KUALA LUMPUR 27 Mei - Kecaman serta penghinaan
berterusan yang dihamburkan oleh Red Bean Army terhadap kerajaan jelas
membuktikan tentera siber DAP itu gagal menutup rasa kecewa kerana tidak
berjaya memperoleh 'kuasa' di Putrajaya.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata,
walaupun beliau sendiri tidak terlepas daripada serangan tentera siber
berkenaan, perkara itu adalah lumrah bagi mereka yang bergelar ahli
politik.
Meskipun tidak menyatakan bentuk tindakan yang akan diambil terhadap
pihak terbabit, beliau dengan nada sinis memberitahu, mereka merupakan
jenis manusia yang hanya tahu menyalahkan pihak lain berbanding diri
sendiri.
"Cacian memang makanan buat orang politik. Saya telah maafkan mereka
yang mencaci dan akan terus memaki hamun saya. Kebanyakan mereka ini
masih berdarah muda.
"Mereka sedang menanam kebencian sebab gagal menawan Putrajaya.
Biarlah mereka melayani kekecewaan itu dengan melepaskan perasaan kecewa
secara menyalahkan semua orang lain, kecuali diri sendiri," katanya
kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas pendedahan seorang pembaca Utusan Malaysia berketurunan Cina bernama Kevin J. C. Chuah tentang sikap Red Bean Army yang terus mengecam dan membuat penghinaan khususnya menerusi laman sosial Facebook propembangkang.
Menurut pembaca tersebut, tulisan dan ayat-ayat yang diguna oleh
mereka memang menjijikkan dan serangan peribadi bertubi-tubi dilancarkan
terhadap Ahmad Zahid, sekali gus membuktikan sifat sebenar kumpulan Red Bean Army yang suka mencaci, menyuntik rasa kebencian dengan sewenang-wenangnya.
Akaun Facebook propembangkang itu juga dengan lantang mengutuk Ahmad
Zahid dan meminta beliau meletak jawatan di samping menggunakan tulisan
biadab berbunyi: "Negara ini bukan milik bapak kau!!!".
Mengulas lanjut 'tangan-tangan' jahat Red Bean Army itu,
beliau berkata: "Saya harap suatu hari nanti mereka akan tahu kebaikan
yang akan saya terapkan demi kepentingan keselamatan negara".
Sebelum ini, Ahmad Zahid menegaskan akan membanteras penyebaran
maklumat dalam media sosial yang menyentuh isu perkauman, mencabar
Perlembagaan serta fitnah, khususnya yang didalangi Red Bean Army.
No comments:
Post a Comment