KENINGAU 24 April - Pembangkang diingatkan supaya tidak melakukan
tindakan yang boleh merosakkan keharmonian negara termasuk membangkitkan
isu autonomi Sabah seperti yang dicanang dalam kempen pilihan raya umum
kali ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, soal kemerdekaan
Sabah dalam Malaysia, kerangkanya, Perlembagaan dan hak-hak negeri itu
telah dipersetujui sebaiknya melalui Perjanjian 20 Perkara.
"Jangan buat apa-apa yang sudah pun kita susun molek, cantik dan kemas.
"Perjanjian 20 perkara itu masih kita pertahankan sampai hari ini.
Tidak timbul soal autonomi kerana Sabah sudah ada autonomi di bawah
perjanjian itu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan 10,000 hadirin pada
Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kompleks Sukan Keningau di sini hari
ini.
Perdana Menteri menambah, antara Sabah dan Persekutuan Malaysia,
kedua-duanya saling memerlukan kerana dalam hal tertentu, negeri itu
turut memerlukan pertolongan daripada kekuatan yang ada pada
Persekutuan.
"Baru-baru ini rakyat Sabah dikejutkan dengan pencerobohan pengganas
Kiram. Anggota keselamatan kita datang dari mana? Darah yang mengalir di
bumi Sabah ini darah siapa?
Jawapannya, darah orang Pasir Mas,
Kelantan, Besut, Terengganu dan Klang, Selangor.
"Mereka sanggup bayar harga paling tinggi iaitu nyawa masing-masing
untuk jaga keamanan dan kedaulatan Sabah agar tidak tercemar. Namun
pembangkang perlekeh kita kononnya ini sandiwara sedangkan mereka yang
adakan perjumpaan dengan orang yang tidak suka pada Sabah. Apa tujuan
mereka?" soalnya.
Sementara itu, Musa Aman dalam ucapannya turut menyelar pembangkang
yang mendakwa Sabah dianaktirikan oleh kerajaan Pusat termasuk dengan
tidak memberikan royalti minyak 20 peratus seperti yang disebut dalam
manifesto mereka.
Menurutnya, bantuan Kerajaan Pusat kepada Sabah selama ini melebihi
20 peratus seperti dicanang mereka. Perdana Menteri juga tidak pernah
lokek meluluskan dana tambahan sekiranya diminta kerajaan negeri pada
bila-bila masa.
"Pembangkang kerja mereka berbohong dan membuat fitnah saja. Kita
bukan tak mahu jawab tetapi kita banyak kerja. Bukan seperti mereka yang
tidak ada kerja, sebab itu ada banyak masa buat fitnah dan bohong bagi
memperbodohkan rakyat negeri ini," katanya.
"Dalam Rancangan Malaysia Ke-9 dan Ke-10, lebih RM10 bilion diberi
kepada Sabah. Itu belum dikira dana tambahan dan jumlah itu melebihi 20
peratus yang dikatakan pembangkang. Cumanya kita perlu faham, sebagai
negeri kedua terbesar, kita perlu masa untuk bangunkan semuanya,"
katanya.
No comments:
Post a Comment