Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Friday 3 June 2011

Menanti ketegasan Hadi


Oleh ZULKIFLEE BAKAR
pengarang@utusan.com.my
3.6.2011



Abdul Hadi Awang berkomunikasi melalui telefon. Perwakilan Muktamar tahunan Pas ke-57 menunggu amanat daripada Presiden parti mereka.



HARI ini, tirai Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-57 akan dibuka dengan rasminya oleh Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Biarpun muktamar kali ini akan dihiasi dengan pertarungan sengit bagi jawatan Timbalan Presiden dan Naib Presiden namun apa yang hendak disampaikan oleh Abdul Hadi tetap menjadi perhatian.

Ia kerana Abdul Hadi bukannya berucap ketika Pas berada dalam keadaan selesa seperti tahun 2008, apabila parti itu bersama-sama rakan sekutunya Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP mencapai kejayaan agak cemerlang dalam pilihan raya umum pada tahun tersebut.

Tetapi Abdul Hadi akan melangkah ke podium dengan senaskhah ucapan yang akan menentukan hala tuju Pas selepas ini terutamanya bagi memastikan Pilihan Raya Umum Ke-13 tidak menjadi 'kuburan' kepada perjuangan politik parti itu.

Mungkin istilah tersebut nampak keterlaluan tetapi sentimen ini turut dikongsi bersama oleh sebahagian penyokong dan ahli-ahli Pas yang semakin resah melihat kerjasama dalam pakatan pembangkang yang tidak menguntungkan parti tersebut.

Justeru mereka ingin melihat sejauh manakah Abdul Hadi akan menunjukkan ketegasan bagi memastikan Pas tidak lagi menjadi 'mangsa' mainan politik DAP dan PKR.

''Kita tidak mahu mendengar ucapan retorik atau sekadar mengkritik kerajaan Barisan Nasional (BN) sahaja, yang kita mahu dengar ialah bagaimana hendak memartabatkan semula Pas sebagai parti dominan dalam pembangkang,'' kata seorang penyokong parti itu dari Kedah.

Penyokong berkenaan yang akan turut memeriahkan muktamar kali ini sebagai pemerhati berkata, Abdul Hadi tidak boleh lagi beretorik apatah lagi berhati-hati demi menjaga hati rakan sekutu Pas.

''Abdul Hadi kena tunjuk ketegasan bahawa Pas mahu menjadi pemain utama bukannya dilayan ibarat melukut di tepi gantang,'' katanya yang juga seorang ustaz.

Sememangnya Abdul Hadi perlu teliti dalam penyampaian ucapan dasarnya kali ini. Beliau tidak boleh menghalakan kritikan dengan tujuan memburuk-burukkan kerajaan BN semata-mata.

Dalam keadaan Pas sedang melakukan persiapan rapi untuk menghadapi pilihan raya dan begitu ghairah mencanangkan menggantikan UMNO, beliau perlu menyampaikan satu ucapan yang mampu menunjukkan kesungguhan Pas untuk kembali menjadi parti pembangkang utama.

Ucapan dasar beliau juga akan menjadi kayu pengukur sejauh manakah ia mampu untuk menghakis tanggapan bahawa Abdul Hadi sekarang bukanlah seperti mana Abdul Hadi yang dahulunya begitu lantang dan penuh dengan karisma kepimpinan sehingga ia dihormati oleh kawan dan lawan.

''Sebab itulah ucapan dasar kali ini cukup penting untuk beliau kerana ia akan turut menjadi penilaian utama kepada pihak-pihak di luar Pas terutamanya orang Melayu sejauh manakah Pas mahu berubah.

''Abdul Hadi perlu memberikan isyarat yang jelas ke arah mana beliau mahu membawa Pas selepas ini kerana ahli Pas sendiri tidak mahu tema ucapannya sekadar gah pada nama sahaja,'' kata seorang pemimpin Pas daripada golongan profesional kepada penulis.

Fakta ini sememangnya sukar dinafikan kerana walaupun suatu ketika Abdul Hadi dalam ucapannya begitu tegas menyatakan bahawa sudah tibanya Islam memimpin, namun ia akhirnya tidak ubah sekadar retorik sahaja.

Dalam realiti sebenar, laungan Islam memimpin itu senyap begitu sahaja apabila PKR dan DAP bersuara seolah-olah tidak bersetuju dengan gesaan tersebut.

Kesudahannya, hasrat dan niat Abdul Hadi serta Pas tidak ke mana, sebaliknya dalam percaturan politik yang berlaku Pas dilihat sekadar menuruti apa sahaja kehendak kedua-dua parti berkenaan.

