KUALA LUMPUR 15 Mei - Perbuatan aktivis jalanan
propembangkang, Hishamuddin Rais menghasut rakyat untuk mengadakan
rusuhan jalanan Sabtu ini tidak boleh dibiarkan kerana tindakan itu
jelas mencabar keluhuran Perlembagaan serta mengancam keselamatan rakyat
dan negara.
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim
Ali berkata, langkah yang cuba diambil oleh Hishamuddin itu sememangnya
amat berbahaya dan pihak polis wajar bertindak segera.
Hakikatnya beliau berkata, undang-undang negara telah
dipermain-mainkan dan dimomok sesuka hati sehingga ke peringkat mencabar
Yang di-Pertuan Agong.
"Saya amat kenal Hishamuddin ini. Dia pernah lari ke luar negara
semasa kebangkitan pelajar pada tahun 1970 atas isu kemiskinan rakyat
Baling, Kedah.
"Bertahun lari ke luar negara dan memburukkan nama baik Malaysia di
negara yang memberikan suaka politik kepadanya. Dia ini jenis baling
batu sembunyi tangan. Kembali ke tanah air dengan selesa tanpa diambil
apa-apa tindakan undang-undang," katanya dalam kenyataan di sini hari
ini.
Akhbar hari ini menyiarkan berita tentang niat pembangkang untuk
mencetuskan huru-hara bagi menggulingkan kerajaan Barisan Nasional (BN)
yang dipilih secara sah oleh rakyat pada 5 Mei lalu dengan bercadang
melakukan demonstrasi jalanan Sabtu ini.
Malah, mereka secara terbuka mengakui satu-satunya cara menggulingkan
kerajaan BN yang diterajui UMNO ialah melalui rusuhan jalanan kerana
mustahil pakatan pembangkang dapat merampas Putrajaya melalui peti undi.
Hishamuddin ketika menghasut orang ramai berbuat demikian berkata,
pembangkang menolak keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 dan adalah satu
kebodohan jika penyokong pembangkang berdiam diri tanpa turun ke jalan
raya bagi menggulingkan BN.
Ibrahim berkata, Hishamuddin kembali ke tanah air semasa Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Timbalan Perdana Menteri.
"Sebenarnya tindakan Hishamuddin menghasut rakyat dengan cara
mencabar undang-undang akan memberikan kesan negatif yang mana rakyat
tidak akan menghormati undang-undang," ujarnya.
Oleh itu beliau berkata, Ketua Polis Negara dan Pengarah Keselamatan
dan Ketenteraman Awam di peringkat ini wajar bertindak tegas dengan
segera.
"Cegah sebelum keadaan lebih buruk dan tidak terkawal. Jangan disebabkan nila setitik, rosak seluruh negara.
"Jenis manusia tidak tahu bersyukur dan tidak hormat undang-undang negara wajar diajar secukupnya," katanya.
No comments:
Post a Comment