MUAR 8 April - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr.
Mahathir Mohamad menyifatkan tindakan DAP menanam rasa kebencian dalam
kalangan kaum Cina terhadap Melayu hanya bertujuan meraih sokongan untuk
menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.
Beliau berkata, taktik kotor itu dilakukan dengan menyatakan orang
Cina telah dianiaya dan tidak mendapat keistimewaan serta hak sama rata
seperti dinikmati kaum Melayu.
"DAP membakar hati orang Cina kononnya mereka dianiaya, tak dapat apa
pun, pelajaran tidak dibantu atau dibiayai kerajaan tetapi sebenarnya
kerajaan sudah beri macam-macam tetapi DAP mahu tuntut lebih lagi, kalau
diberi sesuatu tidak berterima kasih.
"DAP bangkitkan kebencian, mereka kata kita menidakkan hak-hak mereka
dari segi bahasa, budaya, agama sedangkan sesungguhnya tiada kerajaan
di negara lain yang memberi wang untuk mengekalkan bahasa, budaya,
sekolah untuk orang Cina seperti yang kita lakukan," katanya pada
Program Bicara Perdana bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad di Dataran
Tanjung Emas di sini malam tadi.
Yang turut hadir isteri beliau, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali;
Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman dan Timbalan Menteri Belia dan
Sukan, Datuk Razali Ibrahim yang juga penyandang kerusi Parlimen Muar.
Dr. Mahathir berkata, DAP tidak pernah menerima kenyataan bahawa
terdapat ramai orang Cina yang kaya di negara ini berbanding orang
Melayu yang tinggi peratusan kemiskinannya.
Walaupun terdapat jurang yang luas antara taraf hidup kedua-dua kaum
berkenaan, beliau berkata, orang Melayu tidak pernah bermusuhan atau
berasa iri hati dengan pencapaian kaum Cina terutama dalam bidang
perniagaan.
"Ini berbeza dengan di luar negara yang berlaku permusuhan, yang
miskin berpendapat harus dapat sama seperti yang kaya dan kalau tidak
akan dibunuh, ini berlaku di Rusia dan Eropah tetapi di Malaysia orang
Melayu tidak berbuat demikian," jelasnya.
Beliau menambah, jika wujud permusuhan antara Melayu dan Cina, negara
ini tidak akan stabil seterusnya mewujudkan kemusnahan selepas usaha
dilakukan kerajaan bagi membangunkannya sejak mencapai kemerdekaan 55
tahun lalu.
Menurutnya, DAP tidak pernah senang dengan perpaduan yang wujud
antara tiga kaum terbesar di negara ini membabitkan Melayu, Cina serta
India dan kerana itu mereka sentiasa berusaha mewujudkan rasa kebencian.
Dr. Mahathir menegaskan, matlamat untuk menjadikan Malaysia sebuah
negara maju bergantung kepada keamanan dan tidak bercakaran sesama
sendiri.
Jika berlaku konflik, katanya, Malaysia tidak akan mencapai Wawasan 2020 seperti yang disasarkan kerajaan.
"Mereka juga kata sudah 55 tahun Barisan Nasional (BN) memerintah,
sudah terlalu lama, perlu tukar tetapi Penasihat DAP, Lim Kit Siang
sejak 1964 memimpin DAP. Tukar diri kamu dulu, kita sudah tukar enam
kali pemimpin baru boleh jadi macam ini.
''Saya sepatutnya menjadi Perdana Menteri seumur hidup tetapi saya
letak jawatan, kamu (Kit Siang), Nik Aziz tidak mahu, Anwar (Ibrahim)
bagi pula kepada keluarga lain pimpin parti, awak tak tukar tapi suruh
orang tukar," katanya.
1 comment:
SLM BRO..DAP AKAN GUNA APE SAJE CARA DEMI NAK SEMAI KEBENCIAN ORG CINA TERHADAP ORG MLAYU...DIORANG X PEDULIK KLU TERPAKSA JD RASIS SEMATA2 NK RAMPAS HAK ORG MLAYU...JD KITE KNE JD LBEY TEGAS PERTAHAN HAK KITA BROO WLUPUN TERPAKSA GADAI NYAWA >:]
Post a Comment