Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Thursday 23 May 2013

Hina, cabar Raja Berperlembagaan





MASUK minggu ketiga selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), nampaknya politiking tetap berterusan sehinggakan banyak masa untuk mulakan kerja dihabiskan menjawab tuduhan dan tohmahan yang dibuat secara melulu.

Agak menyedihkan apabila ada kenyataan yang melampau dan kurang cerdik dikeluarkan 'cerdik pandai' semata-mata untuk laba politik dan menjamin kelangsungan kedudukan masing-masing dalam parti.

Terbaharu, timbul pula cadangan untuk memansuhkan Dewan Negara yang dikeluarkan oleh seorang pengamal undang-undang senior dan ahli politik veteran negara atas alasan ia menjadi 'pintu belakang' untuk masuk ke Kabinet.

Teringat kembali pepatah, jangan dibakar kelambu kerana marahkan nyamuk, begitu juga tidak sesuai menamatkan sebuah institusi negara semata-mata kerana tidak setuju nama-nama Senator yang dicadangkan pemimpin parti lawan.

Menyanggah Dewan Negara daripada Perlembagaan sebenarnya sesuatu yang sangat besar, jauh menyimpang daripada asas-asas yang turut melindungi hak-hak Melayu dan bumiputera mahupun menjamin kerakyatan dan hak kaum lain, malahan menghina Yang di-Pertuan Agong.

Lebih malang apabila ada yang menyokong khususnya mereka yang tidak memahami sistem perundangan dan politik negara sebaliknya hanya mengiyakan apa sahaja ditutur pemimpin idola masing-masing.

Dalam aspek ini, mungkin kerajaan juga perlu mengambil tanggungjawab mendidik kembali rakyat khususnya generasi muda tentang pelbagai sistem, prosedur, aturan dan tertib yang diamalkan di negara ini sejak Raja Berperlembagaan, Demokrasi Berparlimen dan Perlembagaan Negara menjadi teras Persekutuan Malaysia.

Bagi Pensyarah Undang-Undang dan Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Madya Dr. Shamrahayu Abd. Aziz, sudah sampai masanya rakyat memahami sistem pemerintahan dan politik negara sebelum bersetuju dengan sesuatu serta perlu menjauhi 'ilmu' daripada orang yang tiada pengetahuan tetapi mempunyai kepentingan diri.

"Dewan Negara mempunyai tiga fungsi utama iaitu menjaga kepentingan negeri-negeri, tempat meletak perwakilan kaum atau kumpulan minoriti serta meluluskan rang undang-undang.

"Pertama, Dewan ini ditubuhkan demi melindungi hak negeri-negeri berdaulat melalui perjanjian (Perlembagaan) selepas menyertai Persekutuan Malaysia dengan dua senator dilantik setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menzahirkan hasrat negeri tersebut," katanya.

Tambahnya, Dewan Negara juga ruang untuk kaum, puak atau kumpulan minoriti yang tidak bertanding atau menyertai PRU menyuarakan pandangan mereka.

Di samping itu, beliau memaklumkan Dewan itu bertindak sebagai badan perundangan meluluskan undang-undang mengikut kepentingan negara dan bukannya atas elemen politik memandangkan ahli  Dewan Rakyat semuanya ahli politik yang mungkin memberi kesan 'bahang' politik ketika perbahasan undang-undang.

"Namun, ada satu lagi fungsi Dewan Negara yang lebih penting iaitu sebagai manifestasi sistem Raja Berperlembagaan yang menjaga ketiga-tiga fungsi tadi termasuk juga hak semua kumpulan masyarakat di negara ini.

"Orang mungkin fikir Raja bertindak mengikut nasihat sahaja tetapi itu tidak benar. Raja yang menentukan ahli Dewan Negara seperti sistem Westminster di United Kingdom (UK)," ujarnya.

Tegasnya, sistem Raja Berperlembagaan Malaysia datang seiring dengan sistem Demokrasi Berparlimen (melalui PRU) dan rakyat tidak boleh melihat aspek pilihan raya sahaja.

Oleh itu, Shamrahayu melihat cubaan membandingkan sistem di Malaysia dan Singapura dalam konteks semasa merupakan satu contoh yang salah kerana negara itu tiada Raja Berperlembagaan dan merupakan sebuah negara republik.

"Jangan lupa kita ada dua sistem itu, kenapa pula Singapura dijadikan contoh (perbandingan)? Sebagai peguam (Karpal Singh), beliau perlu berikan analogi setimpal.

"Rakyat juga tidak boleh terpengaruh dengan cadangan berbaur politik seperti ini, kita perlu juga tengok sejarah, sosiologi dan faktor lain, perlu faham sepenuhnya apa yang dibincangkan sebelum menyokongnya," jelasnya.

Beliau bagaimanapun memahami apa yang dikatakan lantikan 'pintu belakang' itu memandangkan jawatan Senator sepatutnya untuk golongan profesional dalam bidang masing-masing serta suara kumpulan minoriti.

Namun, beliau lebih cenderung untuk menambah baik atau transformasi Dewan Negara termasuk memilih Senator mengikut kriterianya daripada memansuhkan Dewan tersebut atas alasan membazirkan duit rakyat.

"Jangan dibakar kelambu kerana marahkan nyamuk. Perlu diingat Dewan Negara itu manifestasi Raja Berperlembagaan (yang tidak patut dicabar)," tegasnya.

Pengerusi Sukarelawan Peguam (SukaGuam) yang juga Pengerusi Khairul Group, Datuk Khairul Anwar Rahmat pula berpendapat kenyataan mahu memansuhkan Dewan Negara itu angkuh, bongkak dan biadap terhadap Yang di-Pertuan Agong.

"Janganlah riak walaupun dipilih rakyat (melalui pilihan raya), kadang kala atas populariti sahaja. Ahli Dewan Negara dilantik atas kebolehan bukan populariti seperti Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank, Datuk Seri Abdul Wahid Omar yang pakar dalam bidang ekonomi.

"Kenyataan Karpal itu bercanggah dengan sistem Raja Berperlembagaan, tidak menghormati Seri Paduka, naik tocang dan lupa bumi mana dipijak. Jika tidak boleh duduk bawah sistem (pemerintahan) kita, saya sokong saranan untuk orang jenis ini 'keluar'," katanya.

Beliau melihat Karpal tidak memahami kuasa lantikan berada di tangan Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri cuma mengemukakan nama yang diperolehi dari negeri-negeri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak lain.

Jelasnya, Perdana Menteri bukan memegang kuasa mutlak tetapi sekadar menasihat sahaja dan jika Karpal mahu mencabar lantikan itu maknanya mencabar Seri Paduka kerana senator hanya boleh dilantik dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong.

"Karpal tidak faham konsep muafakat dan musyawarah. Penyokong pembangkang juga janganlah taksub (sokong Karpal) sampai lupa sejarah dan Perlembagaan kita, berpijaklah di bumi nyata.

"Kalau sokong saranan itu, boleh korbankan hak ramai pihak seperti orang Asli, orang kurang upaya (OKU) dan lain-lain minoriti yang sukar menang melalui pilihan raya. Terpulanglah kepada orang Melayu menilai Karpal layak jadi pemimpin atau tidak," tegasnya.
 

No comments: