MULAI pukul 9 malam tadi, berjuta-juta pengundi di Malaysia mula
berpeluang untuk membaca manifesto Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13)
Barisan Nasional (BN).
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan manifesto BN
itu di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur dalam satu perhimpunan
politik yang disemarakkan dengan lagu patriotik Inilah Barisan Kita dan
lagu Anak Kampung yang telah diubah suai untuk menggambarkan semangat
manifesto tersebut.
Membuka halaman manifesto itu memberikan kita gambaran mengagumkan
tentang Najib dan BN: Najib menyedari betapa beratnya tugas untuk
memimpin negara dan gabungan BN yang diterajuinya sentiasa berusaha
memberikan yang terbaik untuk rakyat Malaysia.
Membaca manifesto itu membolehkan kita menginsafi betapa banyaknya
kejayaan yang telah kita ukir selama di bawah pemerintahan BN: Ia
memperlihatkan begitu kompleksnya perjuangan untuk menjadikan Malaysia
sebuah negara yang hebat, dengan pendekatan keterangkuman menyatukan
semua rakyat daripada pelbagai kaum, agama, budaya, negeri dan wilayah.
Meneliti manifesto itu mendedahkan kita kepada suatu persepsi yang
begitu penting kepada kemanusiaan dan politik: Najib dan BN mempunyai
rekod menepati janji yang tidak dapat disangkal, amat komprehensif,
bersifat nasional dan mendahului zaman dari segi cara pemikirannya, adil
dalam pelaksanaan dasar-dasar serta realistik dalam berjanji.
Najib selaku Pengerusi BN tidak menjanjikan sesuatu yang tidak dapat
ditepati. Tidak seperti mainan kata pemimpin parti pembangkang, Perdana
Menteri dan BN tidak berjanji untuk memperdayakan pengundi.
Berbeza dengan para pemimpin pembangkang yang berpolitik untuk
merobohkan apa yang telah dibina, kuasa yang ada, kepada Najib dan BN,
adalah kesinambungan. Beliau tidak menjanjikan apa sahaja yang ada di
langit dan di bumi semata-mata untuk mendapatkan kuasa.
Kandungan manifesto Menepati Janji Membawa Harapan setebal 32 muka
surat itu adalah refleksi pegangan politik Najib dan corak perjuangan BN
di bawah kepimpinannya. Melalui manifesto itu, kita dapat merasakan
bahawa Najib ialah seorang yang dapat diyakini dan kepadanya dapat kita
letakkan harapan untuk menentukan untung nasib anak cucu di tanah air
yang tercinta ini.
Manifesto itu dimulakan dengan warkah Najib sebagai Perdana Menteri
kepada para pengundi yang mencerminkan keperibadian dan latar belakang
politiknya sebagai anak sulung Perdana Menteri kedua Malaysia, Tun Abdul
Razak Hussein.
Dengan Dewan Rakyat telah pun dibubarkan pada 3 April lalu dan PRU-13
bakal diadakan beberapa minggu lagi, Najib memulakan warkah dalam
manifesto itu dengan ayat rakyat Malaysia yang dikasihi".
Masanya telah tiba untuk kita membuat keputusan. Laluan demokrasi
menetapkan bahawa masa depan negara ini berada dalam tangan rakyat.
Kuasa rakyat itulah cerminan pilihan raya yang bebas dan adil.
Allahyarham ayahanda saya, Tun Abdul Razak Hussein pernah berkata,
Tugas kamu kepada negara adalah untuk memenuhi amanah rakyat dengan
segala daya upaya.
Saya melangkah masuk ke bidang politik 37 tahun lalu dan ini adalah
kali pertama saya memimpin gabungan BN untuk menghadapi pilihan raya
umum. Ia menjadi satu cabaran besar dan tanggungjawab yang berat," kata
Najib.
