Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Thursday 25 April 2013

Rakyat Selangor sudah 'buka mata'


Oleh ZULKIFLI JALIL


GAYA kerja wakil-wakil rakyat pembangkang daripada PKR, DAP dan Pas dalam empat lima tahun ini serupa sahaja. Sebilangannya suka sangat hendak dengar atau bertanyakan masalah rakyat. Cuma, kalau nak selesaikan, banyak pula alasan dan kerenahnya.

Di Seksyen 18, Shah Alam, Yaakob Sapari, calon PKR kerusi DUN Kota Anggerik agak dikenali 'mesra' pengundi. Kalau boleh, semua orang hendak disapanya. Jika ke kedai makan berdekatan sebuah masjid, habis dibelanjanya pelanggan yang bersarapan pagi di situ.

Namun masyarakat Shah Alam maklum Yaakob agak liat untuk bertindak sebagai penyelesai masalah. Tempoh hari dalam satu perjumpaan dengan penternak lembu, mereka bertanyakan tentang masalah kawasan untuk penternakan. Yaakob terpinga-pinga ketika ditanyakan penyelesaiannya termasuk selepas itu 'lari' juga apabila diajukan isu perparitan di Seksyen 16.

"Kita tak ada peruntukan (untuk penempatan ladang ternak baru)," kata Yaakob, merujuk soalan penternak itu, seperti mana dipetik oleh rakan penulis.

Di Batu Tiga semasa bulan puasa tahun lepas, kroni ADUN pembangkang di situ sanggup kunci dewan (balai raya) sehinggakan penduduk sekitar nak masak bubur lambuk pun susah. Gelanggang badminton berdekatan pun hanya boleh digunakan pada sebelah siang sahaja kerana malam lampunya gelap. Alasannya, biar TNB potong bekalan, kami tak akan lunas bayaran elektrik yang tertunggak kerana hutang yang tak terbayar itu berlaku semasa era BN.

Kini, dalam beberapa hari ini tempo politik di Selangor termasuk Shah Alam berubah 360 darjah. Pakatan pembangkang di Selangor misalnya sanggup merayu dan 'melutut' kepada rakyat supaya mandat dikembalikan semula.

'Pakatan harapan rakyat', kata wakil-wakil mereka yang bertanding di kerusi Parlimen dan dua DUN. Tapi sejauh mana rakyat Selangor mudah melupakan kata-kata dan janji manis wakil pembangkang ini?

Di pekan Ijok, Kuala Selangor kelmarin kempen PKR agak hambar. Di kawasan perumahan dekat situ, calon kerusi DUN BN, K.R Parthiban yang belum pun melepasi rumah yang jaraknya dalam 50 meter dari dia berdiri, tiga keluarga Cina sudah siap terpacul di depan pagar menunggu kedatangannya.

Seolah-olah macam hero filem Tamil pula gaya Parthiban dinanti si gadis. Rakan Parthiban, muka baharu untuk kerusi Parlimennya, Kuala Selangor, Datuk Irmohizam Ibrahim, 37, pula kerap dilihat berlari-lari anak di tapak pasar malam perumahan itu, sambil memperkenalkan dirinya dan beramah mesra.

Beliau yang diiringi isteri Sushulayanti Sumadi nampak begitu bersungguh-sungguh dan serius. 

Begitu bekerja keras beliau untuk memastikan bukan sahaja dirinya dikenali tetapi yang utama katanya, kerja keras yang dilakukan Kerajaan Pusat dalam empat tahun ini, benar-benar tersemat dan dijiwai oleh pengundi.

"Saya kena jumpa lebih ramai pengundi, jadual memang padat tapi inilah tanggungjawab besarnya apabila kita jadi calon BN," katanya.

Beberapa meter dari tempat Irmohizam berkempen, kelihatan saingan Partiban dari PKR, Dr. Idris Ahmad yang sekadar memerhati di hujung tapak pasar malam sambil mengedarkan manifesto PKR. Apa yang pelik, jentera PKR yang dibawa Idris bukan dari kawasan situ sebaliknya datang dari Cabang PKR Segambut. Ini berdasarkan tulisan yang tertera pada baju mereka.

Di DUN Bukit Malawati pula, lain ceritanya. Cara calon BN di situ, Jakiran Jacomah, 61, berceramah siap dengan aksi gaya tangannya menunjuk ke arah sana sini. Nada yang diluahkannya pun begitu bertenaga. Tapi ini tidak menghairankan kerana beliau adalah salah seorang anggota jawatankuasa pengadil bola sepak di Parlimen Kuala Selangor.

"Saya dah 40 tahun berjuang dalam UMNO, dari era Tan Sri Abu Hassan Omar (bekas MB Selangor) hinggalah saya dipilih menggalas cabaran BN dalam PRU-13.

"Maaf, terbawa-bawa persis pengadil, tapi saya fikir ini positif untuk pengundi, yang menampakkan saya ini memang nak tolong selesaikan masalah mereka," katanya kepada Utusan Malaysia.

Menjengah kerusi DUN Sijangkang, salah seorang dari dua calon Pemuda UMNO yang terpilih bertanding di Selangor, Zurihan Yusop, 42, menyifatkan persaingannya merebut kerusi itu sebagai sengit. Bekas guru Sekolah Rendah Sijangkang Jaya itu sudah lama mengenali lawannya, Dr. Ahmad Yunus Khairi daripada Pas.

"Isterinya adalah kawan saya sejak kecil yang juga guru sama mengajar dengan isteri saya di sekolah yang sama. Adik kepada Dr. Ahmad Yunus pula adalah rakan sekelas saya semasa sekolah menengah dulu. Tadi pun semasa menziarahi jenazah seorang jemaah di sini, saya bersua dengan kaum keluarganya.

"Di sini ramai cikgu pencen, di rumah orang meninggal tadi pun ada 30 guru pencen menziarahi jenazah. Tidak ada yang cakap (pada saya)...tak payahlah cikgu (Zurihan) nak bertanding.

"Suasana sudah berubah. Di sini saya akan cuba memperjuangkan golongan pekerja industri dan nasib nelayan pesisir," katanya sambil diiringi isterinya, Norhayati Ariffin yang mengambil cuti tanpa gaji selama dua minggu membantunya berkempen.

Sama ada rakyat Selangor sudah 'buka mata' pada kecacatan pakatan pembangkang semasa memerintah negeri itu - terserah pada kebijaksanaan dan penilaian kendiri.

Kalau diambil kira manifesto BN Selangor yang dilancarkan tempoh hari, dokumen bertulis itu dipercayai turut disertakan dengan data-data kos pelaksanaannya sekali.

Kalau waktu era kerajaan PKR, bukan setakat janji-janji manifesto tidak tertunai, lebih teruk lagi datang pula janji 'air liur' yang hendak ditunaikan sempena PRU ini.


No comments: