KUALA LUMPUR 15 Mei - Kumpulan tentera siber yang
dipercayai ditaja DAP, 'Red Bean Army' kini bertungkus lumus
menyebarkan berita palsu di internet kononnya kerajaan telah menaikkan
harga barangan asas seperti petrol, minyak masak, gas memasak, gula,
tepung dan roti bagi menghasut rakyat untuk terus membenci kerajaan.
Menurut beberapa blog, dakyah kumpulan itu di laman sosial seperti
Facebook dan Twitter telah berhasil membuatkan pengguna internet berasa
marah kepada kerajaan, sekali gus mempercayai kononnya pakatan
pembangkang merupakan pentadbir yang lebih baik daripada Barisan
Nasional (BN).
Pengendali blog tun faisal dot com sebagai contoh, mendedahkan
empat penipuan pembangkang tentang kenaikan harga gula yang tidak benar
kecuali jika dilakukan oleh pekedai yang menyokong pembangkang serta
pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) oleh kerajaan yang
sebenarnya belum dikuatkuasakan sehingga kini.
Dua lagi penipuan katanya, termasuk oleh Timbalan Setiausaha Agung
Pas, Dr. Syed Azman Syed Ahmad Nawawi yang mendakwa kerajaan menaikkan
harga gas memasak sebanyak RM2 kepada RM30 setong sedangkan perkara itu
tidak benar, selain kenaikan harga roti jenama Gardenia yang tidak
berasas sama sekali.
Syed Azman didapati menyebarkan dakyah mengenai kenaikan harga gas
itu di akaun Twitternya pada Khamis lalu yang kemudiannya di tweet
semula oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar
Ibrahim.
"Rakyat yang naif dan mempercayai mereka, hanya akan dipermainkan disebabkan kepercayaan ini.
"Disebabkan itu jangan undi dan sokong penipu, kerana bila mereka menipu dan ada share, like dan retweet
penipuan mereka, anda juga turut bersubahat menipu rakyat Malaysia. Di
bawah adalah struktur harga gas di Malaysia," katanya di http://tunfaisal.blogspot.com Sabtu lalu.
Blog The Flying Kick pula mendakwa kenaikan harga barang
selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) oleh pekedai yang menyokong
pembangkang memang berlaku sebagai sabotaj terhadap kerajaan.
Katanya, peruncit tersebut kebanyakannya kaum Cina dan bukan dalam kalangan Melayu yang masih bersama UMNO dan BN.
"Malaysia sekarang ini sedang dilanda demam fitnah yang berterusan.
Kepala fitnah utamanya adalah Anwar Ibrahim. DAP pula membantu dari
belakang dengan menyediakan kemudahan media dan penerangan," katanya.
Disebabkan dakyah dan manipulasi berita palsu oleh Red Bean Army di
internet, Gardenia Bakeries (KL) Sdn. Bhd. terpaksa membuat penjelasan
harga produknya tidak dinaikkan.
Gerakan terancang kumpulan tersebut dilihat bertujuan menguatkan
hujah mereka apabila sering menuduh kerajaan akan menaikkan harga barang
selepas pilihan raya diadakan.
No comments:
Post a Comment