BISIK - BISIK AWANG SELAMAT
LIMA hari selepas kejayaan dalam Pilihan Raya
Umum Ke-13 (PRU-13), UMNO menyambut ulang tahun ke 67 secara sederhana
dan penuh kesyukuran semalam.
Sambutan tersebut pasti istimewa apabila UMNO mencatatkan prestasi
lebih baik dengan memenangi 88 kerusi Parlimen berbanding 79 kerusi pada
PRU12.
Kejayaan tersebut menggagalkan sama sekali kegilaan DAP yang mendapat
sokongan majoriti masyarakat Cina untuk menumbangkan kuasa politik
Melayu pada PRU-13. Dengan kata lain, UMNO telah menjadi penyelamat pada
saat-saat getir.
Awang bersyukur UMNO telah dapat memulihkan sokongan orang Melayu
biarpun di sebalik perancangan sistematik pembangkang terutama DAP dan
PKR sejak 2008 lagi.
Kempen Asalkan Bukan UMNO (ABU) tidak berhasil. Malah BN melalui kekuatan UMNO dapat merampas kembali Kedah dan Perak.
Ucapan tahniah harus diberikan kepada Pengerusi BN, Najib Tun Razak
yang juga Presiden UMNO. Kepimpinan Najib antara faktor yang menyumbang
kejayaan BN. Najib dan BN lebih dipercayai oleh rakyat untuk mentadbir
negara berbanding pakatan yang diketuai oleh Anwar Ibrahim.
Najib berjaya memulihkan keyakinan majoriti Melayu dan kaum India
selain mengekalkan sokongan masyarakat bumiputera di Sabah dan Sarawak.
Hakikatnya, tanpa undi Cina BN masih berkuasa.
PRU-13 juga bukan sekadar BN disaingi pakatan pembangkang. Ia
merupakan pilihan raya yang menyaksikan campur tangan asing, yang
menyusup dalam diam menyokong pembangkang.
Daripada bentuk bantuan kewangan yang melimpah, gerakan kempen oleh
pihak agama tertentu hinggalah kepakaran dalam beberapa bidang termasuk
teknologi maklumat (IT).
Tanpa kita sedari, BN berjaya mempertahankan kedaulatan daripada
anasir asing pada PRU kali ini yang pemimpin pembangkang tertentu
membuka laluan kepada pengkhianatan.
Maka kejayaan BN amat besar maknanya. Tahniah yang istimewa sudah
tentu kepada rakyat yang memilih BN dan mendokong kesejahteraan.
Juga kepada seluruh parti komponen BN. Kepada MCA dan Gerakan,
meskipun mencatatkan prestasi buruk, mereka wajar dihargai kerana
menampakkan keikhlasan dengan menolak ekstremisme dan cauvinisme
politik. Setidak-tidaknya, mereka tidak merelakan diri ditipu.
Kepada pemimpin negara, biarlah sokongan masyarakat Cina datang
sendiri, janganlah diminta-minta lagi. Kerajaan BN tidak boleh tertipu
untuk kali ketiga pada PRU-14 nanti. Risikonya sangat besar maka
strategi perlu diubah dan lebih waspada dengan muslihat politik yang
bermuka-muka.
Jangan sampai yang dikejar tidak dapat, yang dikendung berciciran. Ia
hampir-hampir terjadi pada PRU-13. Pelbagai perkara dilakukan dan
diberikan kepada kaum Cina seperti kata Presiden Parti Cinta Malaysia,
Huan Cheng Guan tetapi tidak dihargai. Ramai juga yang melihatnya
sebagai pengkhianatan dan tidak mengenang budi.
Walaupun menjadi tanggungjawab untuk kerajaan berlaku adil kepada
semua namun keputusan PRU-13 mesti diterjemahkan dengan lebih menghargai
golongan dan pihak yang memberi mandat kepada BN.
Daripada soal pembentukan Kabinet dan penyusunan kementerian
hinggalah kepada polisi terutama membantu lebih ramai orang Melayu,
India, bumiputera Sabah dan Sarawak yang ketinggalan antaranya dalam
perusahaan kecil dan sederhana.
Cara itu sahaja yang dapat memberikan mesej yang jelas. Jika tidak,
kerajaan akan sentiasa diambil mudah dan akhirnya dipermainkan.
No comments:
Post a Comment