KUALA LUMPUR 7 Mei - Kerajaan perlu menyegerakan penubuhan
suruhanjaya khas bagi menyiasat secara terperinci insiden pencerobohan
pengganas Kiram di Lahad Datu termasuk dalang yang terbabit dengan
kejadian itu.
Presiden Gagasan Melayu Perak (GMP), Datuk Seri Mohd. Hilmi Ismail
(gambar) berkata, langkah itu perlu supaya rakyat tahu punca sebenar
pencerobohan yang telah mengorbankan 10 anggota keselamatan dan
mencetuskan kesusahan kepada rakyat.
Sekarang pilihan raya sudah habis, jadi sesuai untuk suruhanjaya
itu dibincangkan kerana insiden itu perlu disiasat bagi menepis segala
tohmahan dan anasir pihak berkepentingan.
Pencerobohan ini serius kerana pihak yang cemburu dengan keamanan
negara telah sewenang-wenangnya menentang kedaulatan negara ini,
katanya di sini hari ini.
Sebelum ini, pelbagai pihak mendesak satu suruhanjaya siasatan khas
berhubung isu Lahad Datu ditubuhkan bagi menyiasat penglibatan Ketua
Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dua lagi pemimpin PKR iaitu
Tian Chua dan R. Sivarasa.
Desakan tersebut dibuat berikutan pengendali laman web Malaysia
Today, Raja Petra Kamaruddin mendedahkan pemimpin pembangkang itu dan
dua konconya pernah mengadakan perjumpaan dengan Pengerusi Barisan
Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF), Nur Misuari bagi merancang
pencerobohan pengganas Kiram.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pegawai-pegawai Kanan Polis Bersara
Malaysia (Respa), Datuk Mohamad Jamil Hassan menyifatkan suruhanjaya
seumpama itu adalah yang terbaik untuk rakyat Malaysia dalam melihat
kepentingan keselamatan negara.
No comments:
Post a Comment