Atas sebab itulah, muktamar hari ini perlu dijadikan medan kepada langkah politik Pas yang lebih jitu, tegas dan konsisten dalam perjuangan Islam dan bukannya dipengaruhi dengan cita-cita untuk menguasai Putrajaya sahaja.

Dalam amalan politik yang berteraskan demokrasi seperti Malaysia, tidak salah jika Pas turut menyimpan hasrat untuk memerintah negara tetapi biarlah ia disertai dengan perancangan yang mampu menanam keyakinan kepada rakyat terutamanya orang Melayu untuk memilih mereka.

Tetapi buat masa ini, orang Melayu terutamanya golongan atas pagar tidak melihat Pas mempunyai keupayaan tersebut, apatah lagi sejak berkawan dengan PKR dan DAP.

Dalam banyak isu termasuklah berkaitan dengan orang Melayu dan umat Islam, Pas dilihat lebih suka bermain cara selamat demi menjaga hati rakan sekutu mereka.

Justeru adalah penting bagi Abdul Hadi membentangkan satu ucapan dasar yang boleh memberikan harapan kepada penyokong-penyokong Pas bahawa selepas muktamar ini parti itu bukanlah 'alat mainan', 'kuda tunggangan' atau 'pak turut' kepada sesiapa.

Pembentangan hujah mengenai perjuangan menegakkan negara berkebajikan juga harus disampaikan secara berhati-hati oleh Abdul Hadi bagi mengelakkan Pas dianggap telah meninggalkan perjuangan negara Islam buat selama-lamanya.

Apatah lagi berikutan prestasi kerajaan-kerajaan negeri di bawah pembangkang termasuk di Kedah dan Kelantan yang diperintah oleh Pas, rakyat melihat begitu banyak kepincangan berlaku.

Ia termasuklah kegagalan menunaikan janji-janji yang telah dibuat dalam manifesto pilihan raya dan jika konsep negara berkebajikan pun mempunyai janji-janji 'bulan dan bintang' sudah tentulah ia tidak akan diterima oleh rakyat.

Oleh itu biarlah apa yang hendak dijanjikan Abdul Hadi dan Pas adalah realistik dan bukan hanya sekadar janji kosong bagi meraih undi semata-mata.

Mungkin pembangkang boleh mendabik dada atau memutar belitkan fakta bahawa sokongan rakyat kini semakin meningkat kepada mereka tetapi pada masa ini semua orang tahu populariti pembangkang semakin merudum berikutan pelbagai masalah melanda mereka sama ada dari segi politik mahu pun moral.

Turut menjadi perhatian sejauh manakah Abdul Hadi berani untuk menyatakan secara terbuka bahawa dalam pilihan raya umum akan datang Pas seharusnya menjadi peneraju utama bagi pakatan pembangkang.

Ini kerana penyokong dan ahli Pas tidak mahu lagi parti itu berada dalam keadaan sekarang dilayan sebagai parti ketiga oleh kedua-dua parti tersebut.

''Perlu ada ketegasan daripada Abdul Hadi, di mana sepatutnya Pas berada dalam pilihan raya akan datang.

''Kita tidak mahu orang Pas hanya digunakan untuk mengarak bendera orang lain sahaja atau dipergunakan ketika kempen tetapi kemudian seolah-olah tidak dihargai dan dihormati,'' kata seorang teman sekampung penulis yang juga penyokong tegar parti itu.

Justeru pemimpin, ahli dan penyokong Pas meletakkan harapan tinggi kepada Abdul Hadi untuk memastikan ucapan dasar beliau bukan sahaja menunjukkan hala tuju yang jelas tetapi juga meningkatkan kembali martabat parti itu.

Ia memandangkan Pas hanya nampak hebat berlawan dengan UMNO tetapi dilihat 'tunduk' apabila berhadapan dengan sekutunya, PKR dan DAP sehingga dilayan bagaikan parti 'kelas tiga' dalam pembangkang.

KOMEN : MASIH ADAKAH LAGI SIFAT KELANTANGAN YANG PENUH DENGAN KARISMA DALAM DIRI PRESIDEN PAS INI SEHINGGA IA DIHORMATI OLEH KAWAN DAN LAWAN ATAU HANYA TINGGAL SEKADAR LAUNGAN POLITIK RETRORIK? ADAKAH PAS MASIH MAHU MENJADI ALAT MAINAN, KUDA TUNGGANGAN ATAU PAK TURUT KEPADA PKR DAN DAP SELEPAS MUKTAMAR INI? YANG PASTI ISLAM TIDAK MEMBANGUN BERSAMA PARTI PAS....

No comments: