Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Tuesday 30 April 2013

Analisis PRU-13: Hakikat yang sukar ditelan penyokong tegar Anwar






BUKAN mudah untuk menelan hakikat bahawa pemimpin yang kita sanjungi selama ini rupa-rupanya tidak seperti kita bayangkan. Kita akan mencari apa juga alasan untuk tidak mempercayainya walaupun kebenaran terserlah di depan mata.

Hanya mereka yang benar-benar mahu mencari kebenaran akan dapat membebaskan diri daripada belenggu ketaksuban yang tidak mempunyai batasan dapat mencari jalan keluar.

Ketika saya menghadiri satu Forum Nasional bertajuk: “Apa kata mereka" baru-baru ini, nama-nama besar yang pernah menjadi tonggak perjuangan di dalam PKR dan memperjuangkan hak pemimpinnya Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kononnya telah dianiaya oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengakui memang sukar untuk menerima hakikat pemimpin yang mereka sanjung itu mempunyai terlalu banyak sisi gelapnya.

Bayangkan jika nama seperti Prof Dr. Datuk Sidek Baba, Dr. Chandra Muzaffar, Datuk Mohd Nakhaie Ahmad dan Dr. Yusri Mohamad juga mengambil masa untuk menyedarinya, tentulah sukar untuk kebanyakan kita yang mempunyai pemikiran tahap orang biasa untuk memahami dan menerimanya.

Yusri, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang keenam contohnya sama seperti saya satu ketika dahulu dan orang-orang muda yang mempunyai kesedaran Islam pasti mengangkat Anwar sebagai pemimpin mereka.

Siapa lagi pemimpin yang mempunyai karisma ketika berpidato, mempunyai imej islamik dan berkebolehan menjadi imam, bahkan membaca khutbah Jumaat, tentulah Anwar. Saya cepat sedar bila sering membuat liputan program Anwar ketika dia menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Dia sebenarnya hanya mengulangi skrip lama yang dipersembahkan dengan gaya mempersonakan pada setiap penampilan sehingga ia kelihatan cukup segar dan menyakinkan.

Bagi Yusri walaupun beliau merupakan seorang pensyarah di dalam bidang syariah, hatinya menjadi buta sehingga menafikan hak mangsa-mangsa yang membuat aduan tentang perlakuan songsang pemimpin pembangkang itu.

Khazaf iaitu perlu mengemukakan empat saksi bagi setiap tuduhan menjadi benteng ampuh untuk Yusri menangkis setiap tuduhan yang dibuat dan ia dianggap sebagai tohmahan semata-mata demi mahu menghalang Anwar menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

Namun akhirnya mata hati Yusri terbuka apabila dia tergerak hati untuk meneliti tuduhan yang dibuat. Ketika itulah dia sedar bahawa hukum Khazaf tidak terpakai jika mangsa sendiri yang membuat dakwaan dan bukan orang ketiga.

Bagaimana mangsa rogol atau liwat dapat mencari empat orang saksi. Ketika itu dia sedar kezaliman telah berlaku apabila pihak yang teraniaya telah dinafikan hak mereka.

Datuk Mohd Nakhaie Ahmad sewaktu Anwar disingkirkan beliau sangat bersimpati dengan pemimpin yang mengarahkannya menyertai Pas itu.

"Saya pergi sembahyang hajat, sampai dia kena tangkap saya yang baca doa. Nasiblah saya baca doa yang betul iaitu berbunyi: "Ya Allah kau tunjuklah apa yang benar itu benar, yang salah itu salah." Akhirnya Allah telah tunjukkan kebenarannya di depan mata.

Walaupun sembahyang hajat diadakan di seluruh negara meminta supaya Dr. Mahathir ditimpa bencana tetapi sehingga hari ini Allah mengurniakan kesihatan yang baik kepada Dr. Mahathir dan beliau masih segar bugar, berbanding Anwar yang ditimpa pelbagai masalah.