Sebenarnya, tiada perkataan manifesto tertera pada dokumen manifesto
yang dilancarkan oleh Najib malam tadi, tetapi beliau menegaskan dalam
warkahnya bahawa para pengasas negara ini menekankan betapa pentingnya
komitmen serta pengorbanan.
Rekod kerajaan BN menunaikan janji cukup jelas, tegas Najib, dan
inilah rekod transformasi yang beliau mahu dikupas, direnungi dan
dihayati oleh 13.29 juta pengundi pada PRU-13 nanti.
Daripada transformasi ekonomi, politik dan sosial, sehingga kepada
menjunjung hak asasi manusia dan demokrasi, kita mara dengan penuh yakin
dan mantap bagi mencapai liberalisasi yang lebih menyeluruh.
Perubahan sebenar telah pun berlaku dan dirasai, tetapi perjalanan
ke arah transformasi sepenuhnya akan mengambil masa," kata beliau.
Dokumen manifesto Menepati Janji Membawa Harapan mengandungi tujuh bahagian.
Pertama, warkah Najib kepada pengundi; kedua, prinsip-prinsip politik
BN dan kenapa pengundi perlu pilih BN; ketiga, huraian dasar umum BN
untuk 17 sub topik daripada menangani kos sara hidup, menguruskan
ekonomi, keselamatan dan ketenteraman awam sehingga kepada pengurusan
sumber alam; keempat, apa yang telah dilakukan BN setakat ini; dan
kelima, janji BN kepada rakyat dalam tempoh lima tahun akan datang.
Dokumen itu juga mengandungi dua lagi bahagian tambahan iaitu
renungan petikan kata-kata Najib yang menggariskan pendekatan, gaya
kepimpinan, penekanan dan keprihatinannya serta penggunaan gambar-gambar
dan visual yang relevan dengan setiap sub topik manifesto tersebut.
Daripada halaman pertama manifesto itu, pendekatan BN yang mengotakan
janji dan memupuk politik konsensus sejak dari zaman Tunku Abdul Rahman
Putra dan Tun Razak jelas mendominasi tema kempen pilihan raya BN pada
PRU-13. Politik perpaduan dan integriti pemimpin inilah yang menyalakan
semangat jentera pilihan raya BN yang digerakkan oleh parti-parti yang
mewakili rakyat pelbagai kaum, budaya dan agama.
Ungkapan kata-kata Najib mengenai muhibah, persefahaman, kemajuan,
kemakmuran untuk semua rakyat, perpaduan kaum dan kestabilan nasional
menjadikan dokumen Menepati Janji Membawa Harapan itu suatu manifestasi
iltizam politik Perdana Menteri.
Najib mengharapkan manifesto yang ditampilkan oleh BN malam tadi akan
menjadi topik perbincangan rakyat sebelum mereka keluar mengundi pada
PRU-13. Katanya, rakyat perlu menilai BN berdasarkan merit dan apa yang
BN telah sumbangkan kepada negara selama ini.
Najib menawarkan kepada rakyat gabungan BN yang begitu berpengalaman,
telah teruji, satu gerakan kesederhanaan yang berkongsi kuasa secara
harmoni bersama semua kaum serta memiliki rekod pencapaian yang hebat
dalam memenuhi kehendak rakyat.
Dalam tempoh lima tahun akan datang, misalnya, manifesto itu
menggariskan komitmen kerajaan BN untuk menarik pelaburan sebanyak RM1.3
trilion dan mencipta 3.3 juta peluang pekerjaan kepada rakyat negara
ini. Dalam pada itu, golongan minoriti dan terpinggir tidak dilupakan.
Manifesto itu juga mengandungi 24 petikan kata-kata Najib, termasuk
satu ungkapan yang mencerminkan falsafah kepimpinannya. Ketika
membentangkan Bajet 2013 di Dewan Rakyat pada bulan Oktober lalu, Najib
menegaskan prinsip keadilan sosial pentadbiran kerajaan BN dengan
rangkap kata-kata berbunga yang puitis dan membawa maksud yang amat
mendalam.
