Sharing is CARING |
|||
UTUSAN:
UiTM ditubuhkan dengan objektif membantu orang Melayu terutamanya
pelajar miskin luar bandar dengan memberikan ruang untuk mereka
melanjutkan pelajaran. Bagaimana Datuk melihat peranan yang dimainkan
UiTM itu, adakah masih sama, sudah berubah atau perlu ada
penambahbaikan?
SAHOL
HAMID: Peranan UiTM adalah untuk memartabatkan bangsa Melayu, memberi
pendidikan kepada anak-anak Melayu dan bumiputera. Peranan UiTM juga
adalah untuk pastikan graduan mendapat peluang kerja yang baik,
mewujudkan keusahawanan orang Melayu dan meninggikan sosioekonomi bangsa
ini di bandar dan luar bandar. Inilah peranan yang perlu dimainkan oleh
UiTM. Ia bermula pada tahun 1950-an sebagai institusi untuk membantu
pelajar luar bandar berdasarkan perjuangan tokoh masa itu iaitu para
pemimpin UMNO. Ini sejarah yang tidak boleh kita lupakan. Ia kemudiannya
diangkat sebagai sebuah institut pada 1970-an sehingga menjadi sebuah
universiti pada 1990-an.
Kini
genap 54 tahun penubuhannya, UiTM telah mantap, dikenali di dalam dan
luar negara manakala ramai rakyat telah faham peranan UiTM.
Sehingga
kini, UiTM telah mengeluarkan 400,000 graduan dan ia semakin hari
semakin berkembang dengan sasaran pengambilan 200,000 orang pelajar
menjelang tahun 2015.
Kita
berusaha untuk pertingkatkan lagi UiTM ke peringkat yang lebih tinggi.
Akan tetapi UiTM tidak melupakan asal usul dan asas penubuhannya.
Sekarang, selepas saya mengambil alih peranan sebagai Naib Canselor
universiti ini, saya akan usahakan supaya peranan UiTM yang dahulu
diteruskan untuk membantu pelajar miskin dalam bandar dan luar bandar.
Kita akan letakkan UiTM di persada dunia dan menaikkan orang Melayu di
mata dunia. Usaha ini akan dilakukan secara berterusan dan insya-Allah,
tidak lama lagi UiTM akan dikenali sebagai sebuah universiti
penyelidikan dan sebagainya.
Adakah UiTM kini terlalu menumpukan soal komersial sehingga mengabaikan asas penubuhannya untuk membantu Melayu?
Kalau
nak kata UiTM menumpukan soal komersial dalam pengambilan pelajar
sebenarnya tidak, UiTM adalah sebuah institusi yang mantap dan
meningkatkan prestasi akademik yang tinggi. UiTM terpaksa menjadi sebuah
universiti dan sudah tentu melibatkan dari segi keputusan pelajar.
Kalau UiTM mahu bersaing dengan universiti-universiti lain, ia perlu
memenuhi syarat badan-badan profesional termasuk bagaimana keputusan
pelajar yang diterima masuk. Sungguhpun begitu sejak kebelakangan ini,
kajian kita mendapati kemasukan pelajar berdasarkan merit dan persaingan
semata-mata telah mewujudkan ketidakseimbangan.
Contohnya,
daripada 20,000 pelajar yang diterima masuk, 70 peratus daripadanya
perempuan, tinggal di kawasan bandar dan mendapat pendidikan di sekolah
berasrama.
Sekiranya
keadaan ini dibiarkan, bermakna kita tergelincir daripada matlamat asal
(penubuhan UiTM) kerana begitu ramai pelajar luar bandar tidak mendapat
tempat, yang kebanyakan mereka juga ialah pelajar lelaki.
Saya
khuatir, dalam tempoh 10 hingga 20 tahun, kita mungkin menghadapi
masalah sosial ekoran keadaan ini. Memandangkan bilangan golongan wanita
Melayu terpelajar dan berkedudukan tinggi semakin ramai, kalangan yang
tidak berkahwin juga akan bertambah. Maka zuriat daripada orang Melayu
akan berkurang. Apabila kurangnya zuriat daripada kalangan anak Melayu,
ia boleh menyebabkan populasi orang Melayu menurun sehingga mungkin
menjadi minoriti di negara sendiri.
