KENINGAU 24 April - Perdana Menteri, Datuk Seri
Najib Tun Razak hari ini menyifatkan tindakan Pas membangkitkan semula
isu pelaksanaan hukum hudud sebagai gimik pilihan raya semata-mata. Beliau berkata, dalam manifesto pembangkang jelas sekali soal hukum
hudud tidak disentuh, malah DAP tidak pernah sama sekali menyatakan
persetujuan mereka dalam perkara itu.
"Jadi kalau ini (pelaksanaan hukum hudud) dijadikan soal prinsip
bererti Pas tidak seharusnya bergabung dalam Pakatan Rakyat kerana ini
soal pokok yang diperjuangkan mereka.
"Sekarang ini DAP kena respons apa pendirian mereka dalam perkara ini
dan saya jangkakan DAP terpaksa membuat kenyataan sebab kalau tidak
yang bukan Islam akan meletakkan banyak persoalan tentang pendirian
parti itu," katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pemimpin Bersama
Rakyat di Kompleks Sukan Keningau di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman; Presiden Parti
Bersatu Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan; Presiden Parti Bersatu
Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup; Pesuruhjaya Polis Sabah,
Datuk Hamza Taib dan kepemimpinan BN negeri.
Tambah Najib, UMNO tidak pernah menolak hukum Islam itu tetapi
beberapa persoalan termasuk kesesuaian masa dan sebagainya perlu diambil
kira dalam melaksanakan perkara tersebut.
Dalam pada itu, mengulas kenyataan Menteri Besar Selangor Tan Sri
Khalid Ibrahim bahawa tempoh masa lima tahun belum cukup untuk
melaksanakan pelbagai perancangan adalah tidak benar sama sekali kerana
tempoh berkenaan sudah cukup panjang.
Katanya, agenda transformasi nasional yang dilaksanakan kerajaan BN
terbukti dapat dilihat keberhasilannya hanya dalam tempoh empat tahun
sahaja.
"Kalau kita hendak merancang, tahun pertama kita boleh lakukan tahun
kedua kita boleh laksanakan dan tahun ketiga dan keempat kita boleh
tengok hasilnya.
"Saya tidak takut untuk membentangkan kad laporan kepada rakyat bagi
rakyat mengadili prestasi kerajaan BN. Jadi sepatutnya bila tempoh lima
tahun Tan Sri Khalid boleh membuat kad laporan kepada rakyat dan
pengundi kerana itu lebih baik daripada dia minta lima tahun lagi,"
katanya.
Sementara itu, beliau melahirkan rasa kesal dengan kekecohan yang
dilakukan pihak tidak bertanggungjawab ketika musim pilihan raya kali
ini.
"Sepatutnya tidak berlaku. Biarlah bersaing dengan sihat, tunjuk
amalan demokrasi yang boleh menjadi teladan kepada orang lain," kata
Perdana Menteri.
Ditanya dakwaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya
beberapa negeri termasuk Sabah dan Johor akan jatuh ke tangan mereka,
Najib berkata, itu adalah 'permainan' pembangkang semasa musim pilihan
raya umum.
KOMEN : CARI MODAL LAIN LAH... MODAL BASI SEJAK PAS PERINTAH KELANTAN JUGA YANG DIA ORANG NAK PUSING... SUDAH-SUDAH LAH... PELAKSANAAN HABUK PUN TAK ADA?
No comments:
Post a Comment