Beliau mengimpikan untuk melihat Malaysia digemblengkan oleh segenap
lapisan masyarakat untuk menjadi sebuah negara yang istimewa: Sebuah
negara yang mana yang susah dibantu, yang lemah dilindungi, yang berada
membantu, yang kuat melindungi, yang muda dikasihi, yang tua dihargai,
yang memerlukan dikhidmati dan yang berbakat digilap."
Najib, dengan pengalamannya mentadbir negara begitu lama dan
liku-liku politik yang dilaluinya, telah berpuluh tahun melakukan
tanggungjawab yang tersimpul dalam rangkap kata-kata itu sejak beliau
menceburi bidang politik pada tahun 1976 selepas kematian Allahyarham
Tun Razak.
Setelah lebih tiga dekad bergelumang dalam politik, beliau
ditakdirkan menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana
Menteri pada 3 April 2009 selepas setahun PRU-12 berakhir. Tempohnya
berkhidmat sebagai Perdana Menteri amat mencabar kerana PRU-12 pada Mac
2008 menyaksikan BN hilang majoriti dua pertiga di Parlimen dan gabungan
parti itu gagal menguasai lima buah negeri.
Apabila Najib membubarkan Dewan Rakyat pada 3 April lalu, beliau
sedar betapa rapuhnya politik negara selepas Mac 2008 dan dengan rendah
diri beliau mengakui bahawa mandat rakyat di peti undi yang akan
menentukan kedudukan BN pada PRU-13.
Inilah kali pertama Najib, 60, mengetuai BN menghadapi pilihan raya
umum dengan agenda besar mengembalikan imbangan dalam politik Malaysia
dan mencorakkan semula landskap politik negara yang sejak 2008 diwarnai
perbalahan, konflik dan pertarungan.
Dalam manifesto BN, Presiden UMNO yang juga Ahli Parlimen Pekan itu
memohon mandat daripada rakyat supaya diberi peluang untuk memimpin
sebuah kerajaan yang mendahulukan kepentingan dan kebajikan rakyat bagi
menjayakan Agenda Transformasi Negara.
Melalui rekod pencapaian dan komitmen BN yang disenaraikan dalam
manifesto yang dilancarkan malam tadi, beliau amat mengharapkan rakyat
untuk turut memberi sokongan besar kepada kesemua 222 calon BN di
peringkat Parlimen dan 505 di peringkat Dewan Undangan Negeri yang akan
bertanding pada PRU-13 nanti.
Kenapa mandat besar diperlukan?
Najib menulis dalam manifesto BN: Sebagai Perdana Menteri Malaysia,
mandat yang saya mohon ini amat penting demi kelangsungan dan
kesinambungan. Kita perlu bergerak ke hadapan meninggalkan jalan mundur
yang menghalang perpaduan, kestabilan, keharmonian serta kemakmuran.
Kita mesti menolak pecah belah, kelembapan, pergolakan, kekacauan,
perbalahan dan krisis.
Mandat daripada anda adalah sebuah janji yang membawa harapan,
mandat untuk mencapai kecemerlangan bersama-sama sebagai satu bangsa,
satu negara dan satu wawasan. Berilah peluang kepada saya untuk
meneruskan khidmat bakti ini sedaya upaya saya. Saya ingin meyakinkan
anda bahawa kegemilangan akan menyusul!"
Dengan aspirasi rakyat yang tergaris jelas dalam manifesto BN itu,
cita-cita Najib untuk melihat penubuhan kerajaan yang lebih kukuh
diharapkan akan terjelma pada PRU-13 bagi membawa Malaysia ke mercu
kegemilangan baharu.
1 comment:
salam perkenalan. sila layari blog kami di http://johorsanasini.blogspot.com. mohon juga agar dapat pautkan blog kami di blog tuan
Post a Comment