Rakan karib Anwar Dr. Sidek Baba hanya meninggalkan Anwar selepas beliau membuat kajian dan menemubual 30 orang yang rapat dengan Anwar dan mereka menuduh salah laku pemimpin pembangkang itu.

Akhirnya beliau membuat kesimpulan tiga asas kenapa dia meninggalkan rakan karibnya itu iaitu - Intergriti, hubungannya dengan orang luar dan akidah Anwar mengenai agama Islam yang mahu memenangi hati semua orang sehingga menyamaratakan agama Islam dengan agama lain.

Dr. Chandra Muzaffar pula yang terlibat aktif dalam membentuk manifesto Keadilan suatu ketika ketika Keadilan ditubuhkan pada tahun 1999. Beliau terlibat dalam 'Gerakan Adil', selaku Timbalan Pengerusi Adil dan Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Pengerusi.

Seperti Wan azizah beliau tidak berminat dengan politik kepartian. Gerakan Adil bukan gerakan politik, sebaliknya beliau akan menyerahkan kepada orang politik setelah dimaklumkan lebih awal bahawa terdapat 20 orang pemimpin UMNO yang akan berundur dan menerajui gerakan itu. Beliau akhirnya terpaksa memikul beban memimpin gerakan itu kerana tiada seorang pun pemimpin UMNO yang berundur.

Chandra turut menceritakan bagaimana khabar angin disebarkan kononnya Anwar telah disuntik dengan virus HIV AIDS ketika di dalam tahanan. Sedangkan perkara itu tidak logik bagi musuh politik Anwar untuk berbuat sedemikian memandangkan kesan penularan penyakit itu hanya dapat dilihat selepas lebih 10 tahun. Begitu juga kononnya Anwar diracun dengan arsenik. Sedangkan hasil laporan perubatan yang diperolehi kadar arsenik di dalam badan Anwar meningkat kerana dia mengambil suntikan kosmetik dan Wan Azizah selaku doktor perubatan memang memahami perkara itu. Paling mengejutkan apabila Chandra mendedahkan mengapa pihak luar yang didalangi Amerika Syarikat mahu menjadikan Anwar sebagai Perdana Menteri.

Ketika Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri beliau memang terkenal seorang yang keras terhadap Amerika Syarikat. Namun setelah Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri beliau mengambil pendekatan menjadi sahabat dengan negara kuasa dunia itu.

Pendekatan itu juga masih tidak memuaskan hati negara berkenaan, kerana mereka mahukan seorang rakan sekutu di rantau ini bagi mengimbangi kuasa dan pengaruh China yang semakin meningkat.

Hanya Anwar selaku pemimpin di negara Islam dirantau ini yang patuh dengan telunjuk negara Barat itu dan sanggup mengiktiraf hak Israel dengan menyatakan negara berkenaan berhak mempertahankan keselamatan rakyatnya dengan menyerang Palestin.

Amerika Syarikat pula memerlukan rakan sekutu untuk memastikan laluan strategik Selat Melaka di bawah kawalannya. Ini adalah kerana selat itu sangat penting memandangkan sebahagian besar minyak yang digunakan oleh negara China diangkut melalui Selat Melaka.

Jika diselak kembali lipatan sejarah kita dapati Laksama Cheng Ho dihantar ke Melaka semata-mata untuk memastikan Selat Melaka tidak jatuh ke tangan penjajah Barat ketika itu. Sejak dahulu kala selat berkenaan terus menjadi rebutan sehingga ke hari ini.

Memang ramai orang mudah tertipu dan sehingga hari ini belum sedar mereka sedang ditipu. Namun bukalah hati untuk mendengar orang yang bijak pandai berbicara dan cuba dengar butir tuturnya supaya kita tidak mengambil masa begitu lama untuk sedar kerana dikhuatiri nanti sudah terlambat apabila tanah air ini telah tergadai. - UTUSAN ONLINE


No comments: