IPOH 13 Mei - Mufti Perak, Tan Sri Harussani
Zakaria menasihatkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim
menerima keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) sebagai ketentuan
takdir.
Menurut beliau, tindakan Anwar mengetuai siri bantahan dan
perhimpunan seperti yang dilakukannya sekarang hanya akan menjadikan
negara ini tidak aman, malahan mendorong perpecahan lebih besar dalam
kalangan rakyat.
Katanya, sebagai rakyat di sebuah negara mengamalkan sistem
demokrasi, Anwar perlu menganggap kekalahan tersebut sebagai percaturan
yang telah ditentukan Allah.
''Dia (Anwar) kata mahu demokrasi dan kalau begitu kena terimalah
keputusan itu, kenapa nak bantah? Pada saya, sebenarnya bukan kerana
soal demokrasi tapi dia (Anwar) buat (bantahan) kerana tak suka
kerajaan, itu saja.
''Nasihat saya satu sahaja. Mereka kena terima benda ini sebagai
takdir. Dah tak boleh menang, nak buat macam mana? Kalau diikutkan rasa
tak puas hati begitu, sampai bila negara boleh aman, akhirnya jadi
bergaduh nanti," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Harussani mengulas tindakan Anwar menghasut rakyat mengadakan
perhimpunan termasuk di Stadium Petaling Jaya di Kelana Jaya, Selangor
Rabu lalu bagi membantah keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13.
Menurut beliau, rakyat telah membuat pilihan dengan memilih kerajaan
Barisan Nasional (BN) mentadbir negara dan semua pihak termasuk
pembangkang patut menghormatinya.
Beliau berkata, tindakan Anwar itu hanya akan menyebabkan keamanan
negara tergugat dan menjadi mangsa ialah rakyat yang tidak bersalah.
''Ini sebenarnya bukan politik sahaja tapi taksub perkauman. Bila
kehendak sendiri tak tercapai yang jadi mangsa rakyat. Mereka ikut
sertai dia (Anwar) membantah supaya dapat jajah kita, hapuskan
Perlembagaan tapi rancangan mereka tak jadi begitu, ini yang mereka
marah.
''Mereka undi Melayu langsung tidak, kita pula tolong mereka kalahkan
Melayu. Tetapi tetap kalah dan bila begitu, (masih) kata (pilihan raya)
tak betul," katanya.
Beliau turut melontarkan pertanyaan tentang kehendak sebenar pembangkang.
''Saya juga tak faham apa mereka (pembangkang) ini nak sebenarnya
apabila pada masa sama Dewan Ulama Pas pula buat keputusan meminta semua
kepimpinan pembangkang menerima keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13,"
katanya.
No comments:
Post a Comment