SELEPAS mengadakan lapan perhimpunan haram
sebelum ini di seluruh negara, semalam mereka meneruskan acara songsang
itu di Petaling Jaya dengan hujah utama berlaku penipuan dalam Pilihan
Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Seperti biasa yang menjadi sasaran serangan mereka ialah Barisan
Nasional (BN), Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Penulis tidak berhasrat menyentuh jumlah yang hadir, pembangkang
berbangga untuk menyatakan berapa sahaja jumlah kehadiran tetapi apa
yang ingin dipersoalkan adakah ia memberi manfaat kepada rakyat dan
negara secara keseluruhannya.
Perhimpunan haram yang diadakan oleh pembangkang itu tidak lebih
daripada 'sarkas politik' bagi melahirkan perasaan tidak puas hati serta
mengubat hati yang tidak mampu menerima kekalahan dalam pilihan raya
umum lalu.
Apatah lagi, ia sesuatu kekecewaan bagi pakatan pembangkang khususnya
Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP kerana cita-cita mereka untuk
meletakkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri terus
menemui kegagalan.
Selain melemparkan pelbagai tuduhan yang sepatutnya dibuktikan di
mahkamah, pembangkang juga terus mengelirukan rakyat dengan menyatakan
mereka menang dalam pilihan raya kali ini kerana mendapat undi popular
lebih banyak daripada BN.
Tidak perlu lagi kita menjelaskan kepada puak-puak pembangkang ini
apa bezanya first past the post iaitu cuma seorang wakil rakyat mewakili
kawasan ditandingi dan bukan single transferable vote seperti mana diguna negara-negara republik.
Buat penjelasan macam mana pun, mereka tidak akan terima kerana
mereka sudah butakan mata, pekakkan telinga dan menutup hati untuk
menerima fakta sebenar.
Pemimpin-pemimpin mereka yang kononnya memperjuangkan suara rakyat
suara keramat terus menipu dan mengelirukan rakyat dengan memainkan isu
undi popular ini.
Mereka tidak jujur dalam berpolitik apatah lagi bagi menegakkan
demokrasi. Sebab itulah mereka bersedia melakukan penipuan dan
pembohongan bagi mengelirukan rakyat.
Apa yang anehnya, ketika mereka menyatakan SPR bersekongkol dengan BN
melakukan penipuan, mereka mengiktiraf pula keputusan-keputusan lain
yang menyebelahi mereka.
Sebab itulah, penulis beranggapan perhimpunan haram anjuran
pembangkang sekadar 'sarkas politik' untuk melempiaskan kemarahan mereka
kerana kegagalan menguasai kerusi Parlimen yang boleh melayakkan mereka
menubuhkan kerajaan.
Tidak perlu berasa hairan dengan 'sarkas politik' pembangkang ini
kerana mereka adalah kelompok yang 'gila bayang' sebab sebelum ini
pemimpin-pemimpin mereka begitu berangan-angan apa akan berlaku jika
mereka memerintah sehingga ada yang berkhayal soal bagaimana acara
mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri berlangsung.
Apabila sudah ada pemimpin utama yang dah berkhayal jadi Perdana
Menteri, maka si pengikut-pengikutnya pula berkhayal mengangkat sumpah
sebagai anggota Kabinet.
Dan mereka terus mengelamun dalam arus yang mereka cipta sendiri
kononnya rakyat kini akan menyebelahi mereka bagi menumbangkan kerajaan
BN.
Namun ternyata semua itu tidak menjadi kenyataan, keputusan PRU-13 meranapkan impian dan mimpi indah pembangkang.
Jika pada 2008, mereka mencipta impian 16 September dengan
menguar-uarkan pembangkang akan menubuhkan kerajaan melalui pintu
belakang berikutan kononnya ada ahli Parlimen BN yang akan melompat
parti, pada pilihan raya umum kali ini tuduhan BN menipu pula menjadi
modal.
