JOHOR BAHRU 1 April - Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) adalah masa
terbaik untuk rakyat negara ini menamatkan karier politik tiga pemimpin
veteran pembangkang.
Mereka yang dimaksudkan ialah Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR),
Datuk Seri Anwar Ibrahim; Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Mursyidul Am
Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Gesaan itu dibuat oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir
Mohamad semasa berucap pada program Bicara Perdana Bersama Pemimpin
Ulung di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kempas Permas, di sini malam
tadi.
"Anwar sejak awal lagi tidak pernah memperjuangkan agama dan bangsa,
baru tiga hari masuk UMNO minta jawatan Ketua Pemuda, lepas itu mahu
Naib Presiden kemudian Timbalan Presiden sampai saya Presiden sendiri
pun nak lawan. Sampai sekarang gila-gila nak jadi Perdana Menteri.
"Kit Siang pula sibuk mahu orang 'change', Barisan Nasional dah
berapa kali 'change' dah... dia di situ juga. Patut dia kena buat dulu.
Jadi orang Johor perlu ganyang Kit Siang, biar PRU-13 jadi hari terakhir
politik dia.
"Nik Aziz pula bagaimana boleh gelar diri ulama jika mengatakan Tuhan
mencarut, Nabi Muhammad sama seperti orang kampung biasa dan tidak
perlu sambut Maulud. Tapi hari beranak dia, Karpal beri kek dan sambut
pula," katanya.
Sehubungan itu, Mahathir menyeru rakyat menolak pakatan pembangkang
yang jelas hanya 'bersatu di permukaan' walaupun hakikatnya mahu menipu
sesama sendiri.
Menurutnya, tidak seperti BN yang ikhlas berkongsi kuasa dan kekayaan
negara sejak merdeka lagi, tanpa berpura-pura dan tidak berlawan sesama
sendiri malah calon yang bertanding mendapat undi semua parti komponen
bagi memastikan kemenangan dalam pilihan raya untuk bina kerajaan.
"Bila mereka (pembangkang) menang... Kalau mereka menanglah... Mereka
akan kelahi sesama mereka. Kalau mereka kalah... Dan tahu akan kalah...
mereka mahu cetus tunjuk perasaan dan demonstrasi sepanjang masa.
"Dia (Anwar) memang 'expert' kalau tunjuk perasaan, dulu dalang
demonstrasi pada tahun 1974 kononnya ada rakyat mati kebuluran di
Baling, kemudian selepas dipecat 1999, lepas itu Bersih. Saya bukan
jenis bertaruh, tetapi saya bertaruh 10 sen yang dia akan tunjuk
perasaan," katanya.
Lebih 14,000 orang menghadiri mendengar ceramah tersebut. Turut hadir
isterinya, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali; Ahli Parlimen Pulai, Datuk
Nur Jazlan Mohamed; Ahli Parlimen Kota Tinggi, Tan Sri Syed Hamid Albar
dan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff. - UTUSAN
ONLINE
KOMEN : SETUJU SANGAT
No comments:
Post a Comment