KUALA LUMPUR 26 Mei - Ketua Pembangkang, Datuk
Seri Anwar Ibrahim diminta berhenti menjadikan keputusan Pilihan Raya
Umum Ke-13 (PRU-13) sebagai alasan untuk menghasut dan menanam sifat
benci rakyat terhadap kerajaan.
Penganalisis Politik, Dr. Chandra Muzaffar berkata, Anwar masih
menggunakan pendekatan sama iaitu mengelirukan rakyat dengan menggunakan
pembohongan kononnya berlaku 'penipuan besar-besaran' semasa pilihan
raya.
Tambahnya, ekoran alasan itu, rakyat yang termakan hasutan telah
menyertai bantahan serta perhimpunan untuk menggulingkan kerajaan
walaupun cara tersebut adalah tidak demokratik dan tidak mengikut
undang-undang negara.
"Saya melihat Anwar mahu jadikan negara ini seperti Mesir yang berjaya menukar kerajaan sedia ada melalui perhimpunan.
"Ini adalah satu-satunya taktik menjadi Perdana Menteri dengan segera
apabila beliau gagal meraih sokongan rakyat melalui peti undi," katanya
ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak
berhubung dakwaan pembangkang bahawa berlakunya penipuan pada PRU-13
lalu tetapi mereka gagal menunjukkan bukti, malah tidak membuat aduan
rasmi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Beliau berpendapat, gelombang kebencian yang dicetuskan Ketua Pembangkang itu akan berterusan selagi mendapat sokongan rakyat.
"Fahaman politik rakyat masih lagi dangkal dan kerana itu golongan
muda mudah taksub dengan pemimpin yang disifatkan sebagai 'raja
penipuan' apabila Anwar telah mengumumkan beliau menang pilihan raya
pukul 6.57 petang sedangkan ketika itu masih proses pengiraan undi.
"Anwar bijak bermain psikologi dan persepsi dalam menarik rakyat
menuding jari kepada kerajaan apabila keputusan pilihan raya menunjukkan
sebaliknya. Rakyat perlu sedar Anwar sedang mengerah tenaga mereka
untuk mencapai impiannya," ujar Chandra.
Pensyarah Sains Politik, Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan
Strategi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Shamsul Adabi
Mamat turut melihat Anwar tidak akan berhenti daripada membuat provokasi
dan terus 'membakar' rakyat kerana cara itu sahaja membolehkan
pembangkang memperolehi kuasa.
'Kebijaksanaan' Anwar, katanya, berjaya mengarahkan pertubuhan bukan
kerajaan propembangkang, DAP dan Pas bersubahat dalam agendanya
mengelirukan rakyat.
Pun begitu jelasnya, perkara tersebut boleh diatasi dengan menggunakan pendekatan lebih tegas.
"Sudah tiba masanya Kementerian Dalam Negeri bersama pihak berkuasa
berhenti daripada sekadar memberi arahan. Masanya sudah tiba untuk
dikenakan tindakan tegas terhadap pengkhianat negara.
"Penahanan perlu dibuat secara serius termasuk pesalah disabitkan di
bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Akta Perhimpunan Aman 2012.
Cara berlembut tidak lagi berkesan kepada 'orang keras kepala' seperti
mereka," katanya.
No comments:
Post a Comment