Inilah standard pembangkang yang ada di negara kita. Mereka sentiasa
sahaja tidak mahu menerima kekalahan, sebaliknya mahu menerima
kemenangan sahaja.
Sebab itulah, apa yang dipamerkan oleh pembangkang ini ibarat 'sarkas politik' yang tidak akan menguntungkan masa depan negara.
Perasaan teruja untuk berkuasa, kemaruk kepada kuasa dan ketagih
menawan Putrajaya menyebabkan mereka bersedia mempertaruhkan
segala-galanya asalkan impian mereka tercapai.
Pemimpin-pemimpin pembangkang bersedia menjadi 'badut-badut' untuk
'menghiburkan' penyokong-penyokong mereka melalui kata-kata hasutan
dengan niat yang boleh mendorong kepada tercetusnya huru-hara kepada
negara.
Oleh kerana mereka bersedia berbuat demikian demi memuaskan nafsu
politik mereka, maka mereka juga perlu bersedia menerima tindak balas
pihak polis dalam usaha memastikan suara majoriti yang telah membuat
keputusan memilih BN dalam PRU-13 lalu tidak bangkit menentang kegilaan
pembangkang merebut kuasa.
Jika pembangkang semakin yakin bahawa mereka bertambah kuat, mereka
tidak perlu bimbang untuk menunggu lima tahun lagi bagi bertarung dalam
Pilihan Raya Umum Ke-14.
Tetapi pembangkang sudah tidak sabar untuk berkuasa, sebab itulah
mereka mahu menyeret rakyat sekali lagi turun ke jalanan dan mengajar
rakyat melanggar undang-undang melalui perhimpunan haram.
Sebenarnya, mereka hanya mahu mencetuskan huru-hara di negara ini
dengan menjatuhkan kerajaan secara tidak sah. Sebab itulah, dakwaan
kononnya berlaku penipuan hanyalah bahan bagi memeriahkan 'sarkas
politik' pembangkang.
Kalau pembangkang yakin ada penipuan dan akan berjaya di mahkamah
nanti, kumpulkan bukti dan buatlah petisyen. Tambahan pula Ketua Hakim
Negara, Tan Sri Ariffin Zakaria sudah meminta supaya semua kes petisyen
PRU-13 diselesaikan dalam tempoh enam bulan.
Namun kita percaya pembangkang tidak jujur dalam soal ini kerana
mereka lebih suka untuk mengadakan demonstrasi jalanan yang sudah
menjadi 'budaya politik' mereka sejak 1998.
Bagaimanapun dalam keghairahan itu mereka terlupa dan sengaja
melupakan bahawa biar apa pun berlaku kerajaan BN tidak akan tumbang
melalui demonstrasi jalanan.
Ia memandangkan rakyat Malaysia termasuk dalam kalangan sebahagian
penyokong pembangkang sendiri pun tidak suka kepada huru-hara dan
keganasan.
Kalau betullah majoriti rakyat Malaysia tidak percaya kepada sistem
pilihan raya yang dikendali oleh SPR sudah pasti jumlah keluar mengundi
tidak akan mencecah 11,257,147 juta (84 peratus) daripada 13,268,002
pengundi berdaftar.
Malah mana mungkin Pas akan kekal memerintah di Kelantan, DAP di Pulau Pinang dan PKR di Selangor.
Oleh itu cukup-cukuplah memperbodohkan rakyat kerana akhirnya rakyat
akan mengetahui juga siapa sebenarnya yang sengaja memperbodohkan diri
semata-mata kemaruk kuasa!
1 comment:
KETUA BADUT POLITIK SAPE LG BROO KLU BKN ANUWAR PANDIKUTTI..JAJA PENIPUAN SANA SINI..SELAGI TAK DPT KONKER PUTRAJAYA DIA TAK PUAS HATI BROO KEHKEHKEH
Post a Comment