Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Thursday 10 March 2011

UiTM teruskan matlamat ‘Mengubah Destini Anak Bangsa’ di Jasin


Oleh Abdul Latif Abu Bakar
pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM Melaka.
2011/03/10

DALAM tempoh dua tahun iaitu pada 2013, secara fizikalnya Melaka akan memiliki sebuah lagi kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) dengan kemampuan menerima sehingga 5,000 pelajar. Kampus ketiga UiTM Melaka di Jasin muncul selepas dua kampus, Kampus Alor Gajah di Lendu dan Kampus Bandar Raya, masing-masing menempatkan kira-kira 7,000 dan 4,000 pelajar.

Pembinaan kampus ketiga yang majlis pecah tanahnya disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 19 Februari lalu akan menjadikan ketiga-tiga daerah di Melaka memiliki kampus UiTM. Daerah Melaka Tengah menempatkan Kampus Bandar Raya, Daerah Alor Gajah memiliki kampus Lendu, manakala Daerah Jasin akan memiliki kampus UiTM yang sedang dibina di atas tapak seluas 218 ekar di Seri Mendapat. Dengan pembinaan ini lengkaplah program, satu daerah sebuah UiTM di Melaka.

Pengarah UiTM Melaka, Datuk Prof Madya Dr Mizan Hitam dalam temu bual beberapa hari lalu, berkata Kampus Jasin akan menawarkan kursus berasaskan sains dan teknologi.

“Tawaran kursus berasaskan sains dan teknologi di Kampus Jasin akan melengkapkan gabungan kursus yang bukan berasaskan sains dan teknologi di Kampus Alor Gajah dan Kampus Bandar Raya,” katanya sambil berkata gabungan kedua-dua bentuk kursus itu seiring dengan hasrat Kementerian Pengajian Tinggi.

Sesungguhnya pembinaan sebuah lagi kampus UiTM di kawasan terpencil di Seri Mendapat, Jasin akan memberi makna dan warna baru dalam pembangunan kawasan berkenaan dan daerah Jasin secara khususnya.

Pembinaan kampus di kawasan yang sebelum ini tidak begitu dikenali pasti menggerakkan pertumbuhan sosioekonomi kawasan berkenaan kerana permintaan terhadap penempatan pelajar, tenaga pengajar dan kakitangan bukan akademik serta khidmat sokongan lain akan bercambah. Seperti kata Dr Mizan, pembinaan Kampus Jasin akan menjana pertumbuhan kawasan urban dan desa Seri Mendapat dan kawasan sekitarnya. Banyak perkhidmatan sokongan lain diperlukan oleh warga kampus berkenaan apabila ia beroperasi sepenuhnya dan semuanya akan memberi manfaat kepada penduduk kawasan setempat.

Pintu masuk ke Kampus Jasin ini bagi mereka yang memandu menggunakan Lebuh Raya Utara-Selatan ialah melalui pintu masuk Merlimau Jasin dengan melalui Plaza Tol Lipat Kajang. Kampus ini terletak kira-kira 30 kilometer dari Bandar Raya Melaka.

Kewujudan kampus baru di Jasin sudah pasti akan memeriahkan suasana pekan kecil itu dan sudah pasti juga Plaza Tol Lipat Kajang kelak akan sama ‘meriah’ dengan Plaza Tol Simpang Ampat yang menjadi pintu masuk ke Alor Gajah dan Plaza Tol Ayer Keroh yang menjadi pintu masuk ke Bandar Raya Melaka.

Yang menarik juga mengenai penubuhan sebuah kampus baru di kawasan pedalaman ialah UiTM akan memenuhi matlamatnya untuk menyediakan peluang dan kemudahan pendidikan peringkat tinggi secara lebih meluas lagi kepada anak Melayu yang mungkin kurang mendapat peluang sedemikian kerana masalah kewangan keluarga.

Pembukaan peluang pendidikan untuk anak bangsa jugalah yang diperjuangkan oleh Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr Sahol Hamid Abu Bakar apabila beliau mengambil alih tampuk pentadbiran universiti itu. Beliau menggerakkan sebuah program khusus - Mengubah Destini Anak Bangsa - untuk memastikan UiTM menelusuri kembali jejak-jejak awal penubuhannya untuk menyediakan peluang pendidikan kepada anak-anak Melayu.

Program Mengubah Destini Anak Bangsa yang menjadi sebutan utama Dr Sahol dalam hampir segenap pertemuan rasmi, menawarkan peluang melanjutkan pengajian dari peringkat pra-diploma hinggalah ke peringkat ijazah lanjutan dengan pelbagai keistimewaan seperti pengecualian bayaran yuran kepada anak bangsa yang tidak berkemampuan.

Beliau melihat Program Mengubah Destini Anak Bangsa sebagai sesuatu yang sangat dekat dengan dirinya kerana dalam hampir setiap pertemuan beliau menceritakan perihal dirinya yang dihimpit kemiskinan ketika zaman kanak-kanak dan atas kesedaran itu, beliau mahu menyediakan kemudahan melanjutkan pelajaran seluas-luasnya kepada anak bangsa yang turut dihimpit kemiskinan.

Sudah terbukti bahawa perubahan destini bermula dengan pendidikan dan atas kesedaran itu terbentuknya Dewan Latihan RIDA (Rural and Industrial Development Authority) pada 1956 yang menjadi pemula bagi penubuhan UiTM. Kira-kira sembilan tahun selepas itu, Dewan Latihan RIDA dipindah ke bawah bidang kuasa Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan namanya turut bertukar menjadi Maktab Mara.

Bagaimanapun, acuan sebenar UiTM ini terbentuk pada 1967 apabila Maktab Mara mendapat nama baru iaitu Institut Teknologi Mara (ITM). Institusi pengajian ini tinggi terus kekal menjadi benteng perjuangan mengangkat martabat pendidikan bangsa Melayu hatta selepas bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan peningkatan taraf ITM menjadi sebuah universiti penuh pada 1996 dan sehingga hari ini dikenali sebagai Universiti Teknologi Mara.

Benteng perjuangan mengangkat taraf pendidikan anak bangsa ini terus berjalan dan bukti terbaru ialah penubuhan UiTM Melaka Kampus Jasin.

Biar apa pun diperkatakan orang, pendidikan menjadi salah satu aspek paling utama dalam usaha membasmi kemiskinan dengan meningkatkan pendapatan dan menambah peluang pekerjaan untuk semua rakyat Malaysia serta mempercepatkan proses penyusunan semula masyarakat Malaysia demi menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi ekonomi seperti dihasratkan oleh perdana menteri kedua, Allahyarham Tun Haji Abdul Razak Hussein ketika beliau melancarkan Dasar Ekonomi Baru pada 1971.

Ketika majlis pecah tanah Kampus Jasin bulan lalu, Najib mengumumkan sudah 400,000 graduan dilahirkan oleh universiti berkenaan manakala 180,000 orang masih menuntut kampus-kampus UiTM di seluruh negara, dari Segamat, Johor ke Jengka, Pahang, dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan ke Seri Iskandar, Perak dan dari Mukah, Sarawak ke Tawau, Sabah.

Sebenarnya pembinaan UiTM Kampus Jasin menjadi kenyataan selepas kerajaan negeri Selangor menolak cadangan penubuhan kampus di negeri itu yang ditaja oleh Yayasan Basmi Kemiskinan. Siapa sangka, Jasin pula mendapat rahmat daripada permainan tarik tali itu.


KOMEN : PERJUANGAN MENDIDIK ANAK BANGSA AKAN TERUS DI PELOPORI OLEH UiTM. DIMANA ADA USAHA DISITU ADA KEJAYAAN.

No comments: