MINGGU ini satu lagi debaran akan terjawab. Suruhanjaya Pilihan Raya
(SPR) akan menentukan tarikh penamaan calon dan juga hari pembuangan
undi yang melibatkan 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan
Negeri (DUN) . Penetapan dua hari penting itu juga akan menjawab segala
persoalan mengenai jumlah hari berkempen. Adakah 10 hari atau 14 hari.
Adakah kita akan mengundi pada 27 April atau selewat-lewatnya 4 Mei?
Semuanya dijangka diketahui esok (10 April) apabila SPR mengadakan
mesyuaratnya selepas pembubaran Dewan Rakyat dan DUN minggu lalu.
Mungkin minggu ini juga akan diketahui sebahagian besar calon yang akan
diturunkan pada PRU nanti terutama yang bakal mewakili Barisan Nasional
(BN).
Dalam kalangan parti pembangkang, sudah banyak nama calon didedahkan.
Mereka termasuklah Lim Kit Siang (DAP-Gelang Patah), Anwar Ibrahim
(PKR-Permatang Pauh), Abdul Hadi Awang (Pas-Marang), Dr. Haron Din
(Pas-Arau) dan ramai lagi. Lim Guan Eng pula menarik balik hasrat untuk
`bertarung dengan Pengerusi BN Pulau Pinang, Teng Chang Yeow. Selepas
silap kira dan silap taip, Guan Eng silap buat cabaran. Anwar pula
mungkin tidak begitu yakin untuk melakukan lompatan. Bukan mudah mahu
mempengaruhi pengundi-pengundi di kawasan baharu. Maka langkah terbaik
ialah menetap di Permatang Pauh. Sekurang-kurangnya di- sana masih ada
penyokong tegarnya. Biarlah pengundi-pengundi Permatang Pauh menghakimi
beliau. Jika di situ karier politiknya bermula, di situ jugalah
sewajarnya kedudukannya ditentukan sama ada dikekalkan di situ atau
menyahut seruan ubah seperti slogan yang dilaungkan DAP. Bagi pengundi
lama terutama yang sama-sama berjuang bersama Anwar pada peringkat awal
di Permatang Pauh, mereka sudah lama meninggalkan bekas Presiden ABIM
itu. Hanya orang baru yang entah macam mana terlalu taksub sehingga
terpengaruh dengan aura Anwar dan tidak dapat meninggalkannya.
Berdasarkan situasi semasa, adakah Anwar akan terus menguasai Permatang
Pauh?
BN terutama UMNO Bahagian Permatang Pauh, tidak akan memberi laluan
mudah kepada Anwar. Walaupun calon BN yang bakal diturunkan masih
menjadi tanda tanya, tetapi gerak kerja yang diketuai Ketua UMNO
Bahagian, Abdul Jalil Abdul Majid menampakkan kesungguhan. Apa yang
penting apabila tiba masanya, bergeraklah seperti yang dirancang. Jangan
berpatah balik di pertengahan jalan. Jangan menghilangkan diri apabila
nama calon dimuktamadkan. Isu calon bukanlah satu isu baru. Ia berlaku
setiap kali PRU. Masih ramai terutama pemimpin peringkat bahagian yang
tertanya-tanya sama ada dipilih atau tidak. Tidak semua yang merasakan
dirinya sebagai winnable candidate layak dipilih kerana masih ada calon
yang terbaik. Janganlah membebankan pucuk pimpinan dengan mengatur
rombongan atau menghantar memorandum untuk berbincang soal calon.
Siapa juga yang dicalonkan harus diletakkan pada kedudukan nombor dua
manakala tempat pertama harus melihat kepada kepentingan dan kemenangan
parti. Seperti yang pernah diselak minggu lalu, jika DAP mampu
mengemukakan calon sama ada disebut sebagai calon payung terjun, bidan
terjun, paracut, pelarian dan sebagainya tetapi dapat diterima dengan
mendapat kemenangan, kenapa BN tidak boleh? Lihat sahaja bagaimana Kit
Siang dan Guan Eng boleh mencipta kemenangan walaupun berpindah ke
merata tempat. Penyokong BN harus bersedia menerima siapa sahaja yang
dicalonkan seperti yang berlaku kepada parti pembangkang ini. Apa yang
penting misi mesti menang bagi setiap calon yang mewakili parti. Tidak
dinafikan, siapa calon juga amat penting tetapi dalam saat-saat genting
ini, terima sajalah calon yang dipilih pucuk pimpinan. Masa untuk lobi
melobi, merajuk dan protes sudah berakhir.
Bagi pemimpin UMNO, pada Perhimpunan Agung UMNO lalu, mereka sudah
melafazkan: Kami orang UMNO berikrar untuk memberikan sokongan padu dan
tidak berbelah bagi kepada calon-calon yang bakal dipilih oleh pucuk
pimpinan parti untuk bertanding pada pilihan raya nanti. Janji taat setia yang dipimpin oleh Timbalan Presiden UMNO, Muhyiddin
Yassin itu juga berikrar Kami orang UMNO berjanji, taat dan setia
kepada parti dengan memberikan sepenuh kepercayaan dan sokongan padu
kepada Yang Amat Berhormat Presiden untuk memimpin kita mencapai
kemenangan besar dalam pilihan raya nanti.
Bersedialah sokong siapa sahaja yang dicalonkan, sekali pun calon itu
benar-benar muka baharu. Sama seperti ketika Dr. Mahathir Mohamad
menyerahkan Anwar kepada UMNO Permatang Pauh sebagai calon pada 1982.
Terimalah siapa sahaja yang dicalonkan. Harus diingat, seperti yang
diselak sebelum ini, tidak mustahil akan ada calon-calon yang bukan
anggota parti komponen. Mereka akan bertanding atas tiket BN. Situasi
seperti ini juga dijangka berlaku kepada pakatan pembangkang.
Sejak
tahun-tahun kebelakangan ini, banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO)
yang turut memainkan peranan membantu memulihkan sokongan kepada
kerajaan. Tidak mustahil, jika mereka diberikan peranan sebagai calon
untuk mewakili rakyat. Pemimpin parti politik terutama di peringkat
bahagian juga harus bersedia menerima hakikat bahawa jawatan dalam parti
bukan tiket untuk menjadi calon. Begitu juga bekas wakil rakyat yang
tidak dipilih semula. Usah merajuk. Biarlah Kit Siang atau Nik Aziz Nik
Mat terus bertanding. Mungkin masa anda sudah berakhir. Kini giliran
anda membantu orang lain.
Mengambil contoh di Permatang Pauh semasa kali pertama Anwar
diturunkan, seluruh jentera UMNO/BN bahagian bekerja keras memastikan
kemenangan BN. Ibrahim Ali juga turun berkempen untuk sahabatnya itu
(kini musuh politik). Begitulah semangat yang ditunjukkan. Maka kenapa
tidak pada hari ini, sokongan serupa diberikan jika ditakdirkan calon di
kawasan anda bukan dalam kalangan pemimpin yang anda kenali. Jangan
kerana tidak dipilih atau calon pilihan di luar jangkaan, anda lari
meninggalkan medan perjuangan untuk berehat di Medan atau bertukar
menjadi musang berbulu ayam, gunting dalam lipatan atau musuh dalam
selimut.
KOMEN : INGAT TU SLOGAN BN - MENEPATI JANJI MEMBAWA HARAPAN.
No comments:
Post a Comment