Ini
kerana, keadaan itu wujud akibat perbezaan taraf pendidikan dan sosial
terutama kurangnya tempat dan peluang pendidikan kepada pelajar lelaki
Melayu. Kemungkinan besar keadaan ini boleh berlaku sehingga menyebabkan
anak-anak lelaki Melayu terjebak dengan gejala sosial seperti jenayah
dan kegiatan antisosial gara-gara mereka tidak diberi tempat untuk
melanjutkan pelajaran.
Jadi
sebagai sebuah institusi yang pentingkan masa depan anak bangsanya,
UiTM merasakan perlu bertindak mengadakan program dan perancangan bagi
menangani keadaan ini.
Maka
sebab itulah kita mulakan apa yang dikenali sebagai Program Mengubah
Destini Anak Bangsa. Program ini diadakan untuk membawa kita kembali
kepada asal usul penubuhan universiti ini dengan memberi peluang
pendidikan kepada anak-anak miskin Melayu dan bumiputera luar bandar,
juga di bandar. Ini kerana kita cukup insaf, para pelajar ini mendapat
keputusan rendah, bukan kerana tidak pandai atau tidak bijak, tetapi
faktor persekitaran yang mempengaruhi mereka. Ini termasuk kemiskinan,
guru-guru tidak mencukupi selain keadaan yang tidak mengizinkan mereka
belajar.
Walaupun
UiTM menerima 20,000 pelajar berdasarkan merit persaingan, kita akan
sediakan 5,000 tempat khas untuk golongan anak miskin Melayu yang saya
sebutkan tadi dengan 80 peratus daripadanya lelaki. Kita hendak supaya
wujud pengimbangan yang sesuai agar anak-anak Melayu sekali lagi
mendapat pendidikan yang tinggi. Pada masa sama, kita mahu mereka
mendekati antara satu sama lain dan mungkin berkahwin sesama mereka dan
dengan cara ini, kita dapat melahirkan anak bangsa yang lebih cerdik dan
terdidik dengan sempurna.
Pelaksanaan
Program Mengubah Destini Anak Bangsa dengan memberikan 80 peratus
daripada 5,000 tempat kepada pelajar lelaki mungkin akan mengundang
kritikan bahawa UiTM mengamalkan diskriminasi gender?
Tidak.
Kita sudah membuka 70 peratus kemasukan perdana (besar-besaran) itu
kepada perempuan dan lelaki. Apa yang kita mahu lakukan adalah
pengimbangan pelajar, kita tak diskriminasi. 80 peratus daripada 5,000
tempat khas pelajar miskin itu hanyalah kadar yang kecil.
Apa
yang penting, sebarang usaha untuk kebaikan orang Melayu tidak
seharusnya anggap diskriminasi. Kalau kita anggap ia diskriminasi,
bagaimana untuk menjayakan usaha menyelamatkan bangsa, meninggikan taraf
mereka selain membawa pengimbangan dalam peluang pendidikan di kalangan
bangsa ini.
Kita
tidak mahu 20 tahun dari sekarang, kita menyesal kerana tidak
memikirkan nasib bangsa sendiri daripada sekarang. Kita akan mulakan
Julai ini dengan melaksanakan pengambilan 5,000 pelajar Melayu miskin di
seluruh negara.
Apakah kaedah yang akan dijalankan oleh UiTM untuk melaksanakan program ini?
Pelajar tidak perlu mohon secara online, mereka cuma perlu fotostat keputusan SPM dan kad pengenalan mereka sahaja.
Di
Kedah, Kelantan dan beberapa negeri, kita cari pelajar-pelajar ini,
kita pergi dari rumah ke rumah untuk mengenal pasti keadaan kemiskinan
keluarga dan kita akan tawarkan tempat kepada mereka yang layak. Malah,
UiTM akan beri tempat tinggal, makan dan elaun kepada mereka yang
terpilih. Kalau boleh saya tidak mahu ada seorang pun anak Melayu yang
pandai dan boleh belajar, dinafikan tempat untuk mendapat pendidikan
kerana dia miskin atau tak cukup syarat.
Apa
yang penting ialah pelajar itu ada kemampuan untuk belajar dan kita
akan beri peluang kedua ini untuk mereka mengubah destini diri dan
keluarganya.
Cuba
bayangkan, kalau satu semester kita boleh bagi 5,000 tempat, dalam
tempoh satu tahun kita boleh sediakan 10,000 tempat untuk anak Melayu
belajar. Dalam tempoh lima tahun, seramai 50,000 keluarga orang Melayu
akan dapat diberi peluang belajar untuk meningkatkan taraf ekonomi
mereka. Program ini kalau dijalankan dengan baik boleh menghapuskan
kemiskinan di kalangan orang Melayu. Inilah tujuan utama program ini.
Kita
hendak menghapuskan kemiskinan di kalangan orang Melayu dan melahirkan
lebih ramai pelajar Melayu yang berkemahiran dan berkemampuan mendapat
kerja di pasaran.
Pada
masa yang sama, UiTM juga sedia mengubah beberapa polisi agar apabila
pelajar ini menamatkan pengajian, boleh keluar contohnya sebagai graduan
Diploma Perakaunan yang memiliki ijazah dalam bidang undang-undang.
Malah,
pelajar yang ada ijazah dalam bidang kejuruteraan boleh melanjutkan
pengajian peringkat sarjana dalam bidang pengurusan perniagaan atau
akauntan. Kita akan tawarkan program canggih dan futuristik yang akan
meningkatkan taraf kebolehpasaran mereka.
Kita
mahu, apabila pergi temu duga, pelajar UiTM yang diterima dahulu, sama
ada dalam sektor awam mahupun swasta kerana nilai tambah yang ada pada
mereka termasuk sokongan bahasa Inggeris dan keusahawanan, yang telah
dilengkapkan oleh UiTM.
Salah
satu elemen budaya Melayu adalah tulisan jawi. Namun ramai kalangan
Melayu sendiri semakin menjauhi tulisan itu. Apa peranan UiTM dalam hal
ini?
Saya
sedar ramai pelajar lupa tentang tulisan jawi. Identiti satu bangsa itu
adalah melalui tulisan dan percakapan. Jadi kalau tak pandai tulis
jawi, pelajar itu dilihat kurang dari segi 'kemelayuannya'.
Sebab
itu kita mahu tekankan kepentingan jawi di kalangan pelajar Melayu.
Kita kena wujudkan kesedaran penulisan jawi sebagai budaya yang tidak
harus dipandang mudah.
Pelajar
Melayu perlu digalakkan dengan membaca surat khabar, buku dan majalah
dalam tulisan itu. Ini kerana, saya rasa sekarang hampir separuh pelajar
tidak tahu membaca dan menulis jawi. Kalau dibiarkan, kita akan
hilangkan 'kemelayuan ' dalam diri mereka.
Datuk kurang berkenan dengan program matrikulasi. Boleh jelaskan apakah sebabnya?
Pada
pandangan saya, program matrikulasi banyak merugikan orang Melayu.
Pengambilan pelajar hampir 30,000 orang untuk mengikuti program ini
sehingga memakan sumber kewangan yang banyak, adalah tidak sepatutnya.
Ini kerana ia masih tidak menjamin tempat di universiti dan kursus yang
pelajar berkenaan minati.
Bagi
yang lulus (matrikulasi) boleh meneruskan pengajian tetapi yang gagal,
mereka ini akan kecewa dan telah membazirkan masa dua tahun tanpa
mendapat apa-apa. Sedangkan para pelajar terbabit asalnya dari kalangan
yang cemerlang dalam SPM.
Jadi apa alternatif Datuk cadangkan?
Bagi
saya, adalah lebih untung jika para pelajar ini mengikuti kursus
peringkat diploma sebab dalam tempoh tiga tahun, mereka sudah mendapat
sijil sama ada untuk mencari pekerjaan atau meneruskan pengajian ke
peringkat ijazah pula. Tambahan pula dengan adanya program multi
disiplin yang ditawarkan UiTM, mereka ini akan keluar sebagai graduan
terlatih dalam pelbagai bidang seperti keusahawanan, bahasa Inggeris dan
lain-lain.
Berbanding
program matrikulasi, mereka perlu mengikutinya selama dua tahun,
barulah pelajar ini akan ditentukan pula pengajian peringkat ijazah. Itu
pun ia belum dijamin.
Ini
satu pembaziran masa, sedangkan kalau diberi peluang mengambil diploma,
mereka boleh memilih bidang yang hendak diceburi dari awal-awal lagi
dan menghabiskan pengajian dengan cepat.
