DUNGUN 20 Mei - Para graduan Universiti Teknologi
Mara (UiTM) diseru sentiasa bersikap mengenang budi dan membalas
keistimewaan yang mereka terima dengan membawa kebaikan kepada agama,
bangsa dan negara.
Pro-Canselor UiTM, Tan Sri Nuraizah Abdul Hamid berkata, dengan
kedudukan dan jawatan yang disandang kelak, mereka perlu bersama
membimbing masyarakat ke arah kehidupan yang lebih sejahtera.
Menurutnya, terlalu banyak keistimewaan yang telah diberi oleh
kerajaan kepada pelajar yang mungkin mereka tidak sedari di samping
penekanan ke arah pembentukan jati diri agar tidak lupa dari mana mereka
bermula.
"Mereka juga telah diserapkan dengan nilai-nilai murni supaya apabila
tamat pengajian nanti, menjadi seorang yang berguna kepada masyarakat,
agama, bangsa dan negara," katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan
Istiadat Konvokesyen UiTM kali Ke-78 di Hotel UiTM Dungun di sini
semalam.
Pada majlis itu, beliau menganugerahkan ijazah sarjana muda dan
diploma kepada 1,357 orang pelajar UiTM yang mengambil pelbagai bidang
kursus termasuk 12 orang graduan yang cemerlang menerima Anugerah Naib
Canselor.
Ditanya mengenai penglibatan sesetengah lepasan UiTM yang turut
terjejak dengan demonstrasi jalanan, Nuraizah menjelaskan, mereka berhak
untuk berpolitik tetapi janganlah bersikap keterlaluan sehingga
mencetuskan suasana tidak tenteram dan membimbangkan.
"Kita tidak boleh menghalang jika mereka ingin menceburi mana-mana
parti politik tetapi saya menyeru mereka tidak menyertai demonstrasi
jalanan yang boleh membahayakan diri sendiri serta menyusahkan
masyarakat yang cintakan keharmonian.
"Sebab itulah saya menekankan agar mereka mempunyai sifat
tanggungjawab terhadap masyarakat yang sangat tinggi dan tingkah laku
yang kurang sopan kita tidak galakkan," katanya.
KOMEN : TAHNIAH KEPADA YANG BERJAYA...
No comments:
Post a Comment