KUALA LUMPUR 27 Mei - Bekas Menteri Kewangan, Tun
Daim Zainuddin menyelar Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk
Seri Anwar Ibrahim sebagai pemimpin yang tetap mahu menjadi Perdana
Menteri sehingga ke saat kematiannya.
Selain Anwar, katanya, para pemimpin pembangkang seperti Presiden
Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang tidak
mempunyai nilai moral tinggi untuk bersara setelah kalah dan ini berbeza
dengan pemimpin politik Barat yang menerima kekalahan secara terbuka
dan meletak jawatan seperti bekas Perdana Menteri Britain, Gordon Brown.
"Biar saya ingatkan anda, Anwar telah mengatakan dia akan bersara
jika gagal menawan Putrajaya (memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13
(PRU-13). Anwar tidak mengotakan janji.
"Dia (Anwar) tidak akan bersara sehinggalah pada saat kematiannya.
Dia tetap mahu jadi perdana menteri," katanya dalam satu wawancara
dengan akhbar China Press yang dipetik daripada blog http://kadirjasin.blogspot.com/ hari ini.
Daim turut mengkritik tindakan pembangkang khususnya DAP dan PKR yang
sehingga kini tidak dapat menerima kekalahan dan menganjurkan siri
perhimpunan haram di seluruh negara bagi membantah keputusan PRU-13 yang
tidak memihak kepada mereka.
Katanya, tindakan itu sengaja dilakukan pembangkang khususnya Anwar
dan Kit Siang secara tidak bertanggungjawab agar mereka ditahan polis
kerana perhimpunan sebegitu dikhuatiri menimbulkan insiden tidak
diingini antara kaum, khususnya Melayu dan Cina.
"Bagaimanapun Anwar dan Kit Siang tidak peduli (kerana) jika terjadi
lagi insiden antara kaum, mereka akan menyalahkan Barisan Nasional (BN).
Jika anda sanggup mengorbankan keamanan dan kestabilan untuk keuntungan
anda, kepimpinan jenis apakah ini?" soalnya.
Beliau menambah, para pengundi Cina yang hampir keseluruhan memilih
pakatan pembangkang dalam PRU-13 sebenarnya telah termakan dakyah serta
perkauman DAP kononnya masyarakat tersebut adalah mangsa yang
dipinggirkan di negara ini.
Katanya, DAP juga menyebarkan sentimen bahawa PRU-13 lalu merupakan
peluang bagi masyarakat Cina untuk 'mengajar' MCA dan Gerakan yang
selama ini berada di bawah telunjuk UMNO dengan memberikan mesej bahawa
mereka tidak mahu lagi dibuli UMNO dan Melayu.
"Cybertrooper mereka (pembangkang) bekerja 24 jam sehari
dengan menghantar maklumat salah, putar belit, khabar angin dan
sebagainya. Di mana (orang) Bangladesh? Di manakah kejadian terputus
bekalan elektrik? Berapa ramai yang hilang dakwat di jari mereka
mengundi sebanyak dua kali?
"Tun Dr. Mahathir Mohamad melarikan diri dengan menaiki jet peribadi?
Penipuan demi penipuan sehingga masyarakat Cina percaya kepada (slogan)
'Ubah' dan 'Ini kalilah'," katanya.
No comments:
Post a Comment