Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Thursday 23 May 2013

Ketegasan Zahid meresahkan pemimpin pembangkang






PEMIMPIN-PEMIMPIN pembangkang ternyata berasa tidak selesa dengan ketegasan yang ditunjukkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Jika sebelum ini DAP menggesa beliau menarik balik kenyataan berhubung pembangkang perlu berhijrah ke negara republik kalau tidak boleh menerima sistem pilihan raya di negara ini, kini gelaran Dewan Pemuda Pas pula ‘menyerang’ beliau.

Ketua Pemuda Pas, Nasrudin Hassan dalam kenyataan yang dilaporkan oleh Harakahdaily semalam, menyifatkan kenyataan amaran Ahmad Zahid terhadap himpunan haram pembangkang sebagai menyekat hak rakyat untuk berhimpun dan membunyikan semboyan permusuhan terhadap rakyat.

Sekali lagi kita menyaksikan kedangkalan Nasrudin yang mungkin teruja terpilih sebagai Ahli Parlimen Temerloh berhujah. Beliau cuba menonjolkan diri sebagai pembela kepada agenda songsang pakatan pembangkang. Mungkin Nasrudin tidak menerima maklumat yang betul atau baru ‘tersedar dari tidur’ untuk memahami realiti atau fakta sebenar bahawa perhimpunan haram yang diadakan pakatan pembangkang tiada kaitan dengan memperjuangkan hak rakyat.

Sebaliknya ia sekadar memenuhi agenda Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kecewa kerana impiannya untuk menjadi Perdana Menteri musnah. Dakwaan berlakunya penipuan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) adalah perancangan DAP yang tidak dapat menerima hakikat bahawa pakatan pembangkang gagal menumbangkan Barisan Nasional (BN).

Soalnya, sebelum Nasrudin membuat kenyataan, adakah beliau tahu bahawa kepimpinan tertinggi Pas tidak bersetuju dengan apa yang dilakukan oleh Anwar dan DAP. Kenapa Nasrudin hendak menjadi pembela kepada perhimpunan haram? Tahukah Nasrudin siapa yang paling ramai hadir ke perhimpunan-perhimpunan haram berkenaan?

Paling memualkan, Nasrudin mendakwa Pemuda Pas tidak mahu peristiwa kononnya peserta perhimpunan haram Bersih ditangkap, dipukul, manakala kaum wanita, kanak-kanak dan orang tua akan dikasari dengan gas pemedih mata serta diterajang dan ditangkap berulang.

Jelas sekali Nasrudin bercakap hanya mengikut nafsu politik, kalau itu tuduhannya bagaimana pula dengan tindakan ganas peserta perhimpunan haram Bersih menyerang kenderaan polis sehingga seorang anggota pasukan itu cedera? Kenapa Nasrudin tidak mengulas mengenai tindakan biadab dan ganas Unit Amal Pas merempuh sekatan polis dalam perhimpunan haram itu?

Malang sekali walaupun ada pemimpin Pas yang menentang perhimpunan haram, namun Nasrudin nampaknya senada dengan pemimpin PKR dan DAP. Cukup-cukuplah dalam setiap perhimpunan haram Unit Amal Pas menjadi ‘pak turut’.

Adalah lebih baik jika Nasrudin yang kini bergelar Yang Berhormat mengkaji dahulu sesuatu fakta sebelum membuat kenyataan. Amaran Ahmad Zahid bukanlah satu ugutan tetapi peringatan kepada pakatan pembangkang supaya menghentikan kerja gila mereka dalam mengadakan perhimpunan haram.

Pihak berkuasa khususnya Kementerian Dalam Negeri melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak boleh selama-lamanya membiarkan pembangkang melakukan apa sahaja kononnya atas nama demokrasi dan memperjuangkan kebenaran serta keadilan.

Jika benar berlaku penipuan seperti didakwa oleh pembangkang maka mereka masih boleh memilih saluran undang-undang untuk menyelesaikannya dan bukan melalui demonstrasi jalanan.

Malahan Nasrudin sendiri kalau sudah yakin sangat berlaku penipuan dalam PRU -13 tidak perlulah mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen, jangan amalkan sikap berpilih-pilih. Ia memandang dalam kenyataan beliau, Nasrudin berhujah, jika kerajaan mengambil tindakan tegas, ia bererti kerajaan gagal memahami aspirasi rakyat mungkin juga pemimpin dianggap bersetuju dengan segala penyelewengan dan penipuan yang didakwa berlaku dalam pilihan raya.

Kalau beliau tidak mahu berbuat demikian, maka sepatutnya Nasrudin memberi nasihat kepada rakan-rakannya dalam pakatan pembangkang dan bukannya sewenang-wenangnya melemparkan tuduhan kepada Ahmad Zahid.

Sebagai menteri yang bertanggungjawab menjaga keselamatan negara, Ahmad Zahid hanya memberi peringatan kepada pembangkang terhadap keghairahan mereka untuk terus mencabar undang-undang melalui perhimpunan haram.

Apa istimewanya pembangkang sehingga apa juga yang mereka lakukan tidak boleh ditegur atau dihalang biar pun melanggar undang-undang? Apakah pembangkang berasa kuat memandangkan perhimpunan haram mereka dihadiri ribuan orang?

Tetapi itu bukan bermakna mereka berada di pihak yang betul. Jumlah kehadiran itu disebabkan ada kalangan rakyat yang terpengaruh dengan dakyah pembangkang kononnya berlaku penyelewengan dalam pilihan raya sehingga memungkinkan impian pembangkang untuk menawan Putrajaya gagal. Kalau betullah berlaku penipuan, kenapakah pembangkang hanya menerima keputusan yang mereka menang sahaja dan mempertikaikan kekalahan mereka di kawasan-kawasan tertentu.

Dalam soal ini adalah lebih baik jika Nasrudin mengkaji secara mendalam apa perancangan di sebalik perhimpunan haram itu diadakan. Ia bukan untuk menegakkan kebenaran, sebaliknya mahu menjatuhkan kerajaan secara tidak demokratik.

Mungkin Nasrudin tidak mendapat maklumat terkini, maklumlah selama ini pun Pas hanya dilihat sebagai ‘pak turut’ dalam pakatan pembangkang sebab itulah mereka tidak mengetahui sebarang agenda di sebalik apa yang dilakukan oleh PKR dan DAP.

Bagaimanapun penulis percaya, kenyataan Nasrudin tidak mungkin menjadikan beliau ‘wira’ sebaliknya hanya meletakkannya sebaris dengan pemimpin PKR dan DAP yang semakin bimbang dengan ketegasan yang ditunjukkan oleh Ahmad Zahid.

Apatah lagi Ahmad Zahid sendiri sudah memberi kuasa penuh kepada PDRM untuk bertindak bagi membanteras apa juga usaha yang boleh menggugat keselamatan negara.

Kalau betul pembangkang berada di pihak benar, mereka tidak akan memilih jalan yang boleh menghuru-harakan negara. Kenapakah perlu turun ke jalanan untuk melakukan protes keputusan pilihan raya, sedangkan mereka dikhabarkan mempunyai barisan peguam yang hebat-hebat untuk mencabar perkara itu di mahkamah.

Oleh itu Nasrudin yang dianggap Ketua Pemuda yang paling lemah pernah dilahirkan oleh Pas perlu mengkaji fakta dan mematuhi nasihat Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib yang mahu penyokong-penyokong parti itu menerima keputusan PRU-13 dengan fikiran terbuka.

Mungkin Nasrudin hendak menonjolkan dirinya sebagai pemimpin pelapis pembangkang yang lantang, maklumlah pemilihan Pas akan diadakan tidak lama lagi.


No comments: