KUALA LUMPUR 2 April - Sekumpulan ulama pondok di
Kelantan yang sebelum ini merupakan penyokong tegar Pas bertekad
menolak keras parti tersebut selepas kepimpinan parti berkenaan gagal
mempertahankan kalimah Allah.
Menurut mereka, persetujuan Pas bahawa kalimah Allah boleh digunakan
oleh orang bukan Islam dalam kenyataan bersamanya dengan DAP dan Parti
Keadilan Rakyat (PKR) pada 8 Januari lalu sememangnya tidak boleh
diterima.
Ini kerana perkara tersebut amat berkaitan dengan usaha memelihara kesucian akidah Islam.
Ketua Penerangan Minda Pondok, Harun Yahya berkata, tindakan
Pas itu amat mengecewakan umat Islam, khususnya para ulama kerana parti
itu dilihat menyokong fahaman pluralisme iaitu yang amat bercanggah
dengan Islam.
"Inilah hakikatnya sekarang. Di peringkat pemimpin memang payah
hendak kita perbetulkan, cuma apa yang boleh kita lakukan ialah
memberitahu dan memaklumkan kepada rakyat dan pengikut-pengikut Pas agar
jangan sokong parti ini lagi," katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya tentang kedudukan Pas yang masih bersekutu dengan DAP dan PKR.
Lebih malang lagi, Pas sehingga hari ini belum menarik balik
ketetapan yang dibuat bersama DAP dan PKR bahawa orang bukan Islam boleh
menggunakan kalimah Allah walaupun Majlis Syura Ulamanya telah membuat
keputusan sebaliknya.
Harun yang merupakan tokoh ulama pondok turut menyelar tindakan
sesetengah pihak yang menggunakan hujah Ayat 25 surah al-Luqman bagi
membenarkan bukan Islam boleh menggunakan kalimah Allah.
"Sekali imbas bagi orang yang tidak belajar kata, ini hujah orang
bukan Islam boleh guna kalimah Allah. Sedangkan tidak betul. Orang bukan
Islam tidak akan mengaku keesaan Allah. Mereka tetap mensyirikkan
Allah.
"Adakah kita mahu mengaku manusia ini bertuhankan Allah sedangkan mereka mensyirikkan Allah?" ujarnya.
Tegas beliau, di peringkat ini, setiap umat Islam mahu tidak mahu
wajib mempertahankan kalimah Allah iaitu kalimah suci berkenaan hanya
untuk orang Islam.
"Perjuangan ini adalah jihad dan inilah perjuangan Rasulullah SAW.
Rasulullah sendiri pernah bersabda yang bermaksud 'Aku diutuskan
sehingga manusia menyebut tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu
Pesuruh Allah'," katanya.
Penasihat Minda Pondok, Abdullah Saamah pula berkata, tindakan
Pas yang bersekongkol dengan DAP telah menggalakkan konsep pluralisme
agama yang jelas bercanggah dengan Islam.
Tegas beliau, perkara tersebut amat berkait rapat dengan soal akidah.
Berbanding dengan UMNO, katanya, parti itu sentiasa mempertahankan
kesucian akidah Islam termasuk kalimah Allah daripada disalahgunakan.
Oleh itu katanya, menjadi kefarduan kepada setiap umat Islam memberikan sokongan kepada kerajaan seperti ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Jawatankuasa Minda Pondok, Mohd. Syamsul Mohd. Yusoff
al-Hafiz
berkata, budaya fitnah yang amat berleluasa di dalam Pas menyebabkan
para ulama pondok di Kelantan tidak lagi mahu menyokong parti itu.
Beliau berkata, sejak dahulu Pas hanya tahu menghasut rakyat dengan
fitnah-fitnah yang sengaja ditaburkan terutama menuduh UMNO menolak
Islam.
"Tidakkah mereka tahu bahawa dosa memfitnah itu lebih besar daripada
membunuh dan tidakkah mereka sedar pada hakikatnya UMNO merupakan sebuah
parti yang mempertahan, menegakkan dan mengembangkan Islam?
"Semuanya ini disebut dengan jelas di dalam Perlembagaan UMNO," ujarnya.
1 comment:
Kerajaan Sementara Tidak Pernah Ujud di TendangTerajang.
Post a Comment