KOTA BHARU 29 April - Tiada siapa sangka di
sebalik imej zuhud, Menteri Besar Kelantan yang juga Mursyidul Am Pas,
Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebenarnya memiliki 14 lot tanah seluas
1.76 hektar di kawasan bernilai tinggi di Bandar Baru Tunjong di sini
yang dianggarkan bernilai lebih RM4 juta.
Nilai tanah tersebut dikatakan boleh mencecah lebih RM10 juta
sekiranya status tanah itu yang kini merupakan tanah pertanian ditukar
kepada komersial, mengambil kira pelbagai projek pembangunan yang akan
dilaksanakan di kawasan berkenaan.
Selain Nik Abdul Aziz, isteri beliau, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak
turut memiliki 13 lot tanah di sekitar jajahan Kota Bharu dianggarkan
bernilai jutaan ringgit termasuk dua lot tanah di Pulau Melaka yang
telah dipajakkan selama 40 tahun kepada Petronas Dagangan Berhad bagi
membina stesen minyak.
Kesemua tanah di atas nama Nik Abdul Aziz itu telah didaftarkan
selepas 1990 iaitu ketika beliau memegang jawatan Menteri Besar
Kelantan.
Ketika ini, antara projek pembangunan yang dilaksanakan di Bandar
Baru Tunjong ialah kompleks jabatan dan agensi Kerajaan Persekutuan
seperti Jabatan Audit Negeri, Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri,
Jabatan Pelajaran Negeri dan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC).
Sementara itu, di pihak kerajaan negeri pula beberapa projek
penswastaan telah dirancang di sana antaranya Tunjong Pavilion, sebuah
pasar raya dan banyak lagi yang bakal melonjakkan harga hartanah di
kawasan tersebut yang terletak di laluan utama Kota Bharu-Kuala Krai.
Pemilikan tanah oleh Nik Abdul Aziz dan isterinya itu didedahkan oleh
calon Bebas Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali yang amat terkejut
dengan perkembangan tersebut kerana Mursyidul Am Pas itu sering
digambarkan sebagai seorang yang zuhud.
Menurut Ibrahim, beliau telah menerima sampul surat mengandungi
senarai tanah dan salinan geran milik Nik Abdul Aziz dan isterinya di
dalam peti surat rumahnya di Taman Mimi, Wakaf Bharu beberapa minggu
lalu.
Katanya, beliau telah menjalankan siasatan bagi mengetahui kesahihan
dakwaan tersebut dengan membuat cabutan dan carian rasmi di Pejabat
Tanah dan Jajahan Kota Bharu dan hasilnya amat mengejutkan, apabila
kesemua senarai tanah dan salinan geran yang dinyatakan dalam sampul
surat berkenaan adalah benar.
"Saya amat terperanjat apabila seorang bergelar ulama dan sering
digambarkan sebagai seorang yang zuhud, memiliki tanah bernilai tinggi
ketika masih memegang jawatan ketua kerajaan," katanya dalam sidang
akhbar di sini hari ini.
Persoalannya kata beliau, bagaimana tanah itu diperoleh ketika Nik
Abdul Aziz yang merupakan seorang penjawat awam dan ketua kerajaan.
Sidang akhbar itu turut dihadiri seorang peguam, Nor Azli Ahamed;
Presiden Orang Muda Berpadu Anti Korupsi, Wan Khairul Ihsan Wan Muhammad
dan Yang Dipertua Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Negeri
Kelantan, Fauzi Mohamad.
Pada sidang akhbar itu, Ibrahim turut menyerahkan salinan senarai
tanah dan geran tanah yang dikatakan milik Nik Abdul Aziz dan Tuan
Sabariah, selain salinan pelan lokasi tanah terbabit kepada pihak media.
Ibrahim sehubungan itu, menuntut Nik Abdul Aziz menjelaskan kepada
rakyat Kelantan bagaimana beliau dan juga isterinya, seorang suri rumah
yang tidak bekerja, mampu memiliki tanah tersebut.
"Sekiranya Tuan Sabariah memiliki perniagaan, apakah jenis perniagaan
itu. Saya juga ingin memohon penjelasan daripada Datuk Nik Abdul Aziz
mengenai tanah Sekolah Agama Darul Anuar, apakah ia milik persendirian
ataupun tanah wakaf.
"Saya menggesa Datuk Nik Abdul Aziz memberikan jawapan secepat
mungkin berhubung semua tanah yang dimilikinya itu dan bagi pihak rakyat
Kelantan, saya memohon kepada beliau supaya mendedahkan semua harta
yang dimilikinya.
"Rakyat berhak untuk tahu kerana tanah adalah milik rakyat. Ingat
Allah Maha Kaya, Allah akan menunjukkan segala-galanya," tegas beliau.
Mengulas lanjut, Ibrahim berkata, pendedahan tersebut bukan bertujuan
membuat fitnah atau tuduhan ke atas Nik Abdul Aziz yang turut
diseganinya, kerana berkemungkinan Menteri Besar itu memiliki tanah
berkenaan menerusi cara yang betul dan sah.
"Tetapi yang saya nak persoalkan ialah dari segi moral, bagaimana
beliau sebagai seorang Menteri Besar boleh memiliki tanah tersebut.
Jadi, dia kena jawab dan buat penjelasan.
"Beliau wajib menjelaskan kepada rakyat, isterinya memiliki tanah ini, rakyat berhak untuk tahu kerana tanah ini milik rakyat.
"Inilah tragedi kepada rakyat Kelantan, apabila institusi ulama
digunakan untuk kepentingan peribadi. Jadi Nik Abdul Aziz wajib
menjelaskan kepada rakyat," katanya.
Ibrahim dalam nada kesal turut mencabar anak Nik Abdul Aziz, Nik
Abduh yang bertanding di Parlimen Pasir Pas menjawab isu tersebut kerana
beliau percaya ada pihak tertentu yang terlibat di belakang perkara
tersebut iaitu tauke balak sehingga menyebabkan kawasan hutan di Hulu
Kelantan digondolkan.
"Saya nak cabar Nik Abduh, jangan cakap cara riak, perjelaskan macam
mana bapanya yang menjadi Menteri Besar memiliki tanah itu. Saya juga
nak minta bapa mertuanya, Fatah Haron, Ketua Pas Rantau Panjang
mengisytiharkan harta dimilikinya.
"Ini bukan politik semata-mata, kasihan kepada rakyat Kelantan yang
naif di kampung-kampung yang menganggap Pas itu Islam, Islam itu Pas.
"Rakyat Kelantan berhak untuk mempunyai kehidupan lebih baik seperti
di negeri-negeri lain dan rakyat Kelantan berhak untuk mendapat peluang
pekerjaan yang lebih baik," katanya.
No comments:
Post a Comment