Adakah ini bermakna program matrikulasi tidak lagi relevan pada masa ini?
Saya
tidak mengatakan bahawa program matrikulasi itu perlu ditutup, tetapi
kurangkan pengambilan pelajar dan pastikan mereka yang diambil
betul-betul dijamin tempatnya di universiti dan mendapat kursus yang
mereka minati. Kebanyakan mereka tidak mendapat tempat di universiti
yang mereka idamkan dan kecewa kerana tidak berminat dengan jurusan yang
diberi. Kesannya, apabila bekerja, mereka tidak berminat dan keadaan
ini sudah pasti merugikan anak Melayu.
Jadi
kita bandingkan kebaikan matrikulasi dengan diploma. Kalau jelas
diploma membawa kebaikan, kenapa perlu terlalu ramai pengambilan dalam
matrikulasi? Justeru kajian semula program matrikulasi perlu diadakan
bagi melihat kesannya secara menyeluruh termasuk dari segi penambahan
pelajar.
ukankah penubuhan matrikulasi itu bertujuan memberi peluang kepada lepasan SPM untuk mendapat tempat di pusat pengajian tinggi?
Ya,
tetapi janganlah pengambilan itu terlalu ramai sehingga ramai juga yang
tercicir. Saya tidak boleh melihat pelajar Melayu tercicir. Kalau
mereka ini tercicir, universiti mana yang akan menerima mereka? Paling
menyedihkan, mereka terpaksa menggunakan semula slip SPM untuk memohon
memasuki institusi pengajian lain, sekiranya tidak mencapai keputusan
yang baik di peringkat matrikulasi.
Mungkin ramai yang marah dengan pandangan Datuk ini dan tidak kurang yang melihat sebagai usaha mempromosi UiTM?
Saya
tahu perkara ini kalau saya suarakan ramai yang marah, tapi saya kena
bersuara kerana tidak mahu dianggap sebagai 'pengkhianat' dalam usaha
menjamin masa depan yang baik kepada anak-anak Melayu.
Lagipun,
program diploma UiTM adalah sub-profesional dan negara kita memang
memerlukan ramai pekerja sub-profesional. Ia satu opsyen yang lebih
sesuai untuk kepentingan orang Melayu.
Selain
itu, saya juga mendapat maklumat ramai ibu bapa menganggap satu paksaan
apabila anak-anak masuk matrikulasi, mereka tidak dibenarkan mengambil
diploma. Bagi saya, pelajar perlu ada kebebasan untuk memilih apa juga
bidang yang diminati mereka untuk belajar.
UiTM sendiri mempunyai Program Persediaan Pelajar bagi mereka yang hendak melanjutkan pengajian ke luar negara.
Ini
berbeza daripada matrikulasi kerana di bawah PPP, kita hantar semua
pelajar ini melanjutkan pengajian mereka ke universiti luar negara.
Mereka yang tidak mendapat tempat di luar negara, kita masukkan ke UiTM.
Malangnya bagi pelajar matrikulasi yang gagal, mereka ini tidak tahu
hendak ke mana.
Adakah UiTM sanggup menerima mereka?
Saya
sanggup. Kita mahu beri tempat kerana mereka mempunyai keputusan yang
baik di peringkat SPM dulu. Tujuan kita bukan untuk mengurangkan taraf
UiTM dengan mengambil pelajar yang mendapat kelulusan rendah, tapi hanya
untuk martabatkan pelajar Melayu dan memastikan pelajar matrikulasi
tidak terabai.
Cuma kita tidak dapat tawarkan program di peringkat ijazah tetapi diploma dengan pengurangan kredit mata pelajaran.
Kalau kita boleh bantu, kita bantu. Akan tetapi kalau ada satu dasar baru untuk menyelamatkan pelajar ini, saya lagi gembira.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0501&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_02.htm#ixzz2S0g5rSf4 © Utusan Melayu (M) Bhd |
Orang Biasa aje, "Tell me and I'll forget; show me and I may remember; involve me and I'll understand." Pentingnya ILMU untuk di pelajari dan di kongsi bersama....Yang baik jadikan tauladan dan yang buruk jadikan sempadan....
Thursday 2 May 2013
MELAYU KENA DIBERI KESEDARAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment