggu PRU-13.
Begitu juga sebagai persiapan untuk melantik pemimpin mereka sebagai
Perdana Menteri, maka satu pilihan raya kecil (PRK) sengaja diadakan di
kawasan Parlimen Permatang Pauh pada 26 Ogos 2008.
Penyandang kerusi
itu, Dr. Wan Azizah Wan Ismail mengosongkan kerusi itu selepas kira-kira
lima bulan diberi mandat baru pada PRU-12. Tindakannya semata-mata mahu
memberi laluan kepada suaminya, Anwar Ibrahim bertanding di situ.
Semuanya ini sebagai persediaan untuk Anwar ke Putrajaya. Sejak itu
bermulalah kempen tidak rasmi pilihan raya dengan matlamat pakatan
pembangkang mahu menguasai Putrajaya.
Bagi rakyat biasa (bukan orang politik) sudah tentu tempoh kempen PRU
selama 15 hari terlalu lama, lebih-lebih lagi masa antara pembubaran (3
April) sehingga hari pembuangan undi menjangkau tempoh sebulan. Apa
pun, itu hak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) walaupun ada parti politik
yang tidak puas hati dengan tempoh itu. Ya lah, mereka ini ahli politik
yang kerjanya hanya berpolitik sedangkan banyak pihak yang sudah bosan
dengan kecelaruan dalam kempen politik ini. Kebanyakan orang lega jika
ceramah atau sebarang bentuk kempen politik dikurangkan. Mereka sudah
muak dengan ceramah berbentuk fitnah, caci maki dan macam-macam lagi
yang menyakitkan hati dan telinga yang mendengarnya.
Apakah yang akan berlaku dalam tempoh sekarang sehingga hari
pembuangan undi? Apa yang pasti, sebaik sahaja nama calon diumumkan,
maka kilang poster akan beroperasi 24 jam tanpa henti. Mereka bertungkus
lumus mencetak bendera, poster calon, risalah, manifesto dan
macam-macam lagi sebagai bahan kempen.
Pada masa yang sama kilang fitnah juga sibuk mereka bentuk
mencetak pelbagai propaganda untuk dijadikan kempen pada PRU ini.
Kilang fitnah ini akan beroperasi 24 jam menjaja pelbagai perkara yang
matlamatnya hanya mahu mencari keuntungan politik. Fitnah yang direka
untuk memburukkan orang lain memang sedap didengar lebih-lebih lagi bagi
yang tidak berminat untuk berfikir mengenai kesahihannya.
Seorang pemimpin pembangkang baru-baru ini berkata, rakyat sudah muak
dengan politik caci maki, fitnah dan mengaibkan orang lain ini.
Baguslah jika sudah ada kesedaran itu. Tetapi sejak dulu, siapakah yang
menjadi juara ceramah maki hamun ini? Adakah mereka yang melontarkan
kata-kata itu tidak akan melakukan fitnah lagi? Kata orang cakap tidak
serupa bikin. Kini parti yang dulunya hanya bertahan tidak sanggup
mengikut rentak yang dibawa pihak lawan sudah mula mengikut jejak itu.
Sesiapa pun jika diasak bertubi-tubi tidak mampu bertahan dan akan
membalasnya.
Dalam hal ini kelebihan berpihak kepada pembangkang kerana apa juga
musibah atau fitnah yang melanda mereka akan dikaitkan dengan UMNO
atau BN. Puak pembangkang biasanya akan cuci tangan menuding jari ke
arah orang lain. Inilah kelebihan di pihak pembangkang. Mereka boleh
caci maki, mengeluarkan pelbagai fatwa yang mengelirukan serta
memfitnah dan mengaibkan orang lain tetapi tidak sanggup menerima
serangan balas pihak lawan. Apabila pihak lain membongkar kelemahan
mereka, maka jawapan yang paling pantas diberi ialah semuanya angkara
permainan politik UMNO/BN. Ini termasuklah penyebaran video seks yang
mirip kepada seorang pemimpin pembangkang. Ekoran tersebarnya video itu,
pelbagai bahan lain yang menunjukkan kreativiti berpolitik rakyat
Malaysia muncul. Setiap hari ada sahaja sesuatu yang baharu muncul.
Adakah semua ini kerja orang UMNO atau BN?
Dalam laporan berkaitan bendera Pas berwarna hitam di Kedah, ada
pihak yang mengatakan itu kerja puak UMNO/BN sedangkan kemunculan
bendera itu disebabkan dua faktor. Pertama dilihat sebagai protes
terhadap Menteri Besar, Azizan Razak dan kedua peringatan kepada
penyokong Pas supaya tidak buta warna semasa mengundi. Simbol parti di
kertas undi adalah hitam putih, tidak ada hijau dan putih.
Baru-baru ini, Pengasas Pondok Geting di Kelantan Abdullah Saamah
juga menjadi mangsa politik kilang fitnah ini. Disebabkan
kelantangannya mengkritik Pas, pondok yang sedang dibina disita. Kenapa
sekarang baru disita? Soalan ini samalah dengan persoalan kenapa
sekarang baru muncul video aksi seks itu? Seperkara lagi, terdapat
kilang fitnah yang mencetak poster Abdullah Saamah sebagai calon BN
N1 Pengkalan Kubur pada PRU nanti sedangkan hari penamaan calon belum
tiba.
Seorang sahabat di Kelantan pula memberitahu, Pas juga menganjurkan
satu ceramah dengan tajuk Pendedahan siapa pencemarah ulamak UMNO.
Apakah tujuan mengadakan ceramah seperti ini? Adakah mereka mahu
berhujah atau mendedahkan peri laku manusia? Dalam suasana kempen PRU
ini juga, adakah wajar syurga, neraka, pahala, dosa, halal dan haram
dikaitkan dengan undi parti politik? Ada juga pihak yang memanipulasikan
ucapan atau kenyataan termasuk titah Pemangku Raja Perak, Raja Dr.
Nazrin Shah dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Musa Hitam. Jika sebelum
ini, orang yang meninggal dunia juga sanggup dipolitikkan, maka apa
lagi orang yang masih hidup.
Semoga, kita sebagai orang Melayu yang beragama Islam tidak
terperangkap dengan peranan kilang fitnah seumpama ini. Jangan
menjadikan kempen PRU sebagai pesta mencipta dosa. Maka selidikilah
dahulu fitnah itu. Jangan cepat kita menghukum itu betul atau
menafikannya bulat-bulat. Patuhilah adab berpolitik, hentikan serangan
terhadap peribadi calon.
No comments:
Post a Comment