KUALA LUMPUR 7 Mei - Pemimpin DAP dilihat semakin agresif membakar
sentimen penyokong mereka supaya melakukan bantahan berterusan terhadap
keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Dalam satu khidmat pesanan ringkas (SMS) seorang pemimpin kanan DAP
yang kini disebarkan secara meluas, pemimpin berkenaan menghasut
penyokong parti itu kononnya berlaku penipuan dalam keputusan pilihan
raya umum tersebut.
Antara pembohongan yang terkandung dalam SMS itu kononnya keseluruhan
undi dalam pilihan raya umum kali ini berjumlah 18 juta, sedangkan
rakyat Malaysia yang layak mengundi hanya 12 juta orang.
SMS itu turut mempertikai peratusan keluar mengundi yang melebihi 80
peratus kerana kononnya peratusan tersebut sepatutnya lebih rendah.
Pemimpin berkenaan turut mendakwa sesetengah pusat pengiraan undi
tidak mempunyai wakil Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan pembantu di pusat
itu ditempatkan bagi meningkatkan jumlah undian kepada Barisan Nasional
(BN) ketika waktu rehat dan sewaktu kejadian terputus bekalan elektrik.
Malah, pemimpin berkenaan turut mendakwa pemimpin BN korup dan
mengoyakkan borang 14 Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sekali gus
menyebabkan beberapa kerusi yang sepatutnya dimenangi pembangkang
menjadi milik BN.
Sementara itu, satu lagi SMS dalam bahasa Mandarin dikesan disebar
secara meluas menghasut penyokong pembangkang supaya bangkit memberi
sokongan kepada pemimpin mereka.
SMS itu mendakwa, akhbar Singapura melaporkan, keputusan kemenangan
BN dalam PRU-13 masih belum berakhir dan bakal ada perbalahan pusingan
kedua yang merisaukan.
SMS itu turut memetik kenyataan seorang pemimpin pembangkang
berbunyi: "Para penyokong kami semua jangan risau, mereka (BN) masih
belum menang, dan kita (PR) akan masuk perlawanan pusingan kedua."
SMS sama menyebut: "Seterusnya bakal Perdana Menteri kita Anwar
(Datuk Seri Anwar Ibrahim) akan adakan sidang media untuk dedahkan bukti
bahawa UMNO menipu dalam PRU-13 dan melanggar syarat."
Dalam masa sama, SMS itu mengajak penyokong pembangkang memberi
semangat kepada pemimpin mereka dan kononnya ini adalah harapan terakhir
selain berharap menjadi pergerakan terakhir.
Dalam SMS yang dipercayai berasingan pula, pemimpin pembangkang
menyeru penyokong mereka tidak berputus asa kerana membayangkan mereka
masih mempunyai tempoh 21 hari bagi membantah keputusan PRU-13.
SMS yang disasarkan kepada kaum Cina itu menimbulkan persoalan besar
berhubung tindak-tanduk pemimpin pembangkang yang seolah-olah mengajak
penyokong mereka mencetuskan gelombang bantahan yang boleh menimbulkan
ketegangan.
Tindakan menyebarkan SMS itu juga dilihat tidak wajar kerana selain
memenangi kesemua kerusi yang ditandingi dalam pilihan raya umum lalu,
DAP juga mendapat majoriti cukup besar sekali gus membuktikan dakwaan
berlakunya manipulasi dalam pilihan raya umum lalu adalah fitnah
semata-mata.
No comments:
Post a Comment