KUALA LUMPUR 27 Mei - Enam pemimpin pembangkang di lima buah negeri
hari ini dihadapkan ke mahkamah kerana didakwa melanggar Akta
Perhimpunan Aman 2012. Kesemua mereka didakwa gagal memaklumkan kepada ketua polis di daerah
masing-masing mengenai perhimpunan yang bakal diadakan dalam tempoh 10
hari sebelum tarikh program.
Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 9(1) Akta
Perhimpunan Aman 2012 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 9(5) akta sama
yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 jika sabit kesalahan.
Pada 17 Mei lalu, Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad
mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Petaling
Jaya atas tuduhan serupa berhubung perhimpunan di sebuah stadium di
Kelana Jaya pada 8 Mei lalu.
DI IPOH, dua pemimpin pembangkang di negeri ini dihadapkan ke
Mahkamah Sesyen kerana melanggar Akta Perhimpunan Aman 2012 ketika
menganjurkan dua perhimpunan di bandar raya ini pada 9 dan 12 Mei lalu.
Dua pemimpin terbabit ialah Ahli Parlimen Ipoh Timur, Thomas Su Keong
Siong, 47, daripada DAP dan Setiausaha Parti Keadilan Rakyat (PKR)
negeri, Mohammad Anuar Zakaria, 46. Kedua-duanya mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan
kepada mereka secara berasingan di hadapan Hakim Julie Lack Abdullah.
Keong Siong yang juga bekas Ahli Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pinji
didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira pukul 7.30 malam, 9 Mei lalu
di Wisma Chin Woo.
Mohammad Anuar pula didakwa melakukan kesalahan serupa pada masa
sama, 12 Mei lalu di perkarangan Ibu Pejabat PKR Perak, dekat Medan
Istana, Bandar Ipoh Raya.
Mereka berdua yang memakai suit hitam didakwa mengikut Seksyen 9(1)
Akta Perhimpunan Aman 2012, yang boleh dihukum mengikut Seksyen 9(5)
akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM10,000.
Keong Siong diwakili barisan 10 peguam diketuai oleh Gobind Singh Deo
sementara Baldip Singh mengetuai tiga peguam yang mewakili Mohammad
Anuar.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Fadhi Abdul Wahab yang
mengendalikan pendakwaan mencadangkan jaminan RM5,000 terhadap kedua-dua
pemimpin pembangkang itu bagi menjamin kehadiran mereka di mahkamah.
Gobind bagaimanapun membantah cadangan itu dengan alasan anak guamnya
hanya merupakan orang kena saman (OKS) dan kes itu tidak melibatkan
sebarang kekerasan.
Julie kemudian membenarkan Keong Siong dan Mohammad Anuar
masing-masing dibebaskan dengan ikat jamin RM4,000 berserta seorang
penjamin dan menetapkan sebutan kes pada 19 Julai ini.
DI BUTTERWORTH, Setiausaha Eksekutif Parti Keadilan Rakyat (PKR)
Pulau Pinang, Ong Eu Leong dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas tuduhan
menganjurkan perhimpunan tanpa kebenaran di Stadium Negeri Batu Kawan
pada malam 11 Mei lalu.
Eu Leong yang merupakan penganjur perhimpunan tersebut sehingga
menyebabkan kesesakan teruk di sepanjang jalan menuju ke stadium
berkenaan didakwa di bawah Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012.
Eu Leong, 44, yang didakwa sebagai orang kena saman (OKS), mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas pertuduhan itu.
Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi kemudian membenarkan Eu Leong
dibebaskan tanpa sebarang jaminan sementara menunggu sebutan kes yang
ditetapkan pada 27 Jun ini.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Amir Hamdzah
Othman manakala Eu Leong diwakili sekumpulan lapan peguam diketuai
R.S.N. Rayer.
DI SEREMBAN, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Sembilan,
Mohd. Nazree Mohd. Yunus dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini kerana
didakwa gagal memberitahu Ketua Polis Daerah Seremban dalam tempoh 10
hari sebelum perhimpunan diadakan pada pertengahan bulan ini. Mohd. Nazree, 29, sebagai penganjur program Ceramah Umum Pasca
Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) di negeri ini didakwa melakukan
kesalahan itu di tapak tempat letak kenderaan di sebelah Jalan Haruan
4/7, Pusat Komersial Oakland di sini pada pukul 8.30 malam, 17 Mei lalu.
Mohd. Nazree selaku orang kena saman (OKS) mengaku tidak bersalah dan
minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan
Hakim Datuk Jagjit Singh Bant Singh. Pendakwaan dikendalikan oleh Ketua Unit Pendakwaan negeri, Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh dan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib manakala Mohd. Nazree diwakili peguam Tang Jayson, Cha Kee Chin, dan Hanif Hasan.
Jagjit kemudian memutuskan untuk membebaskan Mohd. Nazree dengan ikat
jamin RM5,000 berserta seorang penjamin sementara menunggu sebutan kes
pada 25 Jun ini.
DI JOHOR BAHRU, Setiausaha Eksekutif Parti Keadilan Rakyat (PKR)
negeri, R. Yuneswaran didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas
pertuduhan melanggar Akta Perhimpunan Aman 2012 semasa menganjurkan
perhimpunan pada 15 Mei lalu.
Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Iskandar Ahmad yang mengendalikan
pendakwaan menawarkan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin
terhadap tertuduh.
Hakim Muhammad Jamil Hussin kemudian memutuskan bahawa Yuneswaran
tidak perlu diikat jamin dan menetapkan sebutan kes pada 10 Jun ini.
DI KUANTAN, Setiausaha Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pahang, Kamarzaman
Mohamed Yunus dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana
didakwa melanggar Akta Perhimpunan Aman 2012 ketika menganjurkan
perhimpunan di Jalan Beserah pada 14 Mei lalu. Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada pukul 8.30 malam, 14 Mei
lalu di kawasan Pejabat Perhubungan Negeri PKR Pahang, Lot 1051,
Kilometer 8, Jalan Beserah di sini.
Hakim Fathiyah Idris membenarkan Kamarzaman diikat jamin RM3,000
dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan kes pada 27 Jun ini.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Salim Soib @ Hamid manakala Kamarzaman diwakili peguam, Mohd. Nizam Hamid.
No comments:
Post a Comment