SEREMBAN 10 April - Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng
mengisytiharkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai
'Perdana Menteri yang original', manakala bapanya, Lim Kit Siang sebagai 'pemimpin original' dalam ceramah di Taman AST, dekat sini malam tadi.
Kata Guan Eng, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bukan original sebaliknya menuduhnya sebagai Perdana Menteri copycat,
yang suka meniru apa yang dilakukan pakatan pembangkang khususnya
berkaitan manifesto selain mengatakan kerajaan BN sebagai 'kerajaan
celup' dan 'tidak original'.
"Manifesto Barisan Nasional (BN), dia (Najib) cakap paling awal
diumumkan. Dulu kena tunggu selepas penamaan calon baru hendak umumkan.
Mengapa umum awal, sebab pakatan pembangkang sudah umum manifesto. Dia
(Najib) hanya tiru dan ciplak sahaja.
"Kita cakap dalam manifesto mahu turunkan harga kereta, sekarang BN
dalam manifesto pun umum turun harga kereta. Perdana Menteri copycat," katanya.
Dengan melaungkan perkataan 'Ubah, Bersih, Hijau, Hidup Rakyat', Guan
Eng terlupa bahawa DAP juga tidak mengamalkan apa yang disebutkan untuk
memastikan parti mereka dibersihkan terlebih dahulu sebelum
bercita-cita mentadbir negara.
Dia tidak menerangkan isu dalam parti berkenaan khususnya berkaitan
'kesilapan' pengiraan undi dalam pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat
(CEC), yang ketika ini menimbulkan kemarahan ahlinya, serta bakal
berdepan kemungkinan dilarang bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-13
(PRU-13) jika pendaftaran parti itu dibatalkan oleh Pendaftar Pertubuhan
(ROS).
Guan Eng juga tidak menjelaskan masalah 'silap taip' berhubung
pengumuman kos pembinaan projek terowong dasar laut di Pulau Pinang yang
dirancang DAP meningkat sebanyak RM2.2 bilion daripada jumlah asal yang
dinyatakan kerajaan negeri iaitu sebanyak RM4.08 bilion.
Pada ceramah yang penuh dengan lagak seperti ahli gusti dalam satu rancangan World Wrestling Entertainment
(WWE) yang bercakap terpekik-pekik di hadapan penonton, Guan Eng sekali
lagi menjual temberang dengan membuat janji kepada rakyat.
"Kita akan berikan semua warga emas seluruh Malaysia RM1,000 setiap
tahun, harga minyak akan diturunkan, pendidikan percuma sehingga
universiti, hapuskan tol di Lebuhraya Utara-Selatan serta memasang WiFi
di semua tempat awam," katanya.
Pada penghujung ceramah itu, Guan Eng menuduh BN akan huru-hara jika pakatan pembangkang menang dalam PRU-13.
"Kalau pembangkang menang, Malaysia tidak akan huru-hara. Yang huru-hara ialah BN," katanya. - UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment