SEREMBAN 16 Mei - Tan Sri Muhyiddin Yassin
berkata, tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak
menggabungkan Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi di
bawah satu bumbung adalah satu keputusan tepat.
Kata Timbalan Perdana Menteri, pelantikan seorang Menteri Kedua juga
melambangkan keprihatinan kepimpinan Perdana Menteri untuk melihat
bidang pendidikan di negara ini dapat diurus dengan lebih cekap dan
menyumbang secara lebih berkesan kepada kemajuan negara.
Muhyiddin juga berkata, beliau telah mendapat keizinan daripada
Perdana Menteri supaya menggunakan nama Kementerian Pelajaran sahaja
bagi penggabungan dua kementerian.
Menurutnya, sebelum ini, Kementerian Pelajaran dan Kementerian
Pengajian Tinggi diumumkan sebagai Kementerian Pelajaran dan Pengajian
Tinggi.
''Dengan penggabungan kedua-dua kementerian ini kita akan dapat
melaksanakan dasar yang lebih seragam di semua peringkat pendidikan, di
samping berkongsi sumber dan kepakaran di sekolah dan institusi
pengajian tinggi (IPT) untuk melonjakkan lagi mutu pendidikan di negara
kita.
''Usaha transformasi pendidikan akan dapat dilaksanakan dengan lebih
efisien apabila kepakaran daripada semua peringkat pendidikan digembleng
secara lebih menyeluruh untuk menghasilkan satu lonjakan berganda dalam
pendidikan negara," kata beliau ketika melancarkan sambutan Hari Guru
kali ke-42 di Stadium Tertutup Nilai dekat sini malam ini.
Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri
Pelajaran dan Pengajian Tinggi II, Datuk Seri Idris Jusoh; Timbalan
Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi I, Datuk Mary Yap Kain Ching;
Timbalan Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi II, P. Kamalanathan;
Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Datuk Dr. Rosli Mohamed dan
Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abdul Ghafar Mahmud.
Sambutan Hari Guru kali ke-42 tahun ini membawa tema, Guru Malaysia: 1Aspirasi, 1Agenda, sekali gus mencerminkan harapan rakyat dalam melahirkan generasi masa depan yang lebih cemerlang di negara ini.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi berkata,
setiap institusi pendidikan dalam negara ini perlu mewujudkan suasana
yang kondusif untuk membolehkan murid daripada pelbagai latar kaum dan
agama bergaul sesama mereka dengan lebih mesra dan akrab.
Sementara itu, Muhyiddin mengucapkan terima kasih atas pengorbanan
dan keberanian guru di Lahad Datu, Sabah ketika berhadapan dengan
situasi pertempuran serangan pengganas Kiram, baru-baru ini.
"Saya mengucapkan terima kasih terutamanya kepada Cikgu Saabi Hasin
dari Sekolah Kebangsaan (SK) Lok Buani Lahad Datu yang menjadikan
rumahnya sebagai sekolah sementara untuk anak murid belajar dan
membiayai pula perbelanjaan makan dan minum mereka.
"Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Cikgu Catherine Gonolon
dari SK Fajar Harapan Lahad Datu yang sanggup berada dalam kawasan
pertempuran dan mengajar murid dari sekolah berlainan," katanya di
Stadium Tertutup Nilai, dekat sini malam tadi.
Justeru kata Muhyiddin, ini adalah contoh guru yang disanjung tinggi.
KOMEN : CONTOH GURU YANG TAK PATUT DI IKUTI... CIKGU SAMSUDDIN DAN YANG MENYOKONG PUAK PEMBANGKANG...
No comments:
Post a Comment