KUALA LUMPUR 6 April - Barisan Nasional (BN) meneruskan tradisi
membela rakyat dan memacu pembangunan negara menerusi manifesto sempena
Pilihan Raya Umum Ke-13 yang dibentangkan Pengerusinya, Datuk Seri Najib
Tun Razak di Stadium Putra Bukit Jalil, di sini malam ini.
Tajuk 'Menepati Janji Membawa Harapan', manifesto yang pertama kali
dibentangkan Najib sebagai Perdana Menteri itu mencakupi seluruh elemen
yang diperlukan ke arah memacu Malaysia sebagai sebuah negara sejahtera
dan berpendapatan tinggi.
Dirangka penuh bertanggungjawab serta dengan janji dan kewibawaan
mampu direalisasikan, manifesto BN itu ternyata jauh lebih baik
berbanding manifesto pembangkang yang disifatkan beliau manifesto
fantasi dan khayalan.
Malah, manifesto BN itu juga dilancarkan dengan semangat perpaduan
dan keutuhan menebal antara parti-parti komponen BN yang memayungi
rakyat pelbagai kaum di negara ini serta etnik-etnik bumiputera di Sabah
dan Sarawak.
Tidak mahu dikaitkan dengan tindakan pembangkang memberi persepsi
buruk kepada manifesto kerana sebelum ini menyifatkannya bukan janji,
Najib mengikat apa yang dibentangkan itu sebagai aku janji yang pasti
ditepati.
Di hadapan kira-kira 50,000 hadirin yang memenuhi stadium serta yang
menyaksikan menerusi skrin besar di luar dewan, Najib ketika
membentangkan aku janji itu berkata, dokumen yang mengandungi 17 perkara
utama itu merupakan serius kerajaan kerana dibentangkan secara langsung
kepada rakyat dan bukannya dibuat hanya dalam sidang akhbar.
Kata beliau, dokumen itu juga dirangka secara terperinci, sistematik
kreatif dan inovatif atas falsafah Janji Ditepati yang sudah menjadi
jenama BN selama ini atas kesedaran rakyat meletakkan harapan penuh
kepada sebuah parti yang mampu membela nasib mereka.
"Saya memberi jaminan, jika rakyat memberi mandat baru kepada BN,
kita akan laksanakan janji-janji kita kepada rakyat," katanya sambil
disambut tepukan dan sorakan gemuruh hadirin serta mendapat sokongan
padu barisan kepimpinan tertinggi parti komponen BN yang berdiri di
belakangnya.
Yang turut hadir, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Dalam masa sama, Najib turut mengingatkan aku janji itu merupakan
manifestasi kesedaran tinggi barisan kepimpinan parti itu bahawa BN
merupakan parti yang mahu berkhidmat kepada rakyat dan rakyat merupakan
ketua sebenar kepada BN.
Atas kesedaran itu juga, kata beliau, Malaysia dalam tempoh empat
tahun lalu berjaya mencapai kemajuan dan kejayaan membanggakan termasuk
berjaya mengelak krisis ekonomi yang gagal ditangani negara-negara maju
termasuk Amerika Syarikat (AS) dan negara Eropah.
Malah, beliau turut memberi contoh bagaimana Malaysia dalam tempoh
empat tahun lalu berjaya menghapuskan kemiskinan tegar, mengurangkan
kadar pengangguran, mengekang kadar inflasi dan melonjakkan kadar
pendapatan rakyat.
Sebagai perbandingan, kata Perdana Menteri, rakyat boleh menilai
kemampuan pembangkang di negeri-negeri yang dikuasai mereka yang
menyaksikan tidak hanya janji manifesto lalu tidak ditepati tetapi
mengabaikan kebajikan rakyat di sebalik kuasa yang dipegang mereka.
Di Selangor, misalnya, ujar Najib, kerajaan Parti Keadilan Rakyat
(PKR) sehingga kini berdepan tindakan saman daripada rakyat yang
menuntut hak-hak mereka selain krisis bekalan air yang disifatkan beliau
tidak sepatutnya berlaku di sebuah negara maju.
Di Pulau Pinang pula, kata beliau, kerajaan negeri lebih ghairah
mengejar projek berbilion-bilion ringgit dalam pelaksanaan terowong
bawah tanah berbanding menyediakan rumah mampu milik yang lebih
diperlukan rakyat.
"Kelantan yang kononnya negeri Serambi Mekah, tetapi untuk ambil air
wuduk pun airnya tidak bersih, di Kedah pun begitu juga, pentadbirannya
sekarang kucar-kacir dan bermasalah besar," tambahnya.
Disebabkan itu, tegas Najib, pilihan raya umum bukan sahaja akan
menentukan siapa atau parti mana yang akan memimpin negara sebaliknya
bakal menentukan destinasi dan hala tuju negara.
Jelas beliau, pilihan raya itu juga sangat mustahak kepada BN untuk
mencapai kemenangan dengan meyakinkan bagi memastikan dasar transformasi
negara ke arah menjayakan Wawasan 2020 yang diilhamkan Dr. Mahathir
menjadi kenyataan.
Di akhir ucapannya, Najib mengajak rakyat meyakini kemampuannya yang
bertatih dari bawah dan dengan pengalaman kira-kira 37 tahun dalam dunia
politik dan kepimpinan negara untuk meneruskan kecemerlangan
pentadbiran yang dimulakan kerajaan BN sejak mengecapi nikmat
kemerdekaan. Atas dasar itu juga, tegas Najib, beliau melihat pilihan raya umum
akan datang dalam inti pati keboleh percayaan dalam kalangan rakyat untuk
memilih pemimpin yang dirasakan mampu memimpin negara iaitu sama ada
memilih Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Pas, Datuk
Seri Abdul Hadi Awang atau beliau sendiri.
"Namun, saya dengan perasaan penuh rendah diri, jika inti pati
kebolehpercayaan rakyat itu kepada saya, maka sokonglah dan undilah BN.
"Saya tidak boleh melakukan perkara ini berseorangan, saya perlukan
pasukan saya dan pasukan inilah yang perlu kita berikan sokongan padu,"
katanya.
Mengakhiri ucapannya, Najib mengingatkan rakyat satu undi yang
diberikan kepada pembangkang merupakan satu undi kepada masa depan yang
tidak menentu, gelap, penuh kepalsuan dan undi kepada manifesto yang
bersifat khayalan serta fantasi.
Sebaliknya, tegas beliau, satu undi kepada BN bererti satu undi
kepada kemakmuran dan kestabilan ekonomi negara, satu undi yang membawa
harapan sebenar rakyat dan penyatuan bangsa Malaysia.
No comments:
Post a Comment