KUALA LUMPUR 12 Mei - Orang Melayu diseru supaya
berjihad memperkasakan Perlembagaan Persekutuan serta Undang-Undang
Tubuh Negeri bagi memastikan bangsa itu kekal menjadi pentadbir negara
dan negeri.
Bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd. Noor Abdullah (gambar)
berkata, hal ini kerana dalam Perlembagaan di peringkat Persekutuan dan
negeri, perkara berkaitan pelantikan Melayu Islam sebagai pentadbir
boleh dilonggarkan.
"Mengikut Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong, hendaklah
melantik seorang Perdana Menteri yang mendapat majoriti dalam Dewan
Rakyat. Itu sahaja dan tidak ada disebut Melayu Islam.
"Tetapi mengikut amalan demokrasi oleh kerana negara ini negara
Islam, Yang di-Pertuan Agong apabila melantik Perdana Menteri, bukan
sahaja perlu mendapat majoriti itu tetapi hendaklah ia seorang Islam dan
Melayu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel Wacana Post Mortem
Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13): Bicara Kepimpinan dan Survival Ummah
di Menara Mara di sini hari ini.
Menurut Mohd. Noor, bagi peruntukan Perlembagaan negeri pula, raja
atau sultan hendaklah melantik Menteri Besar atau Ketua Menteri daripada
seorang yang mendapat majoriti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).
"Kedua, dia mestilah orang Melayu Islam dan ketiga, syarat kedua itu,
raja atau sultan dengan budi bicara boleh melonggarkan syarat ini bagi
menepati syarat pertama," jelas beliau.
Katanya, dengan syarat ketiga itu, siapa sahaja mendapat majoriti,
individu terbabit boleh dilantik sebagai Menteri Besar atau Ketua
Menteri.
"Oleh itu kalau DAP dapat majoriti, maka orang Cina boleh menjadi
Menteri Besar. Macam mana?
Kalau kita kata tidak boleh, maka pindalah
Perlembagaan dengan sokongan majoriti dua pertiga. Beritahu di Melaka
dan Pahang yang mendapat majoriti dua pertiga, mansuhkan klausa itu,"
tegasnya.
Beliau juga memberi bayangan bahawa Singapura boleh dibawa masuk ke dalam Malaysia dengan suara majoriti di Dewan Rakyat.
"Tak perlu persetujuan Majlis Raja-Raja, tetapi nak bawa masuk
Singapura ke dalam Malaysia memerlukan hanya Akta Parlimen, Pas dengan
satu majoriti maka masuklah Singapura ke Malaysia. Bayangkan akibatnya.
Ini agenda pengkhianatan.
"Sebab itu (isu) kalimah Allah 'dicampakkan' agar orang Pas dan UMNO,
orang Melayu berpecah dengan matlamat akhirnya untuk menawan hati orang
bumiputera Sabah dan Sarawak. Nampak tak telunjuknya ke mana? Tetapi
orang Melayu termakan umpan, nasib baik bumiputera Sabah dan Sarawak
masih menyokong kita," tegasnya.
Sebab itu jelasnya, pengkhianatan orang Cina terhadap ikatan setia
kawan orang Melayu adalah sesuatu perkara yang benar-benar berlaku.
Selain persoalan terhadap Perlembagaan, orang Melayu juga perlu
berjuang dalam memperkasa dan menambah tanah rizab Melayu yang tertakluk
di dalam Perlembagaan.
"Isytiharkan tanah rizab ini di kawasan-kawasan bandar dan dalam erti
kata lain, menyusun semula masyarakat. Isytiharkan tanah rizab Melayu
untuk berladang dan menternak, cari tanah yang baik untuk Melayu
berladang dan berniaga dan kalau ada bukit, beri kepada Melayu buat
kuari.
"Kita susun atur tanah ini dan agih-agihkan untuk Melayu. Begitu juga
dalam bidang ekonomi yang sehingga kini 20 peratus daripadanya dimiliki
orang Melayu. Jadi susunlah strategi supaya dalam tempoh 10 tahun ini,
kekayaan Melayu menguasai 67 peratus," katanya.
Beliau turut menasihatkan semua pihak supaya bekerjasama menghapuskan
rasuah dalam kalangan orang Melayu iaitu daripada kelompok ahli politik
sehingga ke kakitangan kerajaan.
No comments:
Post a Comment